Penyeludupan manusia: 'Transporter' rakyat tempatan ditahan bersama enam warga Myanmar

Tiga daripada enam warga Myanmar dijumpai di dalam bonet kenderaan yang dipandu warga tempatan.
Nisha David & Noah Lee
2022.08.11
Kuala Lumpur
Penyeludupan manusia: 'Transporter' rakyat tempatan ditahan bersama enam warga Myanmar Keenam-enam warga Myanmar tanpa dokumen dipercayai mangsa penyeludupan manusia ditemui dalam sebuah kereta dipandu warga tempatan di Shah Alam, Selangor, 10 Ogos, 2022.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Seorang lelaki rakyat tempatan yang bertindak sebagai 'transporter' telah ditahan pihak berkuasa Malaysia pada Khamis kerana dipercayai cuba menyeludup enam warga Myanmar bagi satu sindiket pemerdagangan manusia dan membawa mereka dari Kelantan ke Selangor, dengan tiga daripadanya dipaksa bersesak dalam tempat simpanan barang sebuah kereta untuk mengelak daripada dikesan.

Kejayaan mematahkan cubaan penyeludupan warga Myanmar itu adalah yang kedua bulan ini, selepas pihak berkuasa menyelamatkan seramai 25 lagi yang cuba diseludup menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna ke Kuala Lumpur pada awal Ogos. Polis percaya sindiket yang sama bertanggungjawab terhadap kedua-dua kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan kepada media berkata siasatan awal polis mendapati kesemua warga Myanmar yang ditahan berusia antara 18 dan 36 tahun, termasuk tiga wanita, yang cuba diseludup untuk bekerja secara haram di Selangor.

"Ketika polis menjalankan operasi sekatan jalanraya di Persiaran Tun Teja Alam Impian di Shah Alam kira-kira jam 1 petang 10 Ogos 2022, pasukan yang bertugas telah menahan sebuah kereta Nissan Teana berwarna hitam dan menangkap seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang disyaki cuba menyeludup enam warga Myanmar.

"Pemeriksaan polis ke atas kenderaan berkenaan menemui tiga lelaki di bahagian penumpang belakang manakala tiga lagi wanita disembunyikan di dalam bonet belakang kereta. Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," kata pegawai kanan polis itu.

Menurut Mohd Iqbal, siasatan turut mendapati pemandu yang ditahan itu adalah "transporter" kepada kumpulan penyeludupan manusia yang menerima bayaran RM300 ringgit bagi setiap mangsa dengan perjalanan daripada Kota Bharu di Kelantan ke Klang, Selangor.

“Suspek juga mendedahkan menerima bayaran upah tersebut daripada seorang lelaki dikenali sebagai 'Pok Sey'. Selain penyeludupan, pihak berkuasa juga menemui sejumlah 50 biji pil berwarna dipercayai pil kuda (dadah jenis amfetamin) serta peralatan menghisap dadah,” tambahnya lagi.

Mohd Iqbal berkata, polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya.

"Polis telah mendapat perintah tahanan reman terhadap suspek warga tempatan selama 28 hari mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala enam warga Myanmar pula ditahan reman selama 14 hari," kata pegawai berkenaan.

WhatsApp Image 2022-08-11 at 2.03.24 PM.jpeg

Tiga wanita warga Myanmar disembunyikan di dalam bonet kenderaan ketika polis Malaysia melakukan pemeriksaan di Shah Alam, Selangor, 10 Ogos, 2022. [Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pada 4 Ogos lalu, polis Kuala Lumpur telah menyelamatkan 25 pendatang asing warga Myanmar yang diseludup ke Malaysia secara haram untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.

Kesemua mereka dibawa menaiki sebuah kereta MPV mewah Toyota Vellfire yang dipandu 'transporter' warga tempatan yang baru berusia 17 tahun.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai berkata 25 pendatang asing itu berusia antara 15 dan 29 tahun, termasuk enam wanita.

"Seorang lagi lelaki tempatan berjaya melarikan diri ketika cuba ditahan polis, manakala 25 pendatang asing iaitu 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun yang duduk dalam keadaan berhimpit ditahan bersama remaja tersebut," kata Beh melalui kenyataan media.

Siasatan polis mendapati, kesemua warga asing yang berusia 15 hingga 39 tahun itu diseludup masuk ke Malaysia untuk mendapat pekerjaan dengan bayaran RM6,000 setiap seorang.

Menurut sumber polis yang tidak boleh dinamakan kerana tidak mempunyai kebenaran bercakap dengan media berkata, walaupun modus operandi ini cuma baru diwar-warkan kepada umum baru-baru ini, ia adalah taktik yang sudah acap kali digunakan oleh sindiket untuk menyeludup masuk warga asing tanpa dokumen.

“Cuma sebelum ini kita tidak berkongsi berkaitan tangkapan seperti ini sebelum ini,” kata sumber itu lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.