Follow us

Mahkamah Malaysia Bebas Bekas KM Sabah Dari 46 Pertuduhan Rasuah

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-09
E-mel
Komen
Share
Musa Aman, bekas ketua menteri Sabah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 November, 2018.
Musa Aman, bekas ketua menteri Sabah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 November, 2018.
[AP]

Mahkamah Malaysia pada Selasa membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dari kesemua 46 pertuduhan menerima rasuah dan penggubahan wang haram berjumlah RM386.45 juta (AS$90.4 juta) yang disabitkan terhadap beliau berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin selepas menerima permohonan dari pihak pendakwaan kes tersebut untuk menarik balik kesemua tuduhan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah bagi kawasan Sungai Sibuga itu.

Musa, 69, adalah rakan politik rapat bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan merupakan individu terkini yang dikaitkan dengan pemimpin itu dan digugurkan dengan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Sebelum ini, pihak pendakwaan telah menggugurkan pertuduhan penggubahan wang haram terhadap anak tiri Najib, Riza Aziz juga di Mahkamah Kuala Lumpur.

"Saya mengarahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan," kata Muhammad Jamil ketika membacakan keputusannya pada Selasa.

Daripada 46 pertuduhan yang dihadapi Musa, 30 daripadanya adalah berkaitan kesalahan rasuah membabitkan jumlah sebanyak AS$50.1 juta, manakala selebihnya adalah membabitkan kesalahan penggubahan wang haram lebih AS$40.3 juta.

Kesalahan rasuah itu didakwa telah dilakukan di Hong Kong dan beberapa negara lain dengan Musa didakwa menerima rasuah sebanyak AS$50.1 juta antara tahun 2004 dan 2008, daripada lapan syarikat konsesi pembalakan atas kapasitinya sebagai Ketua Menteri Sabah ketika itu dan juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

Pembayaran tersebut didakwa telah dibuat kepada Musa sebagai dorongan untuk beliau meluluskan konsesi pembalakan kepada 16 firma balak.

Pertuduhan mengenai penggubahan wang haram pula membabitkan pembukaan sebuah akaun di Bank UBS AG di Singapura di bawah nama Richard Christopher Barnes yang didakwa dilakukan Musa bagi menerima hasil dari aktiviti haram dan pemimpin itu juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menyembunyikan hasil dari aktiviti haram.

Lain-lain pertuduhan menyaksikan Musa didakwa menggunakan akaun berkenaan bagi menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih AS$40.3 juta.

Kesemua pertuduhan itu telah dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada tahun 2018 dan 2019 ketika ia dibawah penyeliaan Tommy Thomas, Peguam Negara yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan [PH]. Thomas bagaimanapun telah meletak jawatan selepas berlakunya perubahan politik, yang menyaksikan PH digantikan dengan Perikatan Nasional sebagai kerajaan baru.

Selain memutuskan pembebasan Musa, Hakim Muhammad Jamil turut membatalkan dua permohonan daripada pihak pembelaan iaitu tuduhan yang dikenakan ke atas ahli politik tersebut, dan juga permohonan mencabar keabsahan Seksyen 82(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) di sisi Perlembagaan Malaysia.

Tidak cukup bukti

Dalam pada itu Peguam Negara Idrus Harun berkata Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan rasuah dan pengubahan wang haram keatas Musa kerana telah menerima afidavit daripada bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail, yang menyokong supaya tuduhan dibatalkan.

Idrus dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan beberapa jam selepas Musa dibebaskan berkata, Abdul Gani dalam afidavit yang diterima jabatan berkenaan pada 5 Jun lalu, mempertahankan keputusan Jabatan Peguam Negara pada 2012, untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Musa.

Selain itu, katanya, jabatan berkenaan juga menjalankan kajian semula terhadap kes Musa selepas menerima representasi dari peguam tertuduh pada Mei, meminta supaya kesemua pertuduhan itu ditarik semula dan dihapuskan.

“Representasi itu kemudiannya disusuli dengan satu afidavit yang difailkan oleh Musa di Mahkamah Tinggi, dan disokong oleh Abdul Gani untuk menghapuskan 46 pertuduhan terhadap Musa,” tambah Idrus di mana Abdul Gani adalah Peguam Negara semasa siasatan terhadap pemimpin Sabah itu dibuat.

"Dengan adanya representasi ini dan perkembangan terbaru dalam bentuk afidavit oleh bekas Peguam Negara, ia adalah tanggungjawab jabatan untuk meneliti semula semua bukti di dalam kes ini.

"Setelah mengkaji semula semua bukti yang ada serta perbincangan dengan pihak pendakwaan serta pasukan siasatan, saya membuat keputusan untuk menarik balik semua dakwaan terhadap Musa Aman," kata Idrus dalam kenyataannya.

Idrus berkata keputusan itu dibuat kerana bukti dokumen yang diperlukan tidak dapat diperolehi dari syarikat dan bank di Hong Kong melalui kerjasama perundangan, kerana Jabatan Kehakiman Hong Kong hanya menyarankan syarikat dan bank untuk menyimpan segala rekod mereka untuk tempoh tujuh tahun sahaja.

"Ia adalah amat tidak berkemungkinan untuk bank-bank dan syarikat berkenaan masih menyimpan segala rekod yang diperlukan. Selain itu, terdapat saksi-saksi yang telah meninggal dunia, mengalami penyakit serius, atau tidak berada di dalam Malaysia lagi," kata Idrus.

Beliau menambah bahawa keputusannya turut diperkukuhkan satu surat bertarikh 22 Disember 2011 dari Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong yang menyatakan bahawa siasatan ke atas Musa telah pun lengkap dan tiada tindakan siasatan lanjut akan diambil berdasarkan fakta-fakta yang ada.

Bersyukur, tiada elemen rasuah

Musa Aman dalam satu kenyataan menyatakan rasa bersyukur beliau terhadap keputusan tersebut dengan turut berkata permohonan bagi membatalkan pendakwaan yang telah difailkan awal tahun ini, telah dibuat secara teliti dengan disokong oleh keterangan serta dokumen bukti cukup jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan.

Peguambelanya, Amer Hamzah Arshad pula berkata siasatan menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong ke atas anak guamnya mendapati tidak wujud sebarang elemen rasuah dan wang yang disiasat adalah sumbangan politik.

"Perkara ini disahkan bekas Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Mustafar Ali, yang memaklumkan kepada ICAC melalui surat bertarikh September 2011.

"Selepas menjalankan siasatan menyeluruh, ICAC mengeluarkan surat bertarikh 22 Disember 2011 kepada Musa yang menyatakan siasatan terhadapnya selesai dan tiada tindakan lanjut akan diambil," katanya dalam kenyataan media.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung, pembebasan Musa dari semua pertuduhan pasti akan mewujudkan ‘psych war’ dalam kalangan kedua-dua blok politik yang sedang bersaing sekarang.

"Masih terlalu awal untuk menyatakan apakah akan berlaku di Sabah sama ada akan berlaku sebarang perubahan dari segi politik. Tetapi yang pastinya, keputusan hari ini akan membawa perang psikologi kepada semua di Sabah," katanya kepada BeritaBenar.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Lihat Laman Penuh