Pemerdagangan manusia: Remaja ceritakan azab 'kasino' penipuan di sempadan bergolak Myanmar

Beberapa pemuda Laos adalah antara yang ditahan di negeri Kayin, dan dipaksa melakukan penipuan siber untuk kumpulan-kumpulan penjenayah.
Oleh Souphatta untuk RFA Lao dan Staf RFA Myanmar
2023.04.14
Pemerdagangan manusia: Remaja ceritakan azab 'kasino' penipuan di sempadan bergolak Myanmar
Ilustrasi foto RFA

'Jangan sesekali percaya dengan sesiapa sahaja yang tidak dikenali atau mendapat mesej cuba menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan," itu pesanan seorang mangsa yang dikenali sebagai Kham, yang meninggalkan rumahnya di barat laut Laos untuk menuju ke tempat yang disangkanya dapat memberinya peluang pendapatan, yang terletak di bandar-bandar perjudian Segitiga Emas di mana negaranya itu berkongsi sempadan dengan Thailand dan Myanmar.

Pada hari itu – Jumaat – ketika dia mengimbau kembali saat tersebut, remaja berkenaan memberitahu bahawa dia menerima satu nota di Facebook daripada orang yang tidak dikenali: seorang wanita muda bertanya apa yang sedang dilakukannya dan jika dia mahu mencari pendapatan. Dia bersetuju untuk bertemu wanita tersebut pada petang itu.

Wanita itu menjemput Kham, 16, bersama-sama seorang rakannya sebelum pergi meninggalkan ibu bapa mereka, yang tidak mengetahui apa-apa.

"Saya fikir saya akan bekerja selama sebulan atau dua bulan sebelum pulang semula ke rumah," kata Kham. (RFA menukar nama sebenar mangsa dalam kisah ini untuk melindungi mereka daripada kemungkinan sebarang tindakan balas.)

Tetapi, bukannya pekerjaan yang diperolehnya sebaliknya, Kham akhirnya diperdagangkan dan ditahan di sebuah bangunan biasa di sempadan Myanmar-Thailand, kira-kira 200 batu di selatan Segitiga Emas dan 400 batu dari rumahnya. Dia diasingkan dari dunia luar, diseksa dan dipaksa melakukan kerja tertentu: bekerja sebagai penipu siber.

230414-MY-Myanmar2.png

Pagar-pagar yang dipasang kawat berduri dilihat di luar kawasan Great Wall Park yang tertutup di mana pihak berkuasa Kemboja berkata mereka telah menemukan bukti pemerdagangan, penculikan dan penyeksaan manusia semasa serbuan dilakukan di kawasan yang disyaki melakukan jenayah siber di Sihanoukville, Kemboja, pada September 2022. Kredit: Reuters

Sejak beberapa tahun lalu, lokasi-lokasi rahsia seperti tempat di mana Kham ditahan telah berleluasa di seluruh wilayah itu apabila pandemik COVID-19 memaksa rangkaian penjenayah menukar strategi mereka untuk mencari pendapatan.

Satu skim yang popular masa kini melibatkan penipu memulakan hubungan romantis dalam talian palsu, yang akhirnya membawa kepada pencurian sebanyak mungkin wang daripada mangsa mereka.

Penipu tersebut berkata sekiranya mereka gagal mendapatkan wang daripada sasaran, mereka akan diseksa.

Beberapa remaja dari wilayah Luang Namtha di Laos, yang diperdagangkan ke tempat yang mereka kenali sebagai "Kasino Kosai" di kawasan pembangunan terpencil berhampiran bandar Myawaddy di sempadan timur Myanmar dan Thailand, telah menceritakan pengalaman buruk mereka kepada RFA.

Lebih menyedihkan, berpuluh-puluh remaja dan anak muda dari Luang Namtha dipercayai masih lagi terperangkap di lokasi itu bersama-sama dengan mangsa dari negara-negara lain Asia.

Kes itu hanyalah sejumlah kecil daripada rangkaian besar pemerdagangan manusia, yang telah menjerat lebih 150,000 mangsa setahun di Asia Tenggara.

Ia menunjukkan bagaimana ketamakan dan pergolakan politik membolehkan jenayah itu dilakukan secara berleluasa, dengan remaja seperti Kham terpaksa menanggung azabnya.

230414-MY-Myanmar3.png

Iklan Facebook palsu Sands International ini menawarkan pekerjaan sebagai penyambut tetamu. Ia menyenaraikan faedah pekerjaan termasuk gaji sebanyak 31,000 baht, kediaman percuma dan dua hari cuti rehat sebulan. Mereka yang layak memohon adalah pemegang pasport, warganegara Thailand, berusia di antara 20 hingga 35 tahun dan sanggup bekerja di Kemboja. Kredit: tangkap skrin RFA

Janji wang tunai

Biasanya, ia bermula dengan tawaran pekerjaan yang menarik.

Dalam kes beberapa remaja Laos yang ditemu bual RFA, umpan yang digunakan ke atas mereka adalah semudah satu mesej melalui Facebook atau aplikasi pemesejan.

Penipuan lain pula melibatkan ciri yang lebih terperinci dengan tawaran pekerjaan yang kelihatan sahih namun menjerat pelbagai lapisan masyarakat daripada kalangan profesional hinggalah kepada buruh serta belia yang bercita-cita tinggi.

Persamaan mereka ialah tawaran gaji yang tinggi di bandar-bandar kasino yang kelihatan mewah di sekitar Asia Tenggara – kebanyakannya dibina dengan sokongan sindiket jenayah China yang beroperasi di kawasan sempadan yang tidak dikawal baik oleh pihak berkuasa kerana kedudukannya yang jauh.

Sebelum 2020, “banyak tempat seperti ini terlibat dalam dua perkara: perjudian, di mana kumpulan warga Thailand dan China kunjunginya untuk percutian kasino pada hujung minggu, atau melakukan pertaruhan dalam talian,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia di Human Rights Watch.

“Kemudian, secara tiba-tiba COVID menular, dan sindiket ini [yang mengendalikan operasi kasino] memutuskan untuk merubah model perniagaan mereka. Apa yang mereka lakukan adalah penipuan.”

230414-MY-Myanmar4.png

Sebuah motosikal melepasi kasino tertutup di Sihanoukville, Kemboja, pada Februari 2020. Memandangkan sekatan perjalanan dilaksanakan semasa pandemik itu, sindiket-sindiket yang mengendalikan kasino menukar tumpuan mereka daripada perjudian kepada penipuan, kata Phil Robertson dari Human Rights Watch. Kredit: Reuters

Hari ini, bandar-bandar perjudian seperti Sihanoukville di Kemboja dan pinggir Tonpheung di Segitiga Emas Laos, menjadi terkenal kerana menjerat orang yang mencari pekerjaan sebagai mangsa pemerdagangan.

Tetapi, selain tempat-tempat ini, terdapat banyak kawasan pembangunan tidak dikawal selia menempatkan "kasino-kasino" penipuan yang beroperasi dengan sedikit kawalan ketat termasuk yang berada di sempadan Thailand dan Burma.

Keo, 18, mempunyai pekerjaan yang sah di sebuah kasino di Laos semasa dia dihubungi melalui WhatsApp oleh seorang lelaki, yang memberitahunya bahawa dia boleh menjana lebih banyak pendapatan – 13 juta kip ($766) sebulan berserta bonus – dengan bekerja di Thailand. Dia boleh meninggalkan tempat itu pada bila-bila masa dia mahu, dakwa lelaki tersebut.

“Saya memikirkan tawaran kerja baharu itu selama dua hari, kemudian saya memberitahunya ‘ya’ pada hari ketiga kerana tawaran itu memberi gaji lebih tinggi, ada komisen dan saya boleh pulang kew negara saya pada bila-bila masa,” kata Keo.

Dia berhenti kerja dengan berbohong kepada majikannya bahawa dia mahu melawat keluarganya. Beberapa hari kemudian, sebuah trak pikap Toyota Vigo hitam membawanya dan dua rakannya sebelum mereka menaiki bot menyeberangi Mekong menuju ke Thailand.

230414-MY-Myanmar5.png

Penipuan

Tatkala dia menyedari dirinya menjadi mangsa pemerdagangan - dua lelaki yang mengiringinya dan rakan-rakannya didapati bersenjata.

"Semasa di atas bot, seorang daripada kami ... mencadangkan agar kami pulang ke Laos, tetapi kami takut untuk bertanya," kerana lelaki itu mempunyai pistol dan pisau. Dia juga tidak berani melompat keluar daripada bot itu.

“Kemudian, seorang daripada kami mencadangkan supaya kami menghubungi ibu bapa kami – tetapi lelaki itu berkata ‘di atas bot, kami tidak menggunakan telefon.’ Kami tidak berani menghubungi ibu bapa kerana kami takut dicederakan,” katanya. "Jadi, kami berdiam diri sehinggalah kami tiba di wilayah Thailand."

Keo dan Kham memberitahu RFA bahawa mereka akhirnya diperdagangkan ke Perbandaran Myawaddy, kawasan yang terletak kira-kira 300 batu di selatan Segitiga Emas.

Kham hanya mengingati sebahagian tentang perjalanannya apabila dia dipaksa berjalan berbatu-batu jauhnya.

Keo memberitahu RFA Laos bahawa dia telah dibawa menaiki beberapa SUV yang dipandu selama berhari-hari dari siang hingga malam sehinggalah dia tidak ingat berapa lama masanya dalam perjalanan itu.

"Semasa perjalanan itu, kami mengesyaki bahawa kami tidak berada di Thailand - kami mungkin berada di Myanmar. Kami bertanya kepada pemandu warga Thailand itu yang menyatakan bahawa dia juga tidak tahu tentangya, dia hanya pemandu,” katanya. "Pada ketika itu, kami mahu pulang ke rumah, tetapi kami tidak dapat berbuat demikian kerana dua lelaki itu memerhatikan kami."

230414-MY-Myanmar4.png

Kasino Kosai. Kredit: Wartawan warga

Keadaan tidak begitu buruk pada mulanya. Selama tiga hari, Kham berkata mereka yang baru tiba telah diberi kebebasan untuk meneroka kawasan tersebut. Mereka diajar cara menggunakan aplikasi pemesejan yang mereka harapkan untuk mencari sasaran penipuan dan diberi skrip mengenai perkara yang hendak diperkatakan.

Skim itu membabitkan kaedah berpura-pura menjadi orang yang kesunyian dan mencari cinta di Thailand, dengan memulakan perbualan dan menjalinkan hubungan dalam talian yang palsu.

Dengan pantasnya, mereka mempelawa sasaran untuk memasukkan wang ke dalam akaun pelaburan palsu tetapi sebaliknya mereka mengambil wang itu.

Kham percaya dia tiba pada Ogos; Keo sekitar September – kedua-duanya bertemu di Kasino Kosai.

"Pada bulan pertama, kami baik-baik sahaja kerana kami dibenarkan menggunakan telefon kami," kata Keo. "Tetapi, pada bulan-bulan berikutnya, apabila kami tidak berjaya mendapatkan pelanggan, kami telah dipukul."

Mereka yang dipaksa menjadi penipu itu perlu bekerja 16 jam sehari, berada di dalam bilik dari awal pagi hingga tengah malam untuk mencari mangsa penipuan.

Lima puluh orang diletakkan di sekeliling sebuah meja di dalam sebuah bilik besar, bekerja dalam sekumpulan 10 atau 12 orang menggunakan peranti yang diberikan kepada mereka, dengan para penculik mereka memantau kerja yang mereka lakukan pada skrin komputer.

"Kami diberi masa tiga hari untuk mendapatkan seorang pelanggan," kata Keo. "Jika tidak, kami boleh dipukul pada hari keempat."

230414-MY-Myanmar7.png

Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket pekerjaan menghadiri sidang berita di Petaling Jaya, Malaysia pada 2022. Pasangan itu, yang enggan namanya didedahkan kerana bimbang tentang keselamatan mereka, berkata mereka ditawarkan pekerjaan bergaji tinggi di Thailand yang ternyata suatu penipuan. Sebaliknya, mereka dibawa ke kompleks kasino di Myanmar berhampiran sempadan Thailand. Kredit: Associated Press

Pusat penipuan siber di seluruh Asia Tenggara menyasarkan mangsa-mangsa di seluruh dunia.

Enam remaja yang bercakap dengan RFA berkata mereka dipaksa mencari mangsa Thailand, tetapi yang lain pula disuruh menyasarkan penutur bahasa Asia lain serta penutur bahasa Inggeris dan Eropah.

Untuk melaksanakan penipuan yang meluas seperti itu, penyeludup- penyeludup membawa masuk orang dari China, Filipina, Malaysia dan juga dari Afrika.

Sempadan Thailand dan Burma adalah tempat menarik untuk sindiket menyembunyikan mangsa mereka kerana pergolakan dalaman menyebabkan wilayah itu sukar dikesan polis.

Perebutan kuasa di bandar Myawaddy - kawasan pentadbiran seluas kira-kira 1,200 batu persegi di negeri Kayin, di tebing sungai Moei yang menyusuri sempadan - telah lama berlaku antara tentera Myanmar dan militia etnik Karen.

Berikutan rampasan kuasa 2021, penguatkuasaan undang-undang sivil di Myanmar secara amnya tumbang apabila junta dan pasukan polis "benar-benar memberi tumpuan sepenuhnya untuk memerangi kumpulan penentang dan organisasi etnik bersenjata yang terlibat dalam perang saudara," kata Vanda Felbab-Brown dari Institusi Brookings di Washington.

230414-MY-Myanmar8.png

Militia serpihan Karen yang dikenali sebagai Tentera Kebajikan Karen Demokratik [dalam gambar] mengawal kawasan di perbandaran Myawaddy di Myanmar di mana terletaknya Casino Kosai, sumber tempatan memberitahu RFA Myanmar. Kredit: Gambar fail Reuters

Pada masa yang sama, banyak militia tempatan yang berada dengan pihak tentera telah diberi kebenaran secara sulit oleh junta untuk terlibat dalam ekonomi haram yang menjana wang.

"Jadi, anda mempunyai dua penarikan balik mengikut penguatkuasaan undang-undang atas kapasiti tempatan, malah memperdalamkan lagi keterlibatan penguatkuasaan undang-undang kerana ini adalah mekanisme untuk membayar semua sekutu junta," jelas Felbab-Brown.

Dinamika ini menjadikan sempadan lebih menarik bagi pembangunan pusat penipuan siber.

"Dilaporkan terdapat sebanyak 20 atau 30 daripada enklaf [pemerdagangan kasino] ini di sepanjang sempadan," kata Robertson dari HRW.

"Mereka pada dasarnya dibenarkan melakukan sebanyak 20 hingga 30 kes ini kerana mereka [pihak berkuasa di rantau ini] adalah sebahagian daripada pakatan dengan tentera, jadi mereka sanggup menutup mata terhadap semua ini, dan mungkin mendapat sedikit sogokan."

Menurut pin geolokasi yang dihantar kepada RFA oleh beberapa ibu bapa remaja Laos yang kini terperangkap di Kasino Kosai, lokasi itu nampaknya adalah sebuah gudang yang terletak kira-kira 20 batu di selatan bandar Myawaddy, di seberang sempadan dari sebuah bandar Thailand.

Sumber tempatan memberitahu RFA Myanmar bahawa kawasan itu dikawal oleh serpihan militia Karen yang dikenali sebagai Tentera Kebajikan Karen Demokratik (DKBA) di bawah pimpinan Brigedier Jeneral Sai Kyaw Hla.

Remaja Laos mungkin mengetahui tempat kurungan itu yang dikenali sebagai "Kasino Kosai", dengan perkataan "Ko" membawa maksud "Tuan" dalam bahasa Myanmar dan "Sai" adalah kata hormat Shan/Thai di bawah pemerintahan Sai Kyaw Hla.

Bagaimanapun, dinamika serantau adalah rumit dan sukar untuk diketahui dengan pasti. Ditanya mengenai isu-isu ini oleh RFA Myanmar, DKBA menafikan ia mengetahui tentang keadaan itu dan berkata mereka tidak mengawal wilayah tersebut.

Jurucakap DKBA Kol. Saw Sein Win pula bercakap mengenai kasino pemerdagangan itu: "Kami tidak membenarkan perkara seperti itu di wilayah kami."

230414-MY-Myanmar9.png

Seorang pemuda yang dipaksa bekerja di Kasino Kosai telah diikat pada satu tiang dan direnjat [kiri]. Kelihatan kecederaan tubuhnya di sebelah kanan. Kredit: Tangkap skrin daripada video yang diberikan kepada RFA

Dijadikan tebusan

Mereka yang ditahan di Kasino Kosai adalah kebanyakannya remaja Laos tetapi terdapat juga sekurang-kurangnya 12 orang China yang kelihatan agak lebih berusia, kata bekas tahanan itu.

Pada mulanya, Keo berjaya menipu beberapa orang - dia tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu, katanya, kerana dia hanya cuba untuk mendapatkan bayaran dan kemudian mengelakkan hukuman. Tetapi ia pantas menjadi lebih sukar untuk mencari sasaran menipu.

"Semasa dipukul, saya terfikir untuk pulang ke rumah tetapi seorang pekerja berkata tiada siapa boleh pulang ke rumah," katanya.

Selepas kira-kira tiga bulan, dia diberitahu bahawa dia akan dijual.

Seorang daripada penculiknya membenarkan dia menghubungi ibu bapanya dan meminta mereka membayar 500,000 baht ($14,625) untuk pembebasannya. "Jika tidak, saya akan dijual sama ada mati atau hidup," katanya.

Ibu bapanya merundingkan wang tebusan itu sehingga mencecah 200,000 baht ($5,800).

Kham, sebaliknya, tidak berjaya menipu kerana kurang fasih berbahasa Thai dan kerana itu dia berulang kali dihukum. Dia berkongsi imej penyeksaannya dengan RFA dan menunjukkan kesan pada tubuhnya yang dikatakan daripada alat renjatan.

Keganasan dilihat berleluasa dalam video yang ditonton oleh RFA yang diambil daripada lokasi-lokasi penipuan rahsia lain dari seluruh Asia, dan layanan kejam terhadap mangsa di lokasi berkenaan telah dilaporkan oleh media lain.

Selepas tempoh tertentu, penculik memberi peluang kepada Kham untuk meninggalkan tempat itu. Majikannya "bertanya kepada ramai pekerja Laos termasuk saya sama ada kami mahu pulang ke negara kami," katanya. "Kira-kira sepuluh orang daripada kami berkata ‘ya’ kerana kami tidak boleh melakukan kerja itu - kami tidak boleh membaca dalam bahasa Thai."

Mereka disuruh menghubungi ibu bapa masing-masing dan memberitahu mereka bahawa mereka akan dibebaskan dengan bayaran 500,000 baht. Beberapa orang termasuk keluarga Kham dapat berunding untuk menurunkan kadar bayaran itu sebelum dibebaskan.

Kham dan Keo serta segelintir yang lain dapat pulang ke kediaman mereka pada awal tahun ini.

230414-MY-Myanmar10.png

Mangsa pemerdagangan selepas dibebaskan. Kredit: Diberi kepada RFA

Tiada tempat untuk mendapatkan bantuan

Dalam temu bual dengan RFA, pegawai Laos dan Myanmar mengakui bahawa pemerdagangan manusia adalah suatu masalah tetapi memberitahu bahawa ketidakstabilan serantau menghalang tindakan diambil.

“Junta tentera pengganas membiarkan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini berlaku berbanding mengambil tindakan terhadap mereka,” kata Tin Tun Naing, pegawai tinggi Kerajaan Perpaduan Negara pembangkang kepada RFA.

Pegawai kerajaan Laos berkata mereka telah bertemu dengan junta Myanmar dan mengemukakan maklumat mengenai lokasi Casino Kosai.

Tetapi pihak berkuasa itu "tidak dapat mengakses kawasan tersebut kerana berlakunya pertempuran sengit antara kumpulan etnik dan pihak berkuasa negeri Kayin," kata seorang pegawai kedutaan Laos di Myanmar kepada Perkhidmatan RFA Laos.

"Kami tidak boleh memberitahu anda bila kami boleh pergi ke sana. Kami telah meminta bantuan pihak berkuasa tempatan tetapi mereka menyatakan bahawa sukar untuk mengesan pekerja Laos kerana mereka memasuki Myanmar secara haram, tanpa pasport.”

Bagaimanapun, dua remaja lain yang bercakap dengan RFA berkata pembebasan mereka dipermudahkan oleh askar Myanmar - walaupun tidak diketahui daripada pihak tentera atau militia mana mereka bekerja.

Kedua-dua mangsa dan pakar hak asasi manusia berkata pemerdagangan itu dilakukan dengan bantuan dan secara bersubahat oleh pihak berkuasa di semua pihak.

"Malangnya di seluruh Asia Tenggara, perbuatan rasuah secara besar-besaran oleh pasukan penguatkuasa undang-undang dikaitkan dengan kelemahan mereka sendiri, selain sikap acuh tak acuh mereka," kata Felbab-Brown dari Brookings. “Terdapat banyak [juga] rasa selesa dalam pasukan penguatkuasaan di negara-negara Asia Tenggara. … Coraknya sangat tragis dan mengerikan, namun tidaklah mengejutkan.”

Berpuluh-puluh remaja lagi masih lagi terperangkap termasuk seorang yang berusia 14 tahun di mana ibunya telah menghubungi perkhidmatan RFA Laos bersama-sama ibu bapa remaja lain yang dipercayai masih berada di Kasino Kosai.

Seorang lagi mangsa yang masih ditahan di sana menghubungi RFA pada awal bulan ini. Polis dan tentera Laos turut hadir semasa dia ditahan dan ketika dia dipindahkan ke kasino itu, dia mengutus mesej kepada RFA.

Polis Thailand pula tidak mengendahkan perkara itu kerana mereka didakwa telah diberi rasuah oleh penyeludup China.

"Polis tahu di mana kami berada," tulisnya. "Saya tidak tahu mengapa mereka tidak membantu kami."

Radio Free Asia ialah sebuah agensi berita yang bersekutu dengan BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.