Malaysia Sedia Berbincang Dengan Myanmar Mengenai Penderaan Rohingya
2016.12.15
Kuala Lumpur

Para pegawai Malaysia bersedia untuk bertemu dengan rakan sejawat mereka dari Myanmar untuk mencari resolusi dalam menamatkan dakwaan pencabulan hak asasi manusia terhadap umat Islam Rohingya yang kebanyakannya terdapat di negeri Rakhine, Myanmar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia, Menteri Luar Anifah Aman bersedia bertemu dengan Kaunselor Myanmar yang juga pemenang Nobel Peace Prize Aung San Suu Kyi bagi membincangkan bagaimana negara majoriti Islam itu boleh membantu Myanmar menamatkan sebarang keganasan.
Myanmar telah menggesa anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mengambil bahagian dalam pertemuan pada Isnin depan bagi membincangkan krisis berkenaan.
Kami mengalu-alukan perkembangan positif ini," kata kementerian luar Malaysia dari ibu pejabatnya di Putrajaya.
"Mengenai dakwaan bahawa tindakan Malaysia baru-baru ini ‘tidak selari dengan ASEAN’ dan boleh menjejaskan kemungkinan bagi Malaysia memainkan peranan berwibawa ke arah penyelesaian jangka panjang di negeri Rakhine itu, Kementerian percaya bahawa suara lantang Malaysia mengenai isu tersebut telah menarik perhatian Myanmar untuk menjadi tuan rumah pertemuaan Menteri-menteri Luar ASEAN, " kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Walaupun Malaysia telah menyatakan minat mengenai pertemuan itu, negara anggota ASEAN yang lain mungkin tidak sehaluan, menurut Myanmar Times, dengan melaporkan bahawa Myanmar telah menghantar surat jemputan kepada sembilan negara anggota pada 9 Disember tetapi belum menerima maklumbalas sehingga 13 Dis.
Usaha BeritaBenar untuk menghubungi para pegawai di Indonesia dan Thailand untuk bertanya jika mereka merancang untuk menghadiri perhimpunan tersebut, bagaimanapun, tidak berjaya.
Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh dan kira-kira 30,000 menjadi pelarian ekoran tindakan keras tentera di negeri Rakhine. Lebih daripada 20,000 kaum Rohingya telah melarikan diri dari kawasan itu ke negara jiran Bangladesh di mana mereka menuduh tentera Myanmar membunuh orang awam, merogol wanita dan kanak-kanak perempuan serta membakar rumah mereka.
Najib ketuai perhimpunan
Perdana Menteri Najib Razak yang mengetuai perhimpunan 4 Disember di ibu negara Kuala Lumpur, mengutuk penindasan terhadap umat Islam Rohingya sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menggesa negara-negara Asia supaya meningkatkan tekanan terhadap Myanmar dalam usaha untuk menghentikan keganasan.
Langkah itu mendorong Menteri Hal Ehwal Luar Negara Myanmar Kyaw Tin memanggil Duta Besar Malaysia Mohd Haniff Abd Rahman mengadap dan menyatakan rasa kesal atas kenyataan Najib.Malaysia pada Khamis sekali lagi mempertahankan kedudukan Najib, berkata jika tidak ditangani segera keganasan yang berterusan akan memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan tidak hanya menjadi satu "urusan dalaman."
"Negara-negara anggota ASEAN sebagai komuniti negara mempunyai tanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan asasi rakyat selaras dengan Piagam ASEAN dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN," Kementerian Luar berkata dalam kenyataannya.
"Penghijrahan lebih ramai pelarian ke negara-negara jiran, termasuk Malaysia, akan menyaksikan berulangnya krisis orang bot 2015," katanya, merujuk kepada tindakan keras ke atas penyeludupan manusia di Thailand yang membawa kepada ketibaan secara tiba-tiba beribu pendatang ke Malaysia dan Indonesia pada Mei tahun lepas.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Ekonomi Wan Saiful Wan Jan memberitahu BeritaBenar adalah penting bagi semua negara ASEAN berada di halaman yang sama dalam menyelesaikan krisis walaupun "Kerajaan Myanmar akan mempertahankan tindakannya.
"Adalah tidak masuk akal jika kerajaan Myanmar berkata tidak ada masalah apabila semua orang berkata terdapat masalah," kata Wan Saiful.
Pandangan negatif
Asrul Hadi Abdullah Sani, seorang penganalisisa dengan Bower Group Asia, berkata Myanmar memerlukan penyelesaian jangka panjang bagi menangani konflik sejarah dan nasib Rohingya, yang telah dilucutkan hak-hak mereka sebagai rakyat Myanmar pada tahun 1982.
"Ia (perhimpunan) adalah satu permulaan yang baik, tetapi jangan harapkan keputusan yang drastik dari satu pertemuan," katanya kepada BeritaBenar.
Presiden Persatuan Rohingya Faisal Islam berkata, Yangon akan menggunakan pertemuan itu sebagai platform untuk menjelaskan kepada dunia bahawa "semuanya baik" di negeri Rakhine.
"Saya tidak yakin pada mesyuarat tersebut. (Pasti) kerajaan itu juga akan memberi gambaran negatif mengenai Rohingya, "katanya.
"Pemimpin-pemimpin ASEAN tidak sepatutnya menerima semuanya bulat-bulat, dan hanya berdiam. Mereka harus memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar untuk menangani isu ini.
"Ini semua telah berlangsung selama 20 tahun. Beri tekanan kepada kerajaan (Myanmar) untuk memberi hak asasi manusia, hak pergerakan, pendidikan, penjagaan kesihatan, "katanya.