Singapura Laksana Hukuman Mati Terhadap Rakyat Malaysia Kurang Upaya Intelek

Ia susulan kegagalan rayuan untuk mendapatkan pengampunan di salah sebuah negara yang memiliki undang-undang antidadah paling tegas di dunia.
Ray Sherman & Suganya Lingan
2022.04.27
Kuala Lumpur
Singapura Laksana Hukuman Mati Terhadap Rakyat Malaysia Kurang Upaya Intelek Ahli keluarga berkabung memperingati rakyat Malaysia Nagaenthran K. Dharmalingam, yang didakwa oleh keluarganya kurang daya intelek, setelah dihukum gantung sampai mati atas kesalahan mengedar heroin ke Singapura, dalam satu upacara memorial di Singapura, 27 April, 2022
[AFP]

Singapura telah melaksanakan hukuman mati terhadap lelaki Malaysia yang kurang upaya intelek pada Rabu atas kesalahan mengedar dadah, menurut bekas peguamnya, selepas gagal dalam permohonan di mahkamah rayuan dan pengampunan di peringkat antarabangsa di negara republik itu, yang memiliki undang-undang antinarkotik antara paling tegas di dunia.

Peguam M. Ravi adalah antara ramai aktivis antihukuman mati yang berkabung di media sosial bagi meratapi pelaksanaan hukuman gantung sampai mati ke atas Nagaenthran Dharmalingam.

“Nagaenthran Dharmalingam. 27 April 2022. Dihukum gantung sampai mati pada tarikh ini oleh kerajaan,” ciapnya di laman Twitter dengan tulisan putih berlatar belakang hitam.

Reprieve, sebuah pertubuhan hak asasi yang menentang hukuman mati, pula berkata nama Nagaenthran akan dikenang dalam sejarah sebagai mangsa tragik kepada pengabaian undang-undang.”

“Hukuman gantung ke atas seorang lelaki kurang upaya intelek disebabkan beliau diperdaya untuk menyeludup kurang dari tiga sudu diamorphine adalah terang-terangan tidak wajar,” ujar badan itu di Twitter.

Pada Selasa, Mahkamah Rayuan Singapura telah menolak cabaran undang-undang pada saat akhir yang difailkan oleh ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam. Cabaran yang difailkan olehnya adalah berdasarkan kepada fakta bahawa hakim yang telah mendengar dan menolak rayuan Nagaenthran adalah peguam negara sama yang telah menjalankan pertuduhan dan mendapatkan hukuman salah keatas kesnya.

Mayat Nagaenthran akan dihantar pulang kepada keluarganya di Ipoh, Perak iaitu sebuah negeri di utara Malaysia untuk upacara pengebumian pada Selasa, kata abangnya Navin Kumar kepada organisasi media di Singapura.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu petang, Kementerian Luar Malaysia memaklumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah telah mengutus surat kepada rakan sejawat mereka di Singapura bagi merayu agar hukuman ke atas Nagaenthran diringankan.

Menerusi maklum balasnya kepada surat yang sama pada November, kerajaan Singapura memaklumkan bahawa Nagaenthran Dharmalingam telah diberikan ruang sepenuhnya dalam proses undang-undang.

Kementerian Luar Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

“Kami, menerusi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, secara berterusan telah menghulurkan bantuan guaman yang bersesuaian kepada ahli keluarga beliau,” menurut kenyataan itu.

220427-MY-Nagaenthran-Inside.jpg

Panchalai Supermaniam, ibu Nagaenthran Dharmalingam, menitiskan air mata di luar Mahkamah Agung Singapura selepas ikhtiar terakhir bagi mencabar hukuman mati ke atas anaknya ditolak, 26 April 2022. [Reuters]

Dalam pada itu, kes Nagaenthran Dharmalingan telah mencetuskan semula perdebatan mengenai desakan menghapuskan hukuman mati di Malaysia di mana terdapat beberapa penangguhan pelaksaksanaan hukuman sejak 2018.

Menurut statistik dari 2019, berdasarkan data terkini sejumlah 1,281 individu di 26 pusat tahanan di seluruh Malaysia sedang menanti hukuman mati.

Amnesty International, yang menjalankan kajian pada tahun sama berhubung sebab mengapa Malaysia perlu memansuhkan hukuman itu, melaporkan bahawa kebanyakan individu yang menanti hukuman mati telah disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah.

Pada 2017, Malaysia meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 yang antara lain menyatakan sekiranya sesuatu kes memenuhi kriteria tertentu, seperti ketiadaan bukti pembelian dan penjualan dadah, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup “dan hukuman rotan tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya semua syarat dipenuhi,” kata peguam dan bekas pendakwa raya Samantha Chong kepada BenarNews pada November.

Biarpun pindaan itu dan pelaksanaan moratorium ke atas hukuman mati masih berjalan, mahkamah di Malaysia tetap menjatuhkan hukuman mati ke atas pesalah kerana tiada pilihan lain dalam undang-undang sedia ada, katanya.

Kes Nagaenthran Dharmalingam turut menarik perhatian kepada pelaksanaan hukuman mati dan undang-undang berkaitan dadah di Singapura, iaitu antara negara yang memiliki undang-undang paling keras di dunia.

Akta Penyalahgunaan Dadah republik itu memperuntukkan hukuman mati ke atas individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram (0.5 auns) ke negara tersebut.

Nagaenthran Dharmalingam telah ditahan oleh pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun atas kesalahan mengedar 44 gram heroin ke negara itu. Dia telah dijatuhkan hukuman mati pada 22 Nov 2010.

Peguam belanya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dan berhujah bahawa Nagaenthran Dharmalingam memiliki tahap kecerdasan akal IQ 69, yang dianggap sebagai kurang upaya intelek. Permohonan pengampunan presiden pula telah ditolak pada Jun 1 2020.

Pelaksanaan hukuman mati ke atasnya telah tertangguh selama beberapa bulan apabila mahkamah tertinggi Singapura pada November membenarkan penangguhan setelah Nagaenthran Dharmalingam positif COVID-19.

Di antara tahun 2014 dan 2019, Singapura telah melaksanakan hukuman mati ke atas 35 individu, kebanyakannya bagi kesalahan berkaitan dadah, menurut data rasmi yang dikeluarkan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan minggu ini bagi menggesa kerajaan Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman gantung ke atas Nagaenthran Dharmalingam, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata negara itu kembali melaksanakan hukuman mati pada 30 Mac setelah ditangguhkan selama lebih dua tahun.

Iskandar Zulkarnian di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.