Usaha Kolektif Galakkan Ekonomi Hijau Libatkan Malaysia, Indonesia dan Brunei

Laja Laing
2017.11.21
Kuching, Sarawak
171121-my-najib-wief-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 [WIFE] yang berlangsung di Kuching, Sarawak, 21 November 2017.
[Ihsan WIEF]

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Selasa mahu Malaysia, Indonesia dan Brunei bekerjasama dalam memperkukuh usaha menggalakkan ekonomi hijau, termasuk teknologi hijau dan pemuliharaan hidupan liar.

Beliau yang berucap pada Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 [WIFE] di Kuching, Sarawak berkata sudah tiba masanya kepada ketiga-tiga negara itu yang berkongsi Kepulauan Borneo bekerjasama dalam usaha untuk memacu Ekonomi Hijau dengan Malaysia.

"Malaysia menyokong sepenuhnya idea ekonomi hijau menjadi fokus kepada pembangunan negara, dan dalam masa yang sama, mengiktiraf keperluan untuk memulihara kelestarian alam sekitar bagi generasi akan datang, “ katanya kepada majlis perasmian forum tiga hari yang bermula Selasa itu.

Najib juga menaruh keyakinan usaha kolektif bersama itu akan mendapat pengiktirafan di peringkat domestik dan masyarakat antarabangsa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkenaan turut melahirkan keyakinan terhadap Malaysia yang dilihat boleh berada di dalam kelompok 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050.

Keyakinan itu kata Najib bersandarkan kepada prestasi kukuh ekonomi negara yang disokong  pelbagai inisiatif pembangunan yang diperkenalkan kerajaan.

"Dasar Digital Malaysia [MDP] adalah satu kerangka rumusan yang menjadi asas utama pembangunan ekonomi digital negara dalam merealisasikan hasrat Malaysia untuk muncul antara 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050,” tambah beliau.

Katanya, pembangunan ekonomi digital yang berinovasi dapat mewujudkan suatu konsep jaringan perdagangan rentas sempadan di peringkat global.

Sebagai Penaung WIEF, Najib berkata kepentingan pembangunan ekonomi digital akan bakal menyaksikan Malaysia antara negara terawal yang mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital, selain China.

"Ia seiring dengan kedudukan Malaysia yang kini muncul antara pasaran e-perdagangan di peringkat global yang melibatkan penjanaan pendapatan yang mencecah RM9.53 bilion tahun lalu. Tetapi misi utama Malaysia adalah dengan menubuhkan zon perdagangan yang mampu melakukan transformasi ekonomi berskala besar, dan sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab e-perdagangan serantau," katanya.

Ekonomi Islam

Najib, di dalam ucapannya juga memetik laporan oleh Thompson Reuters yang bertajuk, State of the Global Islamic Economy 2016/2017 yang antara lain melaporkan bahawa ekonomi Islam diunjur mencecah nilai yang amat besar sebanyak AS$3 trilion menjelang 2021.

Laporan itu juga menyatakan aset kewangan Islam diunjur mempunyai saiz pasaran berjumlah AS$3.5 trilion pada tahun yang sama manakala bagi Malaysia, seperti yang diiktiraf oleh laporan itu, telah melaksanakan usaha strategik dalam memanfaatkan pelbagai peluang yang tersedia

Dalam laporan di bawah Petunjuk Ekonomi Islam Global, yang merangkumi makanan halal, kewangan Islamik, pelancongan halal, fesyen sederhana, rekreasi dan media halal, farmaseutikal dan kosmetik halal, yang bernilai sejumlah 73 negara, dengan Malaysia berada di kedudukan pertama melalui skor 50 peratus lebih tinggi berbanding negara di kedudukan kedua, Emiriah Arab Bersatu.

Malaysia juga berada di kedudukan teratas bagi kewangan Islam dan tempat kedua bagi pelancongan halal serta farmaseutikal dan kosmetik halal.

Najib berkata, dalam memanfaatkan pembangunan ekonomi Islam, khususnya peningkatan pengguna muda, kerajaan sentiasa bertanggungjawab dan bersedia membuat perubahan yang sesuai.

“Dalam abad ke-21 ini, kerajaan dan negara-negara tidak boleh duduk diam dan melakukan kerja mengikut cara lama, sebaliknya kerajaan yang bertanggungjawab harus mengubah  dasar-dasar mengikut perubahan masa untuk kesejahteraan rakyat.

“Pasti lebih mudah untuk tidak melaksanakan Cukai Barang Dan Perkhidmatan  (GST) walaupun ia hanya menggantikan cukai yang lama, kerana ia seperti satu gangguan. Kami (kerajaan) tahu ia tidak popular tetapi tidak bertanggungjawab jika (kerajaan) tidak memperkenalkan GST,” katanya.

Perdana Menteri itu yang memuji tindakan kerajaan memperkenalkan GST sambil berkata usaha tersebut bukan bertujuan mahu meluaskan asas cukai, tetapi merupakan satu daripada alasan mengapa lebih 160 negara di seluruh dunia mempunyai suatu bentuk percukaian GST.

Tambah beliau, jika kerajaan tidak mengubah dasar-dasar sedia ada, Malaysia akan kehilangan daya saing dan kedudukannya akan diambil alih  oleh negara lain.

Mengenai pembangunan ekonomi Islam, Najib berkata, kebanyakan dunia Islam kurang membuat pelaburan dalam pendidikan berkualiti, yang menimbulkan cabaran besar bagi ummah.

"Namun, yang menyedihkan kita, sebahagian besar negara-negara Islam tidak memiliki pelaburan yang mencukupi dalam pendidikan yang berkualiti dan masih ada yang tidak mempunyai akses kepada keperluan asas seperti air, kemudahan kesihatan dan pendidikan asas," katanya.

Beliau berkata, sesebuah negara perlu melengkapi generasi muda mereka dengan kemahiran berfikir aras tinggi supaya mereka berfikiran terbuka, kreatif dan inovatif serta bersedia untuk menyesuaikan diri dengan pekerjaan yang masih lagi belum wujud.

"(Ini) mengingatkan kita bahawa kita (kerajaan) mesti sentiasa mengutamakan rakyat dalam setiap dasar," katanya.

Pada ucapannya itu, Perdana Menteri Malaysia mahu negara Islam terus memberi komitmen terhadap usaha menangani keganasan, ekstremisme dan memerangi militan Negara Islam [IS].

Najib turut mengingatkan kepada serangan maut dan kemusnahan yang masih berterusan di Iraq dan Syria, serangan IS di Marawi, Filipina dan tragedi kemanusiaan di negeri Rakhine, Myanmar.

“Negara Islam yang merentasi masyarakat antarabangsa dan Dunia Islam, mempunyai peranan dalam menangani cabaran itu. Penderitaan dan kekejaman yang berlaku tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sebagai umat Islam, kita digesa supaya memerangi ketidakadilan dan kejahatan, dan ini adalah tugas suci yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua," katanya

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.