Malaysia digesa hentikan penghantaran pulang pemohon suaka Myanmar

Kebimbangan semakin meningkat kerana pembelot tentera adalah antara 150 orang yang dihantar pulang ke negara bergolak itu pada awal bulan ini
Perkhidmatan RFA Burma, Nisha David & Iman Muttaqin Yusof
2022.10.19
Washington & Kuala Lumpur
Malaysia digesa hentikan penghantaran pulang pemohon suaka Myanmar Warganegara Myanmar, yang ditahan di bawah undang-undang imigran Malaysia, sedang menunggu untuk menaiki penerbangan sewa khas ke Myanmar, 6 Okt. 2022
[Ihsan Pejabat Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur]

Kerajaan bayangan Myanmar dan kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan mereka mengenai laporan bahawa pembelot tentera adalah antara 150 warganegara Myanmar yang dihantar pulang ke negara itu dari Malaysia pada bulan ini.

Pihak berkuasa Malaysia menahan enam bekas pegawai tentera laut Myanmar pada September dan menghantar mereka pulang pada 6 Oktober, lapor perkhidmatan berita Reuters pada Rabu. Sekurang-kurangnya empat daripada mereka yang dihantar pulang telah memohon status pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia manakala seorang pegawai dan isterinya telah ditahan sejurus tiba di Yangon, menurut laporan itu.

Dua sumber di Malaysia mengesahkan pengusiran pembelot tentera kepada BenarNews, namun enggan nama mereka disiarkan kerana bimbang menghadapi tindakan daripada kerajaan Malaysia.

"Ya, ia benar," kata mereka, namun tidak mahu memberikan butiran lanjut.

Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur telah mengumumkan bahawa 150 rakyat negara itu yang "ditahan di bawah undang-undang imigran Malaysia untuk tempoh yang lama" telah dihantar pulang ke Myanmar pada 6 Oktober dengan penerbangan sewa khas. Ia tidak menyatakan siapa bekas pegawai tentera laut berkenaan.

Seramai 149 lagi warganegara Myanmar telah dihantar pulang pada 22 September 2022, menurut satu lagi notis di laman Facebook kedutaan itu.

Dalam reaksi kepada laporan pada Rabu, menteri hak asasi manusia untuk Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Awam Myanmar Aung Myo Min menggesa Malaysia untuk segera menghentikan pengusiran mereka yang berisiko dipenjarakan sekembalinya ke negara itu.

“Satu cabang dalam kerajaan Malaysia tidak seharusnya mendesak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk bertindak terhadap junta Myanmar sedangkan satu cabang lagi enggan pula membantu rakyat negara itu,” katanya kepada perkhidmatan Radio Free Asia (RFA) Burma.

“Kerajaan itu sepatutnya bertindak seiringan untuk menyokong demokrasi di Myanmar,” katanya. "Kami akan terus berbincang dengan kerajaan Malaysia dan menggesa Kuala Lumpur supaya berhenti meletakkan aktivis Myanmar dalam keadaan bahaya."

Pengusiran dan penghantaran pulang pembelot tentera itu nampaknya amat bertentangan dengan pendirian umum Malaysia yang mengutuk rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 2021 serta keganasan yang dilakukan oleh junta Myanmar terhadap orang awam yang menentang mereka.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah sering dilihat sebagai pengkritik Myanmar yang paling lantang di rantau itu dan merupakan sekutu terbesar Kerajaan Perpaduan Nasional.

Saifuddin merupakan menteri luar ASEAN pertama yang menghubungi kerajaan bayangan Myanmar, bertemu secara terbuka dengan menteri luarnya dan mendesak blok serantau itu supaya aktif berbincang dengannya.

BenarNews menghubungi sumber-sumber kerajaan Malaysia untuk bertanya sama ada bekas pegawai tentera Myanmar telah dihantar pulang pada 6 Oktober. Kementerian Luar berkata ia tidak dapat mengesahkan laporan itu. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia pula menjawab "tiada komen" manakala Saifuddin dan pembantunya tidak membalas pertanyaan itu.

‘Berat sebelah’ mengenai Myanmar

Bercakap kepada RFA, timbalan pengarah Asia Human Rights Watch yang berpangkalan di New York, Phil Robertson, menganggap tindakan pengusiran pelarian dan pencari suaka Malaysia ke Myanmar sebagai “keterlaluan dan tidak boleh diterima”, sambil menegaskan bahawa mereka mungkin akan dipenjarakan serta-merta oleh junta sekembalinya ke negara itu.

"Hakikatnya, tindakan menghantar pulang beberapa pembelot Tentera Laut ini, anda tahulah, benar-benar meletakkan mereka dalam keadaan yang amat berbahaya," katanya.

"Kebimbangan kami ialah adanya tindakan berat sebelah yang berlaku dengan pada satu peringkat, kerajaan Malaysia mendakwa bahawa ia mengambil berat tentang rakyat Myanmar serta demokrasi dan hak asasi manusia di Myanmar," katanya. "Tetapi, sebaliknya pada satu peringkat yang lain, kerajaan Malaysia bekerjasama rapat pula dengan junta tentera."

Beliau menggesa kerajaan Malaysia untuk menghentikan pengusiran warganegara Myanmar dan membenarkan Pejabat Pelarian PBB (UNHCR) diberi akses ke pusat tahanan Imigresen supaya kakitangan itu dapat mengenal pasti mereka yang memerlukan perlindungan.

“Kerajaan Malaysia telah menafikan akses kepada UNHCR untuk memasuki kawasan tersebut sejak Ogos 2019 dan ini tidak boleh diterima,” katanya.

Robertson juga menggesa negara-negara ketiga supaya merundingkan perjanjian yang membolehkan beberapa pelarian dan pencari suaka dari Myanmar mendapatkan perlindungan di tempat lain, jika Malaysia tidak mahu menerima mereka.

Hay Mar Soe di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.