Gesaan PM Malaysia Rohingya Diberikan Kewarganegaraan, Negeri Sendiri Bangkitkan Kemarahan Myanmar
2019.08.02
Kerajaan Myanmar pada Jumaat mengecam Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berhubung kenyataannya yang mencadangkan pewujudan negeri berasingan untuk etnik Muslim Rohingya yang ditindas di negara itu, dengan menganggapnya sebagai melanggar prinsip tidak campur tangan ASEAN.
Dalam satu wawancara dengan Agensi Anadolu Turki pada 26 Julai, Mahathir berkata etnik Rohingya Myanmar berdepan pembunuhan beramai-ramai semasa operasi pihak tentera negara itu di Rakhine pada 2017, dan mereka yang melarikan diri dari tanah air itu haruslah diberi hak mendapatkan kewarganegaraan atau wilayah yang ditadbir sendiri.
Beribu-ribu etnik Rohingya terbunuh semasa operasi itu manakala kira-kira 750,000 yang lain melarikan diri dengan menyeberangi sempadan ke Bangladesh, di mana mereka kini tinggal di kem-kem yang padat dan tidak selamat.
Cadangan yang dibuat Mahathir bukannya boleh membantu keadaan itu, kata jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay, pada sidang berita yang diadakan oleh pejabat presiden di ibu negara Naypyidaw.
"Apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri Malaysia adalah tidak selari dengan dasar tidak campur tangan ASEAN serta prinsip asas dalam Piagam ASEAN," katanya, yang merujuk kepada instrumen perlembagaan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, sebuah organisasi antara kerajaan serantau yang dianggotai 10 negara di Asia Tenggara.
"Myanmar dan ASEAN bekerjasama dalam pelbagai isu di negeri Rakhine dan apa yang beliau katakan bukannya membantu apa-apa tetapi sebaliknya mengganggu kerjasama kami," katanya.
Zaw Htay juga berkata bahawa kenyataan itu boleh menjejaskan kerjasama antara kerajaan Myanmar dan Bangladesh berhubung program penghantaran pulang pelarian yang dipersetujui kedua-dua negara itu pada November 2017. Penghantaran pulang itu belum dilaksanakan kerana hampir semua etnik Rohingya berkenaan tidak bersedia untuk kembali menyeberang ke Myanmar dalam keadaan sekarang.
"Myanmar tidak boleh menerima bentuk [campur tangan] seperti ini dalam hal ehwal dalaman negara lain," kata jurucakap tersebut.
Myint Thu Panggil Duta Malaysia
Myint Thu, setiausaha tetap Kementerian Luar Negeri Myanmar, telah memanggil duta Malaysia pada Rabu bagi menyuarakan rasa kecewa dan bantahan kerajaan negara itu terhadap kenyataan Mahathir.
Selain daripada menegur diplomat itu kerana melanggar prinsip utama ASEAN yang tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan menghormati kedaulatan dan keutuhan negara anggota pertubuhan itu, Myint Thu memberitahunya bahawa Myanmar dengan tegas menolak tuduhan mengenai pembunuhan beramai-ramai itu, lapor agensi berita Myanmar.
Teguran itu dibuat beberapa hari selepas Myint Thu mengetuai delegasi peringkat tinggi Myanmar yang turut disertai wakil-wakil dari ASEAN dalam lawatan rasmi ke daerah Cox's Bazar di Bangladesh untuk bertemu dengan pelarian etnik Rohingya di beberapa kem bagi memberi penjelasan kepada mereka tentang persiapan bagi penghantaran pulang serta memberitahu mereka bahawa kewarganegaraan penuh bagi golongan minoriti tanpa negara itu bukanlah suatu pilihan.
Ia adalah kunjungan kedua pegawai Myanmar ke kem-kem itu bagi meyakinkan etnik Rohingya yang kebimbangan mengenai proses penghantaran pulang itu.
Kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya tinggal di kem-kem itu yang terletak di tenggara Bangladesh, dengan sesetengah daripada mereka melarikan diri daripada keganasan yang berlaku di Myanmar.
Para pelarian itu pernah menyatakan bahawa mereka tidak akan kembali ke Myanmar kecuali jika mereka diberi kewarganegaraan penuh dan diberi jaminan keselamatan di negara sendiri, yang menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh, menafikan hak mereka mendapatkan kewarganegaraan serta membuat mereka tertakluk kepada diskriminasi secara sistematik.
Seorang lelaki etnik Rohingya (kanan) dari Myanmar menjual daun sirih di sebuah pasar di kem pelarian Kutupalong di Ukhia, daerah Bazar Cox, tenggara Bangladesh, 21 Julai, 2019.[AFP]
'Ia boleh dilakukan'
Para pegawai Malaysia menyokong cadangan yang dibuat Mahathir.
Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin, timbalan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia iaitu NGO tempatan, berkata wilayah berasingan dan kewarganegaraan untuk pelarian Rohingya merupakan langkah yang boleh dilaksanakan.
"Ia boleh dilakukan dengan melakukan gesaan dan tindakan yang lebih lantang oleh komuniti antarabangsa terutamanya negara-negara dan komuniti ASEAN agar isu ini dapat diselesaikan dengan tuntas," kata beliau dalam kenyataan kepada akhbar berbahasa Melayu, Sinar Harian.
‘Tragedi kemanusiaan’ yang berlaku di negeri Rakhine hanya dapat diselesaikan jika hak etnik Rohingya sebagai warganegara diiktiraf oleh kerajaan Myanmar, kata Ahmad Fahmi.
"Pengiktirafan kewarganegaraan ini akan membolehkan kumpulan etnik itu mendapat hak serta layanan saksama berasaskan kepada prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya. Hak kewarganegaraan ini penting untuk membolehkan etnik Rohingya mendapat akses dalam sistem politik dan sosio-ekonomi negara tersebut."
Syed Hamid Albar, bekas menteri luar negeri Malaysia dan bekas utusan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, juga mengulas isu itu.
"Kami mengalu-alukan kenyataan Dr. Mahathir yang mendesak bahawa 1.2 juta pelarian Rohingya diberi kewarganegaraan penuh di Myanmar, atau diberikan wilayah untuk membentuk negeri mereka sendiri," katanya dalam catatan Twitter.
"Gesaan yang dibuat oleh pemimpin ASEAN harus disokong sepenuhnya bagi menyelesaikan krisis yang berlanjutan itu mengikut nilai-nilai kemanusiaan dan secara adil," katanya dalam catatan itu.
Syed Hamid menyatakan bahawa Myanmar pada asalnya terdiri daripada banyak negeri yang berasingan, dan pemerintahan kolonial British telah memaksa pelbagai kumpulan etnik untuk menjadi satu negara.
"Dan kini mereka harus dilayani sebagai warganegara atau [mempunyai wilayah yang dipulangkan kembali kepada mereka] untuk membolehkan mereka membentuk sebuah negeri," katanya.
'Masalah dalaman Myanmar'
Bagaimanapun, para pegawai Bangladesh memberi pendapat berbeza.
"Perdana Menteri kami telah menjelaskan bahawa Bangladesh tidak menyokong langkah yang menjejaskan kedaulatan Myanmar. Ini adalah pendirian rasmi kami," kata Menteri Penerangan Bangladesh Hasan Mahmud kepada BeritaBenar, sekutu perkhidmatan berita dalam talian RFA, pada Jumaat.
Seorang pegawai dari kementerian luar negeri yang enggan dirinya dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka mengenai isu itu pula berkata negara itu tidak menyokong etnik Rohingya diberi negeri yang berasingan.
"Rohingya adalah dari Myanmar," katanya. "Apa yang dikehendaki oleh Bangladesh adalah kepulangan Rohingya, yang memasuki Bangladesh, ke negara itu secara selamat, sukarela dan lestari."
"Ia adalah isu dalaman Myanmar sama ada mereka akan memberikan kewarganegaraan kepada Rohingya atau tidak," kata pegawai itu.
Dilaporkan oleh RFA, sekutu perkhidnatan berita dalam talian BeritaBenar. Muzliza Mustafa dan Ali Nufael di Kuala Lumpur serta Kamran Reza Chowdhury di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.