Malaysia Perkenal Pelan Lima Tahun Tangani Rasuah

Ray Sherman & Zam Yusa
2019.01.29
Kuala Lumpur, Malaysia
190129-MY-NACP620.jpg Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, dikelilingi oleh menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan semasa pelancaran Pelan Antirasuah Nasional NAPC yang dibentuk untuk membenteras gejala rasuah di Kuala Lumpur, 29 Jan, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Selasa melancarkan Pelan Antirasuah Nasional [NACP] untuk membersihkan imejnya sambil menangani rasuah yang telah mencemarkan nama baik negara.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang melancarkan pelan lima tahun dari 2019 - 2023 di pusat pentadbiran Putrajaya berkata kerajaan komited memerangi rasuah, dan usaha ini merupakan amaran kepada pesalah rasuah pada masa kini dan masa depan.

“Pelan ini adalah satu kenyataan tegas dari kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lalu telah dan sedang kita kejar dan akan kita hukum, manakala pemberi dan penerima rasuah sekarang dan masa depan akan dikenakan tindakan yang lebih tegas.

“Ini juga membuktikan bahawa tindakan yang kita ambil terhadap perasuah yang lalu bukan satu tindakan berlandaskan dendam atau benci,” kata Mahathir.

NACP menggariskan enam strategi dan 115 inisiatif antirasuah melibatkan sektor-sektor politik; perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat.

Pelan yang akan dibangunkan oleh Pusat Tadbir, Integriti dan Pencegahan Rasuah (GIACC) Negara dijangka akan melancarkan perubahan besar dalam proses pelantikan jawatan penting, keperluan bagi penggubal undang-undang dan menteri untuk mengisytiharkan secara terbuka aset mereka, dan memperkenalkan undang-undang baru untuk mengawal pembiayaan politik dan melobi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] akan bertindak sebagai badan peneraju bagi pelaksanaan NACP dengan GIACC pula akan memantau dan menilai keberhasilan dan pencapaian pelan tersebut dengan kerjasama daripada jabatan kerajaan yang lain.

Pelan itu diperkenalkan lapan bulan selepas gabungan parti Pakatan Harapan [PH] mengambil alih tampuk kepimpinan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama enam dekad.

Perubahan oleh kerajaan baharu jelas kelihatan selepas rakyat menolak kerajaan BN yang tercemar oleh skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diperkenalkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Ini bukanlah kali pertama pentadbiran kerajaan memperkenalkan inisiatif membanteras rasuah, kerana semasa pentadbiran perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, pelan Integriti Nasional [PIN] telah dilancarkan pada 2004 yang memberi tumpuan kepada kewibawaan di kalangan masyarakat.

Malangnya, menurut Mahathir PIN gagal mengurangkan ‘budaya rasuah’ sambil berkata "sebaliknya rasuah berleluasa sehingga negara dilabel sebagai negata kleptokrasi dan ini sangat memalukan,"

Atas kesedaran tersebut, Perdana Menteri itu berkata, kerajaan PH mahu menegakkan kedaulatan undang-undang, menerapkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti serta tadbir urus yang baik apabila mentadbir negara.

"Ini akan menjadi asas dalam usaha untuk menghapuskan rasuah dan membentuk ekosistem bebas rasuah untuk generasi akan datang. Kerajaan yakin jika berjaya dalam usaha ini, Malaysia akan memperoleh semula kedudukan yang sepatutnya," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan berpendapat bahawa orang awam bukan sahaja perlu diingatkan tentang rasuah yang berlaku tetapi juga kesannya kepada negara dan digalakkan mencari jalan untuk memastikan supaya kerajaan baharu tidak mengulangi perbuatan yang sama.

"Apa yang penting sekarang adalah usaha bersungguh-sungguh untuk menangani rasuah untuk masa depan, bukan sahaja menghukum pesalah tetapi juga membuat perancangan dalam memastikan kesilapan yang sama tidak berulang," tambah beliau pada sidang media selepas pelancaran majlis itu.

Indeks CPI

Sementara itu Transparency International dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan pada 2018 menyenaraikan kedudukan Malaysia di tangga 61 daripada 180 buah negara dalam indeks berkenaan, berbanding tempat ke-62 pada 2017.

Walaupun kedudukan Malaysia meningkat dengan satu mata, Malaysia dianggap sebagai salah satu daripada empat negara yang dikatakan mempunyai masa depan cerah mengatasi masalah rasuah.

Laporan CPI itu juga ada menyebut, walaupun terdapat kemerosotan dan penurunan pada tahun 2018, harapan untuk memerangi rasuah nampak cerah dengan perkembangan politik di rantau berkenaan, terutamanya di Malaysia, Maldives, Pakistan dan India.

“Di keempat-empat negara tersebut, terdapat usaha awam secara besar-besaran untuk memerangi rasuah, ditambah dengan penyertaan politik yang disokong oleh peningkatan jumlah pengundi, telah melahirkan kerajaan baharu yang berjanji untuk melancarkan pembaharuan di dalam usaha untuk membanteras rasuah,” kata kenyataan dalam indeks TI itu.

Dalam pada itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar berkata laporan yang dikeluarkan oleh TI pada Selasa itu menunjukkan yang Malaysia berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI pada tahun lalu dan 2017.

“Kedudukan Malaysia setakat ini agak memuaskan dan masyarakat meletakkan keyakinan terhadap kerajaan baharu Pakatan Harapan dan sekiranya kerajaan boleh kekalkan momentum dalam memerangi rasuah, tidak mustahil kedudukan negara boleh meningkat,” kata Akhbar.

Beliau juga memberitahu yang skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling banyak rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Mengenai pelancaran NACP, beliau berkata, tindakan kerajaan memperkenalkan NACP adalah satu usaha yang baik untuk memerangi rasuah dan perlu melibatkan semua pihak diikuti dengan    pengurusan sumber secara teratur.

"Bukan hanya perdana menteri, tetapi semua menteri mesti bekerja dan menunjukkan (keikhlasan kerajaan) dalam membendung rasuah," katanya kepada BeritaBenar, sambil menambah bahawa rancangan itu juga harus memperuntukkan anggaran yang lebih besar kepada agensi pencegahan rasuah negara SPRM.

Denmark dan New Zealand diumumkan sebagai negara paling bersih rasuah manakala Somalia, Sudan Selatan dan Syria menduduki tangga terbawah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Muhammad fawwaz zikri
May 29, 2021 09:50 AM

di mana saya boleh dapat latar belakang penulis ini?