Najib Selar Pembangkang Putar Belitkan Dakwaan 1MDB

Nani Yusof & Roni Toldanes
2017.09.13
Washington DC
110913-najib-trump-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (kiri) bertemu dengan Presiden Donald Trump (kanan) serta pegawai kerajaan Amerika Syarikat di White House, 12 September 2017.
[AFP]

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang menamatkan lawatannya ke Amerika Syarikat, menuduh pembangkang membesar-besarkan masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibelenggui skandal, malah mensabotaj syarikat itu sebagai sebahagian daripada cubaan yang gagal untuk menjatuhkan kerajaannya.

Najib membuat dakwaan itu beberapa jam selepas lawatan pertamanya ke White House di mana beliau dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk ancaman nuklear Korea Utara, kerjasama dalam memerangi keganasan serta krisis pelarian Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

"Saya tahu bahawa sesetengah audiens akan mendengar beberapa cerita yang kurang positif mengenai ekonomi Malaysia, terutamanya mengenai 1MDB," kata Najib semasa berucap kepada para eksekutif perniagaan Asia Tenggara dan AS di ibu negara Amerika itu pada Selasa.

"Ketika timbulnya beberapa isu, beberapa ahli politik pembangkang di negara kami membesar-besarkan perkara itu”.

Perdana Menteri itu merujuk kepada skandal rasuah dan penyelewengan kewangan membabitkan berbilion dolar yang dikaitkan dengan 1MDB , yang ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai penjana pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi di negara beliau.

Skandal 1MDB itu membelenggui Najib sejak Julai 2015 hingga menyebabkan beliau digesa meletakkan jawatan, namun isu itu tidak dibangkitkan semasa pertemuannya dengan Trump, menurut pejabat akhbar White House.

Pentadbiran Trump dikritik di Malaysia dan Amerika Syarikat kerana mengundang Najib ke White House walaupun penyiasatan jenayah sedang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman AS berhubung tuduhan bahawa beberapa ahli perniagaan yang berkaitan dengan 1MDB telah mengalihkan dan mengubah wang sebanyak $4.5 bilion daripada dana itu.

Najib didakwa mempunyai kaitan dengan skandal itu setelah hampir  $700 juta wang yang dikaitkan dengan 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013. Beliau menafikan sebarang salah laku jenayah dengan menyatakan bahawa wang itu didermakan oleh keluarga diraja Arab Saudi dan tidak digunakan untuk manfaat peribadinya.

"Memang, ada kempen untuk sengaja mensabotaj syarikat itu - dan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ekonomi kami - dalam cubaan gagal untuk menjatuhkan kerajaan semasa kitaran pilihan raya," katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Beliau tidak menamakan musuh politiknya.

Semasa di Washington, Najib dan rombongannya menginap di Hotel Trump International Hotel, sebuah hotel yang mempunyai 263 bilik di Pennsylvania Avenue yang dimiliki Donald Trump, menurut laporan akhbar Amerika.

Tiada tempat untuk WMD

Sebelum mesyuarat tertutup di White House, Najib membicarakan dengan panjang lebar mengenai usaha memerangi keganasan di Malaysia, dan Trump memuji perdana menteri itu kerana memainkan ‘peranan utama’ dalam menyokong usaha antarabangsa untuk menghentikan IS dan kumpulan lain daripada menyebarkan ekstremisme.

Pada Rabu, hari ketiga dan terakhir kunjungannya ke AS, Najib dalam ucapannya kepada badan pemikir Washington memberitahu bahawa IS telah berjaya melakukan satu serangan di Malaysia - letupan bom tangan yang mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di kawasan Kuala Lumpur pada Jun 2016.

Tetapi, katanya, pihak berkuasa Malaysia juga berjaya menghalang "sekurang-kurangnya 13 serangan pengganas" sejak 2012.

Dalam ucapannya kepada hadirin di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Najib menyatakan bahawa beliau dan Trump turut membincangkan tentang ujian terbaru bom hydrogen Korea Utara.

Negara komunis itu, yang berada di bawah sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 2006 kerana melancarkan peluru berpandunya, menguji apa yang didakwanya bom-H pada 3 Sept, hanya beberapa hari setelah menguji peluru berpandu balistik yang melepasi pulau Hokkaido di Jepun.

"Saya dan Presiden Trump membincangkan hal ini dengan panjang lebar hari ini, dan Malaysia menawarkan sokongan penuh dan bantuan dalam menyelesaikan ketegangan yang sangat berbahaya berkaitan Korea Utara," kata Najib kepada hadirin di CSIS.

"Biarkan saya katakan dengan jelas - tidak boleh ada tempat untuk penggunaan atau percambahan WMD," katanya, merujuk kepada senjata pemusnah besar-besaran itu. "Asia tidak boleh dijadikan tebusan bagi prospek sama ada WMD atau perang konvensional yang meletus di tengah-tengah kita. Akibatnya kelak terlalu besar."

Trump menyambut baik komitmen Najib untuk melangkaui resolusi PBB itu termasuk menilai semula hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Korea Utara, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh White House, yang turut menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin membincangkan tentang perlunya menamatkan krisis kemanusiaan di Myanmar.

Di samping itu, kedua-dua pemimpin tersebut membincangkan keganasan di negeri Rakhine di Myanmar, yang berlaku susulan serangan oleh pemberontak Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) terhadap pos-pos polis di sempadan Myanmar bulan lepas, kata kenyataan itu.

Keganasan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 380,000 umat Islam Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh, kata PBB.

Kenyataan White House berkata, Trump dan Najib telah menggesa kerajaan Myanmar supaya menamatkan "keganasan terhadap orang yang tidak bersalah" dan memastikan bantuan kemanusiaan itu segera diserahkan kepada mangsa.

Orang Rohingya "telah dinafikan identiti masyarakat mereka sejak beberapa dekad lalu" dan terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka di Myanmar kerana tidak mahu menjadi mangsa penganiayaan dan serangan kejam, kata Najib kepada hadirin di CSIS, menurut transkrip yang dimuat naik dalam laman webnya.

"Ramai yang menyatakan bahawa kekejaman yang dilakukan terhadap mereka boleh digambarkan dengan tepat sebagai pembersihan etnik atau pembunuhan etnik," kata Najib.

"Saya percaya dunia hampir sepenuhnya bersatu dalam merasa terkejut dengan gelombang keganasan terbaru itu - yang juga berpotensi untuk membiakkan golongan muda  terdesak yang marah dengan layanan kerajaan terhadap mereka," kata Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.