Malaysia Beri Amaran Myanmar Dikecualikan Daripada Sidang Kemuncak ASEAN

Saifuddin Abdullah menegur kepimpinan tentera Myanmar kerana tidak memberi kerjasama kepada utusan khas badan serantau itu ke Myanmar.
Hadi Azmi & Ahmad Syamsudin
2021.10.04
Kuala Lumpur & Jakarta
Malaysia Beri Amaran Myanmar Dikecualikan Daripada Sidang Kemuncak ASEAN Menteri Luar bagi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menghadiri mesyuarat maya badan serantau itu pada 4 Oktober 2021.
[Foto ihsan @VivianBala melalui Twitter]

Myanmar mungkin dikecualikan daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN yang akan datang jika kerajaan tentera negara itu tidak memberi kerjasama kepada utusan khas badan serantau tersebut yang ditugaskan untuk membantu menyelesaikan krisis pasca rampasan kuasa di sana, kata menteri luar Malaysia pada Isnin.

Menerusi catatannya di Twitter, Saifuddin Abdullah berkata bahawa beliau menyampaikan pandangan Malaysia itu pada mesyuarat Menteri Luar Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), yang turut dianggotai Myanmar, pada Isnin.

Kenyataan Menteri Luar Malaysia itu dibuat selepas laporan minggu lalu menyatakan bahawa tentera Myanmar telah menolak permintaan utusan khas ASEAN itu untuk bertemu dengan pemimpin awam yang digulingkan dan kini dipenjarakan, Aung San Suu Kyi.

"Pada mesyuarat Menteri Luar ASEAN hari ini, saya menyatakan bahawa kami kecewa kerana pihak berkuasa Myanmar tidak memberi kerjasama kepada Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar," kata Saifuddin mengenai mesyuarat secara maya itu.

“… jika tiada sebarang perkembangan, adalah sukar untuk menerima kehadiran Pengerusi SAC pada Sidang Kemuncak ASEAN.”

Beliau merujuk kepada sidang kemuncak ASEAN yang diadakan dua kali setahun itu, dengan mesyuarat pada tahun ini digabungkan dan diadakan pada 26 hingga 28 Oktober.

Saifuddin berkata Min Aung Hlaing, ketua junta dan ketua Majlis Penasihat Negara Myanmar - kerajaan de facto - tidak bekerjasama secara konstruktif dengan utusan khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Yusof, yang dinamakan badan serantau itu pada Ogos lalu.

Jurucakap junta berkata bahawa "sukar untuk membenarkan [utusan khas] bertemu dengan mereka yang sedang menunggu perbicaraan," lapor Agence France-Presse pada minggu lalu.

Erywan berkata beliau tetap bertegas untuk bertemu dengan anggota-anggota kerajaan Liga Nasional Demokrasi (NLD) yang sedang dipenjarakan - termasuk Aung San Suu Kyi - yang digulingkan oleh tentera pada 1 Februari lalu.

Kenyataan menteri Malaysia itu adalah komunikasi awam yang paling keras dibuat oleh seorang diplomat Asia Tenggara kepada wakil junta Myanmar, sejak rampasan kuasa berlaku pada Februari.

Semasa tentera Burma menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat, ia mendakwa berlakunya penipuan pengundian sehingga membawa kemenangan besar kepada parti NLD pimpinan Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya umum November lalu.

Pihak junta belum lagi memberikan sebarang bukti berhubung dakwaannya itu dan telah bertindak keras terhadap mereka yang mengadakan demonstrasi bagi menuntut dikembalikan kerajaan awam di seluruh negara, hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 1,158 orang terbunuh sejak lapan bulan lalu.

'ASEAN tidak boleh berperanan seperti biasa'

Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi juga membangkitkan isu penyertaan Myanmar pada sidang kemuncak ASEAN yang akan datang dalam mesyuarat menteri luar badan serantau itu pada Isnin.

Beliau berkata tiada sebarang kemajuan dibuat sejak badan serantau 10 negara itu, termasuk Myanmar, bersetuju dengan konsensus lima perkara bagi menyelesaikan krisis yang berpunca daripada rampasan kuasa tentera.

"Tentera [Myanmar] tidak memberikan maklum balas positif kepada usaha yang dilakukan Utusan Khas. … Beberapa negara anggota berpendapat bahawa ASEAN tidak boleh berperanan ’seperti biasa’ berikutan perkembangan itu," kata Retno pada sidang media.

"Pada pendapat Indonesia, sudah tiba masanya menteri luar ASEAN melaporkan situasi ini kepada sembilan pemimpin ASEAN, dan menunggu arahan mengenai bagaimana ASEAN harus berinteraksi dengan Myanmar, terutamanya yang berkaitan dengan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-38 dan Ke-39. "

Pegawai-pegawai yang dilantik oleh tentera Myanmar telah menyertai semua mesyuarat-mesyuarat kecil ASEAN sejak rampasan kuasa berlaku pada 1 Februari, dan amaran bahawa penyertaan seperti itu mungkin dihentikan boleh membawa kepada keadaan yang berbeza, kata Aaron Connelly yang mengetuai program politik Asia Tenggara di Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik di Singapura.

"Sekiranya ada dorongan kepada SAC untuk memenuhi walaupun sebahagian daripada tanggungjawabnya berdasarkan Konsensus Lima Perkara itu, dalam hal ini, ia adalah ancaman untuk menggantung kerajaan de facto itu - kerana banyak pakar dasar luar Malaysia telah berbahas mengenai isu ini sejak beberapa bulan lalu," catat Connelly dalam Twitter beliau semasa memberi reaksi kepada catatan Twitter menteri luar Malaysia itu.

Timbalan Pengarah Asia bagi badan pemerhati antarabangsa, Human Rights Watch, Phil Robertson bersetuju dengan pandangan Connelly.

"Kementerian Luar Malaysia menzahirkan idea yang tepat untuk mengecualikan junta tentera Myanmar daripada sidang kemuncak ASEAN pada Oktober kecuali Jeneral Min Aung Hlaing dan Tatmadaw mengambil serius mengenai Utusan Khas badan serantau itu," katanya dalam catatan Twitter beliau.

Sementara itu, penggubal undang-undang Malaysia Charles Santiago berkata badan serantau itu perlu menyatakan "kesan yang akan dihadapi junta Myanmar sekiranya ia terus mempermainkan ASEAN."

Ini termasuk melarang pegawai junta daripada menyertai sebarang mesyuarat dan menghalang jeneral-jeneralnya daripada melakukan perjalanan ke rantau itu, katanya.

"Sidang Kemuncak ASEAN pada akhir bulan ini memberikan peluang yang tepat untuk membolehkan langkah-langkah ini segera dilakukan," kata Santiago yang juga anggota Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia, dalam kenyataan.

"Sejak rampasan kuasa berlaku, sudah berkali-kali pihak junta mempermainkan ASEAN seperti orang dungu, dengan menggunakannya untuk mencuba dan mendapatkan keabsahan."

Konsensus ASEAN untuk menggantung Myanmar ‘sukar’ dilakukan

Penganalisis mengenai rantau ini, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa di Singapura, berkata beliau percaya yang ASEAN tidak akan menggantung Myanmar daripada badan serantau itu atau tidak menjemput wakil tentera negara itu ke sidang kemuncak yang akan datang.

Indonesia dan Malaysia mungkin tidak dapat meyakinkan negara lain ASEAN - Thailand dan Kemboja – supaya meminggirkan Myanmar, kata Oh.

“Ini hanya boleh berlaku sekiranya ada konsensus, tetapi sukar dilaksanakan kerana Thailand dan Kemboja akan menyatakan, apa salahnya membenarkan Myanmar menyertai sidang kemuncak ini?” kata Oh kepada BenarNews, dengan menamakan negara yang pemimpinnya dikatakan rapat dengan pihak tentera Myanmar.

ASEAN boleh membuat keputusan hanya apabila semua negara anggotanya bersetuju – ini adalah prinsip, yang menurut ramai pengkritik, menyebabkan badan serantau itu tidak berkesan.

Sama ada kedua-dua negara itu bersetuju atau tidak untuk mengetepikan Myanmar, tentera Myanmar tidak mungkin membenarkan utusan khas ASEAN memasuki negara itu dalam masa terdekat ini, kata seorang lagi penganalisis rantau ini, James Chin dari Universiti Tasmania.

"Junta hanya bersedia selepas mereka benar-benar dapat mengatasi pihak pemberontak. Mereka perlu 110 peratus menguasai kawasan-kawasan bandar sebelum bersedia untuk berunding,” kata Chin kepada BenarNews.

"Konsensus lima perkara dengan ASEAN tiada nilai baginya seperti mana kertas yang ditandatanganinya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.