Musa Aman Mengaku Tidak Bersalah Terhadap Pertuduhan Rasuah RM263 juta

Hadi Azmi
2018.11.05
Kuala Lumpur, Malaysia
181105-MY-MusaAman1000.jpg Bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk berdepan dengan 35 pertuduhan rasuah, 5 Nov. 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM263 juta [AS$63 juta] melibatkan pemberian konsesi balak di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Musa dituduh melakukan semua kesalahan tersebut di Singapura dan Hong Kong antara tahun 2004 sehingga 2008, menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri negeri itu dengan beberapa individu dan syarikat.

Hakim Rozina Ayob membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM2 juta [AS$479,430] dengan dua penjamin dengan dua pembayaran sebelum Rabu.

Ketua Perhubungan Umno negeri Sabah, negeri yang kaya dengan balak itu juga diarahkan supaya menyerahkan pasport peribadi dan diplomatik miliknya kepada mahkamah.

Hakim turut mengarahkan Musa yang berasal dari Sabah untuk tinggal di Kuala Lumpur sehingga urusan ikat jaminnya selesai.

“Kamu perlu tinggal di sini sehingga selesai urusan ikat jamin,” kata hakim selepas selesai sesi pendakwaan.

Musa bagaimanapun membuat kesemua pembayaran jumlah ikat jamin sebanyak RM2 juta.

Kes ditutup

Pendakwaan yang diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram terdahulu itu memberitahu mahkamah bahawa beliau hairan kenapa dua peguam negara sebelum ini, Abdul Gani Patail dan Apandi Ali tidak mengarahkan Musa didakwa di mahkamah.

“Kes ini telahpun disiasat. Saya tidak faham kenapa ia ditutup. Kini ia telah dibuka semula dan kita ada satu kes yang kuat,” katanya.

Akibat kelewatan itu, semua pertuduhan yang dikenakan ke atas Musa dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Jenayah 1997, sebuah akta lama sebelum Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperkenalkan pada 2009 apabila  Badan Pencegah Rasuah (BPR) dinaiktaraf menjadi sebuah suruhanjaya.

Menurut kertas pertuduhan, Musa dituduh menerima kesemua rasuah tersebut melalui individu-individu yang bertindak sebagai proksi.

Antara yang nama yang disebut ialah Chia Tien Foh dan Nasir Yeo Guan Hock yang juga disebut dalam skandal ‘Panama Papers’ yang turut dilaporkan oleh The International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ).

Pada 2014 Chia juga telah dijatuhkan hukuman penjara setahun dan dikenakan sebatan satu rotan selepas didapati bersalah menipu seorang lelaki yang dikenali sebagai Agus Hassan sebanyak RM2.5 juta [AS$600,000] dalam satu kes pada 2004, yang mana Chia mendakwanya adalah untuk dana UMNO, Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO].

Musa yang ditahan pada pagi Isnin tiba di mahkamah pada jam 1.30 tengahari dengan bertongkat dan diiringi oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau merupakan individu ketiga dalam kepimpinan tertinggi Umno yang kini berdepan dengan tuduhan rasuah selepas bekas perdana menteri Najib Razak dihadapkan dengan 38 pertuduhan manakala bekas timbalan perdana menteri yang juga Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dengan 45 pertuduhan.

Musa sebelum ini memfailkan saman terhadap Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin atas pemecatan beliau sebagai ketua menteri oleh Tun Juhar.

Dalam kes tersebut, peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Musa berkata Artikel 10 (4) Perlembagaan Negeri tidak memberikan kuasa untuk Tun Juhar memecat ketua menteri dan kuasanya hanya tertakluk kepada pelantikan serta membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sahaja.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mendengar kes itu menetapkan 7 November sebagai tarikh keputusan saman.

Ini menimbulkan rasa curiga terhadap seorang lagi peguam Musa, Amer Hamzah Arshad terhadap keputusan SPRM untuk membawa anak guamnya menghadapi pertuduhan pada hari yang begitu hampir dengan tarikh keputusan kes saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.

“Pertuduhan ini [terbaru] adalah dari 10 ke 14 tahun yang lepas dan kerangka masa pertuduhan berbaur hukuman pilih kasih,” kata Amer yang mewakili Musa di Kuala Lumpur.

Beliau berharap mahkamah tinggi itu tidak prejudis dengan tindakan SPRM.

Musa dilaporkan melarikan diri ke London pada 17 Mei susulan pelucutan jawatannya sebagai ketua menteri dalam krisis kepimpinan negeri yang berlaku 5 hari sebelum itu.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan kepada media, Musa menafikan beliau melarikan diri, sebaliknya berada di London untuk menjalani rawatan perubatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.