Duta Khas ASEAN ke Myanmar Sambut Baik Rundingan Tidak Rasmi Dengan NUG, NUCC, Kata Saifuddin

Sementara itu, diplomat tertinggi Malaysia itu akan bertemu dengan menteri luar NUG di Washington selepas berakhirnya sidang kemuncak khas AS-ASEAN.
Shailaja Neelakantan & Nani Yusof
2022.05.11
Washington
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Duta Khas ASEAN ke Myanmar Sambut Baik Rundingan Tidak Rasmi Dengan NUG, NUCC, Kata Saifuddin Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah mendengar soalan semasa ditemu bual oleh BenarNews di hotel penginapannya di Washington, 11 Mei 2022.
[Radio Free Asia]

Duta khas ASEAN ke Myanmar menyambut baik idea untuk mengadakan rundingan tidak rasmi dengan NUCC Myanmar, badan yang mewakili pihak berkepentingan pembangkang dan kerajaan awam negara itu, kerana pihak junta telah mengingkari janji untuk menempatkan kembali Myanmar ke landasan demokrasi, kata Menteri Luar Malaysia pada Rabu.

Pertemuan dengan pihak berkepentingan pembangkang boleh diadakan secara persidangan video dan cara lain jika pihak junta melarang ia dilakukan secara bersemuka, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah kepada BenarNews selepas pertemuan tidak rasmi dengan diplomat tertinggi lain dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara di Washington, yang mendahului sidang kemuncak pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat (AS).

"Saya fikir utusan khas ASEAN, dalam ucapan penutupnya - walaupun saya tidak boleh bercakap bagi pihak beliau - ... menyambut baik idea untuk berbincang dengan NUG dan NUCC serta pihak berkepentingan lain," kata Saifuddin.

"Dua menteri lain juga bercakap dengan nada yang sama, tetapi tidaklah menyebut NUG dan NUCC."

Beliau merujuk kepada Kerajaan Perpaduan Nasional iaitu kerajaan awam Myanmar dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara. Majlis itu adalah badan perwakilan yang merangkumi ahli NUG, kumpulan masyarakat sivil, pertubuhan bersenjata etnik dan kumpulan enggan mematuhi sivil.

Cadangan Saifuddin dalam mesyuarat itu pada Rabu di Washington termasuklah mengukuhkan peranan utusan khas badan serantau itu ke Myanmar dan memastikan utusan khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke negara itu, Noeleen Heyzer, dijemput menghadiri mesyuarat-mesyuarat ASEAN yang berkaitan.

Heyzer tidak dapat menghadiri satu mesyuarat ASEAN pada minggu lalu untuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar kerana junta negara itu tidak mengiktirafnya.

“Saya menyuarakan bahawa utusan khas setiausaha agung PBB perlu dijemput ke semua mesyuarat yang berkaitan, tidak kira apa juga yang diperkatakan oleh pihak junta. Anda tidak boleh membiarkan junta menentukan siapa yang boleh dijemput,” kata Saifuddin mengenai perkara yang dibangkitnya pada pertemuan dengan menteri-menteri luar ASEAN.

“Jika ia mesyuarat ASEAN, maka ASEAN yang harus memutuskan siapa yang akan hadir. Dan dalam konteks ini, kita perlu menjemput Dr. Noeleen Heyzer.”

Dua minggu lalu, junta Myanmar berang apabila Saifuddin berkata beliau mahu mencadangkan supaya utusan khas ASEAN mesti berbincang secara tidak rasmi dengan NUG. Dalam reaksi balasnya, pihak junta menjenamakan NUG sebagai "kumpulan pengganas."

Berdasarkan kepada reaksi itu, jeneral Myanmar berkenaan pasti tidak gembira apabila Saifuddin berkata beliau merancang untuk mengadakan pertemuan pertama secara peribadi dengan menteri luar NUG, Zin Mar Aung, di Washington pada Sabtu. Menurutnya beliau bercadang untuk meminta pendapat menteri wanita itu tentang bagaimana rakyat Myanmar boleh meneruskan kehidupan mereka.

'Kita perlu lebih kreatif'

Menteri-menteri luar ASEAN itu berada di Washington bersama-sama para pemimpin negara masing-masing yang akan menyertai sidang kemuncak khas AS-ASEAN.

Saifuddin berkata menteri-menteri berkenaan merancang mengadakan mesyuarat tidak rasmi di Washington untuk membincangkan terutamanya krisis pasca rampasan kuasa di Myanmar dan kegagalan melaksanakan konsensus lima perkara yang telah dipersetujui junta Myanmar dengan ASEAN bagi mengembalikan keamanan dan demokrasi di negara itu.

Junta mengingkari kesepakatan itu walaupun negara-negara anggota ASEAN merancang untuk kekal dengan konsensus lima perkara tersebut, kata Saifuddin.

“Kami masih berpegang kepada konsensus lima perkara itu tetapi saya rasa, ramai dalam kalangan kami agak kecewa …,” kata Saifuddin.

“Saya rasa kami perlu lebih kreatif dan itulah sebabnya, sebagai contoh, kita [perlu] mula menamakan pihak berkepentingan … NUG, NUCC, kesemua mereka.”

Konsensus itu menetapkan supaya diadakan dialog yang membina di antara semua pihak; perantaraan bagi rundingan sedemikian oleh utusan khas pengerusi ASEAN; dan lawatan ke Myanmar oleh delegasi ASEAN, yang diketuai oleh utusan khas itu, untuk bertemu dengan semua pihak.

BenarNews bertanya kepada Saifuddin sama ada beliau percaya NUG harus menghadiri sidang kemuncak AS-ASEAN, kerana junta dihalang menyertai mesyuarat ASEAN dan Washington perlulah mengikuti langkah badan serantau itu. Menteri Luar NUG itu berada di Washington sejak Rabu.

“Kami belumlah sampai ke tahap itu. Cadangan saya kepada mesyuarat ASEAN pagi ini adalah untuk berbincang secara tidak rasmi. Seperti yang anda tahu, ramai di antara kami berjiwa demokrasi dan negara kami juga negara demokrasi,” kata menteri Malaysia itu.

“Tetapi, pada masa yang sama, kami tidak mahu melakukan sesuatu yang di luar kemampuan kami. Oleh itu, saya fikir cara terbaik untuk bergerak ke hadapan pada masa ini adalah dengan berbincang secara tidak rasmi dengan NUG.”

Sementara itu, seorang pegawai kanan pentadbiran Biden ditanya pada Rabu mengenai siapa yang akan mewakili Myanmar pada sidang kemuncak itu, beliau menjawab "kami akan memperkatakan tentangnya dengan lebih lanjut esok."

“Kami telah mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan buangan. Kami sedang berbincang tentang cara terbaik untuk mewakilkan tentang apa yang berlaku di Myanmar dan bagaimana untuk mewakilkannya dalam mesyuarat itu,” kata pegawai kanan pentadbiran berkenaan kepada Radio Free Asia, syarikat induk BenarNews, dalam satu taklimat kepada media.

"Saya rasa antara perbincangan itu adalah untuk mempunyai satu kerusi kosong bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kami terhadap apa yang berlaku dan harapan kami untuk mewujud laluan lebih baik pada masa depan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.