Pegawai JPN, Ahli Perniagaan Berpangkat Datuk dan Empat Lagi Didakwa
2019.09.12
Kuala Lumpur, Malaysia

Enam rakyat Malaysia termasuk penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan ahli perniagaan bergelar Datuk pada Khamis telah didakwa di sebuah mahkamah di utara Malaysia kerana memalsu dan menjual sijil kelahiran serta kad pengenalan negara itu kepada warga China.
Kesemua mereka yang berusia di antara 34 dan 66 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen George Town, di Pulau Pinang atas 32 pertuduhan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Kanun Keseksaan dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.
Berdasarkan dokumen mahkamah, mereka yang didakwa adalah penolong pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34, ahli perniagaan bergelar Datuk, Lai Chin Wah, 56, warga emas Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, bersama menantunya Chien Guan Chai, 36, Loh Chan Cheong, 34, dan Yap Cheng Wah, 44.
Keenam-enam mereka menghadapi pertuduhan dibawah Seksyen 26E ATIPSOM kerana menjual dokumen pengenalan diri bertujuan memudahkan perbuatan penyeludupan migran, yang mana jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara di antara 7 dan 15 tahun, serta denda di antara RM50,000 dan RM500,000, atau kedua-duanya sekali.
Menurut dokumen mahkamah, lima daripada mereka turut menghadapi pertuduhan dibawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen dengan undang-undang berkenaan memperuntukkan hukuman maksima 7 tahun penjara, dan juga boleh dikenakan denda.
Pertuduhan di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan itu turut dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.
Kesemua kes itu dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 dan 2, di hadapan Hakim Salha Hamzah dan Mazdi Abdul Hamid, menurut laporan akhbar tempatan, Utusan Malaysia.
Mohd Faizul mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan berdepan dengan pertuduhan paling banyak iaitu 11 pertuduhan kesemuanya.
Dua pertuduhan di bawah ATIPSOM, dan empat di bawah Kanun Keseksaan, diikuti lima pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dengan kesemua kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, antara Sept 2018 hingga Mei 2019.
Ahli perniagaan bergelak Datuk, Lai Chin Wah, bersama Mohd Faizal, Chien, Loh dan Yap didakwa atas beberapa pertuduhan memalsukan dan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan, serta bersubahat dengan Mohd Faizul.
Jika disabitkan kesalahan dibawah peraturan berkenaan, kesemua mereka berhadapan hukuman penjara maksima tiga tahun, atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.
Pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Yusaini Amer Abdul Karim dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, Noor Azura Zulkiflee, Farah Aimy Zainul Anwar, Yazid Mustaqim Roslan dan Shafiq Sazali.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tiada jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 18 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Tahan 22 kesemuanya
Kesemua tertuduh adalah antara 22 orang suspek yang ditahan polis dalam satu operasi di Pulau Pinang baru-baru ini kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan sijil kelahiran dan kad pengenalan untuk mendapatkan pasport Malaysia kepada warga asing.
Selain enam yang dituduh pada Khamis, polis juga menahan empat warga China dan seorang rakyat India.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed pada Rabu berkata, dua warga China telah ditahan Jabatan Imigresen dan polis, sebelum membawa kepada penahanan beberapa lagi warga China dan India serta rakyat tempatan termasuk seorang pegawai JPN.
Kesemua mereka disyaki berfungsi sebagai ejen, orang tengah, penganjur serta pemilik kad pengenalan, sijil lahir dan pasport Malaysia, kemudiannya ditahan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) selama 28 hari.
Huzir berkata, kegiataan itu disedari pihak berkuasa selepas Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan seorang wanita warga China kerana memiliki kad pengenalan serta cuba memohon pasport Malaysia di pejabat Imigresen Seberang Jaya, pada 16 Mei lepas.
"Wanita warga China itu ditahan setelah gagal dalam sesi temubual yang dijalankan pegawai imigresen yang mendapati beliau tidak langsung boleh berbahasa Malaysia," tambahnya lagi.
Menurutnya, wanita yang ditahan dibawah Akta Imigresen dan Akta Pasport Malaysia itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk disiasat di bawah Peraturan 25(1)(E) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengemukakan diri sebagai seorang warganegara Malaysia untuk memperolehi pasport negara itu.
Huzir berkata, wanita berkenaan kemudiannya didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah keatas semua pertuduhan melibatkan Akta Imigresen dan JPN.
Sementara itu, agensi berita nasional Malaysia, Bernama, melaporkan bahawa JPN sedang mengkaji semula prosedur pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan susulan pembongkaran aktiviti berkenaan.
Laporan itu memetik kenyataan oleh JPN yang mengatakan bahawa jabatan berkenaan mahu memastikan proses pengeluaran dokumen-dokumen tersebut dibuat mengikut langkah yang ditetapkan di dalam Akta Pendaftaran Negara 1959.
Selain itu, JPN juga telah melancarkan siasatan dalaman bagi memastikan perkara berkenaan tidak berulang lagi di masa hadapan.
"JPN tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau staf yang didapati terbabit dalam aktiviti yang mampu menggugat keselamatan dan kedaulatan negara," kata jabatan itu dalam kenyataan.