Rakyat Malaysia mangsa penipuan pekerjaan selamat tiba di tanah air
2023.12.01
Kuala Lumpur
Sekumpulan rakyat tempatan yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan selamat tiba di ibu negara selepas dibawa keluar dari kawasan konflik perang saudara di Myanmar ke China menerusi sempadan antarabangsa kedua-dua negara berkenaan, dengan bantuan daripada Beijing, demikian menurut Kementerian Luar Malaysia pada Jumaat.
Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 3 pagi waktu tempatan dengan menaiki penerbangan khas dari bandaraya Kunming di China, selepas terpaksa melalui perjalanan menaiki bas dari Laukkaing, bandar di utara Myanmar ke Lapangan Terbang Cangyuan di wilayah Yunnan, baratdaya China sebelum menaiki pesawat khas Lucky Air ke Kunming.
"Mereka dibawa balik dari Kunming dengan menaiki pesawat sewa khas AirAsia AK9106 ke KLIA," kata Timbalan Menteri Luar Malaysia Mohamad Alamin yang menyambut ketibaan kumpulan itu di KLIA.
Beliau berkata, misi membawa pulang rakyat Malaysia yang berusia antara 20 dan 50 tahun itu telah diselaraskan oleh Kedutaan Malaysia di Yangon dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming dengan mendapat kebenaran dan kerjasama daripada Myanmar dan China.
Katanya, Malaysia telah mendapat kerjasama baik dari Myanmar dan China untuk merentasi sempadan memandangkan ada di antara mangsa tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.
Mohamad menambah, kejayaan membawa pulang kumpulan itu adalah susulan hasil perbincangan antara Timbalan Perdana Menteri II Malaysia Fadillah Yusof dengan dua Naib Premier China, Liu Guozhong dan Ding Xuexiang semasa lawatan rasmi ke negara itu pada 16 November lepas.
Timbalan Menteri Luar itu juga memberitahu jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang dijadualkan pulang adalah seramai 128 orang, namun tujuh individu tidak berbuat demikian selepas dua menarik diri di saat akhir, seorang berada jauh dari lokasi sempadan manakala tiga lagi individu tidak muncul di lokasi pertemuan.
“Seorang lagi rakyat Malaysia terkandas disebabkan memiliki rekod jenayah di China,” katanya, sambil menambah ada di antara mereka yang kini sedang berlindung di hospital lapangan di Laukkaing yang selamat dari serangan yang tercetus antara pihak junta dengan kumpulan pemberontak sejak penghujung Oktober lepas, sementara menanti proses selanjutnya.
Menurut beliau, kesemua mereka yang dibawa pulang itu dijadualkan memberi keterangan kepada pihak berkuasa Malaysia dan akan melalui proses undang-undang sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.
Turut dibawa pulang bersama kumpulan tersebut ialah seorang warga Indonesia yang diuruskan oleh Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Terpedaya
Pada April lalu, BenarNews melaporkan sekumpulan rakyat Malaysia, majoritinya golongan remaja telah menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di Asia Tenggara.
Kebanyakkan mangsa mendakwa mereka terpedaya dengan tawaran gaji lumayan, namun jatuh dalam perangkap seterusnya dan dipaksa terlibat dalam aktiviti penipuan atas talian.
Sindiket penipuan itu melibatkan hubungan romantik palsu atas talian yang seterusnya membawa kepada kehilangan wang di pihak mangsa.
Kebanyakan remaja yang terperangkap dibawa ke kawasan terpencil di sempadan Malaysia-Thailand, di mana lokasi-lokasi rahsia digunakan sebagai hab untuk aktiviti penipuan.
Sepanjang tempoh COVID-19, jaringan penyeludupan terpaksa beralih kepada menggunapakai operasi dari perjudian sehingga penipuan atas talian.
Mangsa-mangsa tersebut turut terpaksa tinggal dalam persekitaran pekerjaan yang ganas dan sukar, dipaksa untuk bekerja lebih masa sebagai penipu siber.
Kurang kawalan di wilayah-wilayah tertentu di sepanjang sempadan memudahkan lagi operasi hub-hub rahsia tersebut.
Para tahanan remaja telah diasingkan, dipujuk malahan ada yang diugut, termasuk ada di kalangan mereka akan dijual sekiranya ahli keluarga gagal membayar wang tebusan.
Sementara itu, Adrian Pereira, aktivis terkenal yang menentang pemerdagangan manusia di Malaysia, berkata kebanyakan mangsa berasal dari latar belakang sosio-ekonomi yang bermasalah, dan kebiasaannya terpaksa hidup dalam keadaan sukar, menjadikan mereka sasaran mudah untuk dieksploitasi.
“Pada peringkat mikro, ia adalah gabungan isu keadaan ekonomi-sosial. Mereka hidup dalam keadaan serba daif menyebabkan mereka mudah terpedaya dengan tawaran yang dijanjikan, selain mewujudkan perangkap sosio-ekonomi yang membawa kepada menjadi mangsa pemerdangan manusia,” ujarnya lagi.
Pereira, pengarah eksekutif North-South Initiative (NSI) meluahkan kebimbangan mengenai kekurangan kerjasama dengan badan-badan kerajaan sambil berkata pihak polis di semua negara sepatutnya bekerjasama untuk menghentikan penipuan.
Iman Muttaqin Yusof dan Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.