Najib Tolak Gesaan Letak Jawatan

Hata Wahari
2015.08.31
150831-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Najib Razak memberi gerak isyarat sebelum bermulanya sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 di Kuala Lumpur. 31 Ogos 2015.
AFP

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menolak gesaaan supaya meletakkan jawatan sambil menegaskan bahawa beliau akan kekal berkuasa walaupun beratus ribu rakyat berkumpul untuk membantah secara besar-besaran skandal pembayaran berjuta dolar ke dalam akaun peribadi miliknya

“Lawan tetap lawan, kita tidak akan berundur, tidak akan menyerah kalah sebab kita berada di landasan yang benar dan kita akan berjuang habis-habisan bagi membela negara yang dicintai ini,” kata Najib sambil mengecam perhimpunan yang dianggapnya tidak menghormati sambutan Hari Kebangsaan ke-58.

Satu bantahan terbesar selama 34 jam yang bermula pada Sabtu, telah di adakan oleh lebih 200,000 peserta BERSIH 4.0 di tengah-tengah ibu negara Malaysia di mana mereka mendesak Najib meletakkan jawatan berhubung dakwaan rasuah serta membantah perkembangan politik yang tidak menyenangkan.

Jalan-jalan di sekitar ibunegara Kuala Lumpur bertukar menjadi lautan kuning, warna rasmi Bersih, apabila peserta berhimpun untuk menuntut reformasi institusi kerajaan, walaupun polis telah memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap perhimpunan ‘haram’ itu.

Perhimpunan Bersih oleh para penyokong reformasi Malaysia, yang menggesa kerajaan supaya lebih telus dan bertanggungjawab, juga diadakan serentak di bandar Kuching dan Kota Kinabalu serta di beberapa bandar di negara asing.

Ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan pada Ahad malam, Najib melahirkan rasa kesal atas tindakan segelintir pihak yang yang sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan serta api permusuhan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.

"Sesungguhnya, kami tidak akan membenarkan sesiapa sahaja sama ada dari dalam atau luar (negara), untuk dengan mudahnya datang dan mencuri, merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kami bina selama ini.

"Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur begitu sahaja," katanya.

BERISH 4.0 membuat lima tuntutan: pilihan raya bebas dan adil, sebuah kerajaan yang telus, hak untuk berdemonstrasi, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.

Namun, sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu, laungan kuat kedengaran mendesak supaya Najib berundur. Bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad dan isterinya, Siti Hasmah Mohd. Ali turut menghadiri perhimpunan pada kedua-dua hari itu untuk memberikan sokongan dan menambahkan semangat kepada perhimpunan tersebut.

Laungan ‘undur, undur, undur, Najib!’ berulang-ulang diucapkan oleh pembantah. Tidak cukup dengan itu, pelbagai poster, sepanduk serta plakad dengan beraninya mengutuk Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.

Erti kemerdekaan

Di dalam amanatnya, Perdana menteri turut mengajak rakyat menghayati sedalam-dalamnya erti kemerdekaan, serta jasa bakti para parajurit dan anggota keselamatan yang telah berkorban bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa.

"Kerana itulah kita menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak langsung mencerminkan kematangan, bahkan ia bukanlah saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah negara demokrasi," kata Najib.

Najib berjanji bahawa beliau dan anggota pentadbirannya serta Barisan Nasional akan terus berikhtiar gigih dan komited dalam memakmurkan Malaysia serta mensejahterakan rakyat.

Menurutnya apa yang berlaku sehari dua ini amat tidak wajar, serta mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat kebangsaan, kata Najib yang merujuk kepada perhimpunan BERSIH 4.0 di ibu negara, Kota Kinabalu dan Kuching.

Arah BERSIH seterusnya

Persoalan kini timbul ke mana arah misi BERSIH, selepas melalui pelbagai cabaran dalam usaha untuk melaungkan tuntutan mereka  kepada pihak kerajaan.

Pengerusi penganjur BERSIH 4.0 Maria Chin Abdullah yang mengulas mengenai langkah seterusnya selepas perhimpunan 34 jam itu berkata, BERSIH akan meneruskan usaha melobi ahli-ahli Parlimen Malaysia untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap Najib berdasarkan kepada kehendak peserta yang menghadiri perhimpunan.

“Mereka yang menyertai perhimpunan dianggarkan lebih 300 ribu… ini adalah kejayaan....kita berjaya tunjukkan satu himpunan besar yang aman," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap kumpulan tokoh Melayu (G25) Noor Farida Ariffin berkata, BERSIH 4.0 menunjukkan rakyat Malaysia berpadu tenaga menuntut jawapan daripada kerajaan yang sepatutnya diambil perhatian oleh pemimpim dan bukannya melabel mereka sebagai berfikiran cetek, kurang ajar dan sebagainya.

Noor Farida yang juga bekas diplomat menegaskan, sekiranya pemimpin kerajaan bijak mereka akan mendengar kata-kata rakyat.

"Tetapi sebaliknya, mereka berada dalam keadaan penafian dan membuat pelbagai tuduhan, Najib membuat ucapan yang begitu bertentangan dengan fakta yang berlaku di peringkat bawahan. Beliau menafikan realiti,” katanya.

Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya, Dr. Azmi Shahrom menegaskan, perhimpunan BERSIH 4.0 membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang menyertainya mahukan ketelusan dari kerajaan atas rasa tidak puas hati dengan keadaan semasa di dalam negara baik dari segi politik ataupun ekonomi.

“Kejayaan BERSIH 4.0 membolehkan pihak berkuasa Malaysia menimbang semula prosedur untuk membenarkan apa sahaja perhimpunan besar-besaran diadakan pada masa depan kerana ia boleh berlaku dengan aman tanpa sebarang kejadian,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.

Puri bin Angah dari suku kaum Temiar di Kampung Moyak, Pos Hau, Gua Musang, Kelantan yang menghadiri perhimpunan BERSIH 4.0 dua hari berturut-turut berkata, orang asli turut mengikuti perkembangan semasa di Malaysia serta mahukan pentadbiran kerajaan yang telus.

“Kami juga merasa susah dalam mengharungi kehidupan. Kawasan kampung dan hutan yang menjadi sumber rezeki penduduk juga semakin hilang berikutan pembalakan yang tidak terkawal,’’ katanya kepada BeritaBenar.

Perhimpunan yang dikatakan dimonopoli oleh 80 peratus kaum Cina itu menyaksikan ribuan pesertanya bersurai secara aman sambil dikawal oleh anggota polis pada tengah malam Ahad.

Peserta yang pada mulanya berkumpul di Dataran Merdeka sejak Sabtu mengakhiri perhimpunan itu dengan menyanyikan lagu kebangsaan serta membuat kiraan detik Hari Kebangsaan 2015, dengan diketuai pengerusi penganjur, Maria Chin.

Enam jam selepas laungan Bersih dan undur Najib berkumandang di sekitar dataran bersejarah itu, kibaran bendera Malaysia dengan warna merah, putih, biru dan kuning mula mewarnai kawasan sekitar itu untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-58.

Rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat mempamerkan semangat kebersamaan dan cintakan negara di sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan 'Sehati Sejiwa' di Dataran Merdeka.

Dataran Merdeka tukar menjadi lautan manusia apabila orang yang berhimpun serta  pelancong asing mengambil peluang menghayati sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme yang diserikan oleh persembahan bertenaga dan perbarisan oleh hampir 13,000 peserta pelbagai kontinjen termasuk daripada sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.