Pengantin Kanak-kanak, Ibu Bapanya Kembali dari Malaysia, Kata Pegawai Thailand
2018.08.10
Narathiwat & Pattani, Thailand

Seorang budak perempuan Thailand berusia 11 tahun yang berkahwin dengan lelaki Malaysia yang 30 tahun lebih tua daripadanya pada Jun lalu, dibawa pulang bersama-sama ibu dan bapanya ke Thailand minggu ini di mana mereka akan menerima perkhidmatan sokongan kerajaan sehingga budak itu mencapai usia 16 tahun.
Gabenor wilayah Narathiwat di selatan Thailand, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, nampaknya cuba menenangkan kemarahan antarabangsa selepas isteri kedua lelaki itu berkongsi maklumat tentang perkahwinan tersebut dalam Facebook pada Jun lalu. Tetapi, gabenor itu tidak mengisytiharkan perkahwinan berkenaan tidak sah dan berkata status itu akan dinilai lima tahun dari sekarang.
"Budak perempuan itu dan ibu bapanya menyeberang masuk kembali ke wilayah ini dan para pegawai di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia kini menjaga keperluan mental dan emosi mereka," kata Gabenor Narathiwat Suraporn Prommul kepada BeritaBenar hari ini.
Beliau berkata, keluarga itu kini tinggal di kawasan yang disediakan kementerian di mana doktor, psikologi, pekerja sosial dan lain-lain akan menjaga dan membantu mereka mencari peluang pendidikan dan pekerjaan.
"Untuk masa depan, kami akan berusaha memperbaiki kehidupan, pendidikan dan kesejahteraan mental mereka," kata Suraporn. "Oleh kerana budak perempun itu tidak mempunyai pendidikan asas wajib seperti orang lain, sektor kerajaan mesti mencari penyelesaian untuknya bagi membolehkan beliau menjalani kehidupan yang normal."
Pengantin lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai imam atau guru Islam, mempertahankan perkahwinan tersebut dalam sebuah video pada Julai lalu dengan mendakwa ia adalah "nikah gantung", istilah Melayu yang bermaksud perkahwinan yang berlaku dengan pemahaman bahawa ia akan disempurnakan pada suatu hari nanti, dan dalam kes ini selepas gadis itu berusia 16 tahun.
Seorang saudaranya yang tidak mahu dinamanya disebut, memberitahu BeritaBenar bahawa keluarga itu tinggal di Kelantan, di utara pantai timur Malaysia, di mana ibu bapa budak perempuan itu bekerja di sebuah ladang getah dan turut melakukan kerja untuk keluarga pengantin lelaki demi kehidupan mereka. Perkahwinan itu berlangsung di sempadan di Narathiwat.
Undang-undang Islam membenarkan seorang lelaki mempunyai empat isteri selagi dia dapat menyediakan dan menjaga setiap keluarganya secara saksama.
Di bawah undang-undang sivil Thailand, seorang wanita boleh bernikah pada usia 20 tahun tanpa persetujuan ibu bapa tetapi boleh berkahwin pada usia 17 tahun dengan kebenaran ibu bapanya atau pada usia 15 tahun dengan perintah mahkamah, menurut pakar perundangan. Tetapi, perkara itu dikecualikan di empat wilayah di selatan yang dihuni majoriti penduduk Islam.
"Pada 1946, Thailand meluluskan undang-undang Syariah di Pattani, Narathiwat, Yala dan Satun berhubung hal ehwal keluarga Islam seperti pertunangan, pernikahan, perceraian, hubungan pasangan, hubungan dan kehendak kekeluargaan sementara perkara lain mematuhi undang-undang Thailand,” kata Imam Pattani Sakariya Galeng kepada BeritaBenar.
Pada Julai, Safiri Jeha, presiden Jawatankuasa Islam wilayah Narathiwat, memberitahu BeritaBenar: "Undang-undang Islam membenarkan orang muda berusia 15 tahun dan ke atas untuk berkahwin tetapi usia itu mungkin lebih muda jika adanya persetujuan ibu bapa. Mereka boleh mengadakan majlis pernikahan di mana sahaja dengan kehadiran seorang imam. "
"Dalam kes budak perempuan berumur 11 tahun yang bernikah di Sungai Golok, mereka mematuhi ajaran Islam dan undang-undang Islam yang terpakai di Yala, Pattani, Narathiwat dan Satun," katanya.
Fokus pada pengantin kanak-kanak
Gabenor Suraporn, bagaimanapun, memberitahu bahawa status perkahwinan itu belum ditentukan.
"Apabila dia mencapai usia 16 tahun, kami akan menilai isu ini. Pengantin lelaki Malaysia juga seorang imam. Dia tahu undang-undang Islam, dia tidak akan melanggar peraturan, "kata Suraporn.
Suraporn berkata, beliau telah bertemu dengan ulama daerah pada Rabu dan memberitahu semua masjid supaya pada masa akan dating, majlis pernikahan pengantin muda kepada pengantin asing mesti diadakan di pejabat Islam wilayah.
Pesuruhjaya hak asasi kebangsaan pula mempersoalkan sama ada pemberitahuan itu akan menyelesaikan isu pengantin bawah umur.
"Bagaimana dengan status perkahwinan? Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Insan serta Jawatankuasa Islam mestilah menjelaskannya, "kata Angkhana Neelapaijit kepada BeritaBenar pada Jumaat. "Bagaimana jika pengantin lelaki datang menuntut isterinya?"
Presiden Kumpulan Duay Jai, organisasi yang memperjuangkan hak asasi manusia di selatan Thailand, menuntut agar undang-undang Islam dipinda.
"Pada masa akan datang, kita harus mencegah berulangnya masalah ini. Kita harus meminda undang-undang Islam yang meragukan, mewujudkan nilai-nilai yang betul di kalangan lelaki Muslim dan menyatukan undang-undang di seluruh sempadan supaya mempunyai standard yang sama," kata Anchana Heemmina.
Malaysia mempunyai sistem undang-undang sivil dan sistem undang-undang Islam yang berasingan. Undang-undang syariah, khususnya Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, menetapkan umur undang-undang untuk perkahwinan adalah pada 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun untuk lelaki, membenarkan pengecualian dengan kebenaran mahkamah. Undang-undang sivil menetapkan 18 tahun sebagai umur minimum perkahwinan untuk lelaki dan wanita.
Undang-undang keluarga Islam mewajibkan orang Malaysia yang berkahwin dengan seseorang dari negara lain supaya mendaftar pernikahan itu di pejabat Pendaftar Perkahwinan Islam dalam tempoh enam bulan.
Para pemimpin kerajaan Malaysia berkata mereka akan menimbang perkara berkaitan agama dan budaya semasa mereka berusaha menyediakan had usia untuk perkahwinan.
Pada Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata berita tentang pengantin kanak-kanak itu meningkatkan lagi gesaan supaya dinaikkan had umur perkahwinan mengikut undang-undang kepada 18 tahun – yang terdapat dalam janji pakatan Pakatan Harapan. Pakatan empat parti itu mengambil alih kuasa pemerintahan pada Mei lalu selepas mengalahkan gabungan parti Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14.