Malaysia Kesan Mutasi Virus COVID-19 Lebih Ganas

Noah Lee
2020.04.29
Kuala Lumpur, Malaysia
200429-MY-C19-Mutasi1000.jpg Seorang wanita berpayung berjalan kaki berhampiran kawat duri yang dipasang di sebahagian Pusat Bandar Utara di Selayang dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di Kuala Lumpur, 29 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mengesan satu regangan mutasi virus COVID-19  yang mempunyai tahap kebolehjangkitan yang ‘ganas’ melalui pesakit daripada gelombang pertama yang telahpun menjangkiti 120 lagi, dan virus jenis yang sama dikesan di Wuhan, China, demikian kata pegawai kesihatan pada Rabu.

Pihak berkuasa kesihatan membuat pendedahan itu selepas menjalankan kajian terhadap beberapa regangan mutasi virus jangkitan COVID-19 oleh Institut Kajian Perubatan Malaysia (IMR) yang mendapati mutasi ganas itu dikesan daripada pesakit kes ke-26, seorang warga tempatan yang pernah membuat perjalanan ke China, pertengahan Januari lepas.

"Kita dapati kes ke-26 contohnya, kajian terhadap virus tersebut mendapati ada satu mutasi yang bertindak menjadikan virus lebih ganas dan merebak serta menjangkiti 120 orang lain. Jadi mungkin kes ke-26 ini menjangkiti (pesakit) kerana disebabkan mutasi tersebut,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian di Putrajaya.

“Jadi mutasi baharu itu menjadi lebih dahsyat dari segi jangkitan ataupun penularan," tambah beliau lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) katanya telah mengenalpasti 30 mutasi virus di seluruh dunia, namun tidak menyatakan berapakah jumlah mutasi yang telah dikesan di Malaysia.

Berdasarkan kenyataan media harian yang dibuat oleh Noor Hisham sebelum ini, kes jangkitan ke-26 pertama kali diumumkan secara rasmi pada 1 Mac lalu, dan dikenalpasti sebagai seorang lelaki warganegara Malaysia, berumur 52 tahun dengan sejarah perjalanan ke Shanghai, China pada pertengahan Januari lalu.

"Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Februari 2020. Beliau telah pergi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dari sebuah hospital swasta pada hari yang sama. Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 29 Februari 2020.

"Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya. Siasatan punca jangkitan dan pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan," kata Noor Hisham dalam kenyataan medianya bertarikh 1 Mac lepas.

Kes ke-26 kemudiannya dikenalpasti sebagai seorang eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang ternama, dan beliau dilaporkan telah menghadiri beberapa mesyuarat sebelum didapati positif COVID-19.

Susulan itu, KKM dilaporkan telah menggerakkan aktiviti bagi mengesan sejumlah 258 individu lain yang dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada kes ke-26 dan sehingga kini, seramai 121 telah positif  COVID-19 di Malaysia yang disahkan berkait rapat dengan kluster kes ke-26.

Noor Hisham turut memaklumkan bahawa KKM mendapati kes-kes positif di Malaysia dalam gelombang jangkitan pertama dan peringkat awal gelombang kedua adalah membabitkan virus COVID-19 dari Strain B, iaitu jenis yang sama seperti yang dikesan di Wuhan, China.

Ini adalah berbeza dengan dua jenis lain iaitu Strain A yang didapati di kalangan pesakit di Amerika Syarikat dan Strain C di Eropah.

Pada masa kini, tambah beliau, IMR sedang giat menjalankan kajian bagi mengenalpasti jenis virus COVID-19 dari fasa lain dan gelombang kedua termasuk di kalangan pesakit yang pulang dari luar negara.

Mutasi dalam bahasa kesihatan adalah perubahan dalam kod genetik virus, yang memasuki sel, merampas mesin-mesin sel dan menggunakannya untuk membuat banyak salinan, dengan sebilangan besar mutasi tidak benar-benar mengubah cara virus berfungsi.

Dalam pada itu, semasa sidang media itu juga, Noor Hisham memberitahu sebanyak 72 daripada 94 kes baharu yang dilaporkan di Malaysia pada Rabu melibatkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang daripada Indonesia, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 5, 945 kes.

“Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah 22 kes sahaja, dengan tiada kematian yang dilaporkan pada Rabu,” katanya sambil menambah 100 kematian kekal sejak Selasa.

Kebenaran beli barang berpasangan

Sementara itu, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob memberitahu bahawa kerajaan telah memberi kelonggaran pergerakan PKP dengan membenarkan dua orang daripada rumah yang sama untuk keluar dan berada dalam satu kenderaan.

Peraturan yang berkuatkuasa Rabu, iaitu hari pertama Fasa Ke-4 PKP, membenarkan dua orang untuk bergerak bersama dalam satu kenderaan untuk keluar dalam atau lebih radius 10 kilometer.

"Pewartaan terbaru, kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan pergerakan bagi membeli keperluan harian, dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan dan juga boleh melebihi radius 10 kilometer sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediamannya," kata Ismail Sabri.

Sebelum ini, hanya seseorang dibenarkan bergerak dalam sebuah kenderaan dengan radius 10 kilometer dari kediaman masing-masing untuk mendapatkan barangan keperluan, dan sebarang pergerakan melebihi jarak dibenarkan itu adalah atas budi bicara pihak polis.

Putrajaya telah melanjutkan tempoh PKP sebanyak 4 kali sejak pertama kali dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.