Polis Dengan Integriti Tinggi Diperlukan Di Sempadan - Bekas Ketua Polis Negara

S. Adie Zul dan Muzliza Mustafa
2016.08.05
160805-my-custom-620 Pegawai Kastam Malaysia memaparkan gading gajah yang dirampas pada sidang media di Sepang, luar Kuala Lumpur, 2 Mac 2016.
AFP

Bekas ketua polis Malaysia menggesa pemantauan rapi dibuat terhadap pegawai-pegawai kerajaan korup yang ditempatkan di sepanjang sempadan Malaysia dengan Thailand, Filipina dan Indonesia susulan peningkatan  penyeludupan senjata api, dadah dan manusia, dan berkata bahawa hanya pegawai yang mempunyai integriti tinggi harus dibenarkan berkhidmat di kawasan berkenaan.

"Penyeludupan dan rasuah di sepanjang sempadan akan dapat diatasi sekiranya pihak penguatkuasa mempunyai integriti dalam menjalankan tugas mereka," kata bekas Ketua Polis Negara (KPN) Malaysia Musa Hassan kepada BeritaBenar dalam satu temu bual. "Oleh itu, mereka yang dihantar bertugas perlulah mempunyai integriti yang tinggi.

"Bagaimana hendak memastikan mereka tidak menyimpang? Satu daripada caranya adalah untuk bekerja bersama-sama dengan agensi anti-rasuah supaya pegawai-pegawai di sempadan dapat dipantau,”  kata Musa, yang mengetuai Yayasan Penjagaan Komuniti  Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang terlibat dalam membanteras jenayah yang semakin meningkat di Malaysia.

Musa, yang merupakan pegawai polis tertinggi negara dari tahun 2006 hingga 2010, dengan pegalaman bertugas selama empat dekad dalam kerjayanya sebagai pegawai polis, membuat teguran tersebut di tengah-tengah perdebatan di Malaysia berhubung peningkatan kebimbangan terhadap penyeludupan rentas sempadan yang semakin membelenggui negara, termasuk kes pengedaran dadah, senjata api, manusia dan komoditi seperti beras, yang menjadi makanan ruji negara itu.

Pihak berkuasa juga bimbang dengan peningkatan kes penculikan di perairan negeri Malaysia timur, Sabah, oleh militan yang berpangkalan di selatan Filipina. Sabah berkongsi sempadan maritim dengan Filipina.

Laporan menyebut bahawa kekurangan penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand dipercayai menjadi antara punca penyeludupan senjata api ke dalam Malaysia, yang menyebabkan berleluasanya kes pembunuhan di negara itu.

Tahun lepas, agensi perisikan polis berkata, dalam satu laporan yang merangkumi tempoh lebih 10 tahun,  amat mengejutkan bahawa 80 peratus daripada pegawai penguatkuasa undang-undang di sempadan Malaysia terbabit di dalam rasuah, dengan kebanyakan daripada mereka terlibat secara langsung dalam penyeludupan dadah, senjata api dan manusia.

"Kebanyakan sindiket penyeludupan atau pemerdagangan, dalam usaha menjalankan kegiatan haram mereka, akan memberi rasuah kepada pegawai-pegawai ... hanya mereka yang mempunyai disiplin dan integriti yang tinggi  boleh menjalankan tugas  di sempadan tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata Musa.

Seorang pakar Malaysia bersetuju bahawa anggota penguatkuasa undang-undang di kawasan sempadan mesti ‘dibersihkan’ dalam usaha membendung penyeludupan.

"[Bagi] mengatasi masalah ini, pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia, Kastam dan Imigresen perlu meningkatkan bilangan kakitangannya yang mempunyai integriti di sempadan," kata Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi di  Help University Akhbar Satar kepada agensi berita negara, Bernama.

"Saya cadangkan supaya kerajaan mengehadkan tempoh tugas setiap kakitangan yang bertanggungjawab di sempadan kepada tidak lebih daripada tiga tahun untuk mengelak mereka daripada mendekati penyeludup sehingga menerima rasuah daripada penyeludup," katanya.

Musa menggesa pihak berkuasa termasuk polis, supaya bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memeriksa rasuah dan mencadangkan kerjasama antara agensi dalam menangani masalah yang berleluasa itu.

"Tenaga kerja dan perkongsian maklumat perlu disepadukan di antara polis, Jabatan Imigresen, Kastam dan pegawai dari jabatan-jabatan lain yang ditempatkan di sempadan antarabangsa kami untuk menghapuskan aktiviti penyeludupan," katanya.

Ketua Polis Kedah, Zamri Yahaya berkata, polis persekutuan telah memindahkan pegawai paling kanan yang ditempatkan di pintu masuk sempadan di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung  di sepanjang sempadan Malaysia-Thai.

Beliau berkata, polis sedang dipantau dengan lebih teliti dalam kerja mereka berikutan penemuan kubur-kubur dan tinggalan rangka dipercayai milik etnik Rohingya dari Myanmar, dan 28 kem penyeludupan manusia dan 139 kubur di Wang Kelian, di negeri utara, Perlis kira-kira setahun lalu.

"Sejak itu, polis telah  membentuk satu unit dalaman khusus untuk menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas pegawai yang ditempatkan di sempadan dan unit ini juga ditugaskan untuk memantau sebarang perubahan tingkah laku di kalangan pegawai-pegawai berkenaan," kata Zamri kepada BeritaBenar.

"Kerajaan juga telah melantik seorang komander sempadan untuk menyelia operasi pelbagai agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang terdiri daripada pasukan polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan agensi-agensi lain di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di [negeri Kedah, Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis, serta pintu masuk di [utara] Kelantan, "katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.