Hakim Tolak Penangguhan Kali Ke-3, Kes 1MDB Tetap Dibicarakan 19 Ogos

Hadi Azmi
2019.07.08
Kuala Lumpur, Malaysia
190708-MY-Najib-1MBD620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Malaysia, 18 Jun 2019.
[AP]

Seorang Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Peguam Negara Malaysia yang memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan mahu ianya berjalan seperti dijadualkan sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah telah menolak permohonan yang dibuat oleh Peguam Negara Tommy Thomas, selepas mengambil maklum bahawa ia adalah kali ketiga permohonan penangguhan itu dibuat oleh pihak pendakwaan dengan alasan mahu memberi laluan kepada perbicaraan SRC International yang sedang berjalan.

"Ini kali ketiga penangguhan dipohon dan mahkamah ini berpendapat bahawa ia tidak boleh membenarkan satu lagi penangguhan berikutan arahan amalan mahkamah. Permohonan ini ditolak dan perbicaraan kes 1MDB akan berlangsung seperti yang dijadualkan,” kata Hakim Sequerah, yang pada 1 Mei lalu, telah menetapkan kes 1MDB bermula pada 19 Ogos sehingga 14 Nov.

Keputusan pada Isnin itu dibuat pada satu sesi yang hanya berlangsung selama 20 minit di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum sesi perbicaraan kes SRC International bagi hari yang ke-33 bermula di sebuah lagi ruang mahkamah di bangunan yang sama.

Terdahulu itu, Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah turut menyokong permohonan Thomas sambil memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasukan peguambela juga mahu memastikan kes SRC selesai terlebih dahulu sebelum perbicaraan kes 1MDB boleh didengar di mahkamah.

Bulan lalu, Thomas telah menghantar permohonan kepada mahkamah untuk mengosongkan tarikh perbicaraan 1MDB pada Ogos dan September bagi membolehkan kes SRC International terus berlangsung sehingga tamat.

Peguam Negara itu meminta perbicaraan kes 1MDB dimulakan pada Oktober kerana katanya perbicaraan kes SRC International akan mengambil lebih banyak masa daripada yang dijangkakan oleh pihak pendakwaan.

“Apa yang boleh saya beritahu mahkamah ialah kita telah memanggil lebih 40 orang saksi untuk memberi keterangan dalam kes SRC International dan akan memanggil 25 orang lagi,” kata Thomas kepada Hakim Sequerah pada 21 Jun lalu.

Sehubungan itu, beliau yakin pihaknya tidak mampu untuk menyelesaikan perbicaraan tersebut menjelang tarikh 15 Ogos yang diperuntukkan.

Tambahnya lagi, pihaknya terpaksa memohon penangguhan kes 1MDB kerana tidak mahu mewujudkan situasi di mana satu kes terpaksa ditangguh untuk memberi ruang kepada kes lain yang melibatkan tertuduh serta peguam dan juga timbalan pendakwaraya yang sama.

“Situasi itu akan merumitkan banyak pihak,” jelas Thomas kepada mahkamah yang turut bertindak sebagai pendakwa raya utama dalam perbicaraan terhadap Najib dan SRC International itu.

Perbicaraan kes SRC International adalah pertuduhan pertama terhadap Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, Pahang sejak tahun lepas diikuti dengan pelbagai pertuduhan lain termasuk 1MDB.

Kes SRC telah memasuki hari ke 33 perbicaraan dengan seramai 43 orang saksi telah tampil memberi keterangan termasuk bekas pengarah syarikat SRC International itu sendiri, Suboh Md Yassin, yang sebelum ini melarikan diri ke Thailand dan bekas pengerusinya Ismee Ismail.

Sebaik saja memperolehi keputusan dari Hakim Sequerah, Thomas yang menyambung perbicaraan kes SRC International di ruang mahkamah lain, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah memaklumkan hakim berkenaan mengenai keputusan Sequerah menolak permohonan penangguhan kes 1MDB sejurus sesi bermula.

Tiada sebarang keputusan yang dibuat oleh Nazlan berkenaan perkara tersebut, Hakim itu sebaliknya dilihat cuma mengangguk kepala sebagai tanda faham.

Dalam kes SRC itu, Najib berhadapan satu tuduhan salahguna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram menjadikannya bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang diheret ke mahkamah atas salahlaku jenayah.

Pada perbicaraan kes 1MDB yang akan bermula Ogos depan, Najib berhadapan dengan 25 pertuduhan rasuah berbeza yang melibatkan 2.28 bilion ringgit (AS$550 juta) dari dana 1MDB.

Keseluruhannya, bekas Perdana Menteri itu berhadapan sejumlah 42 pertuduhan dimana beliau mengaku tidak bersalah atas kesemuanya, dan jika didapati bersalah Najib boleh dihukum penjara selama berpuluh tahun dan didenda sehingga berjuta-juta dolar.

Skandal 1MDB didedahkan oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report sehingga mencetuskan siasatan di enam buah negara.

Najib yang mengasas dana berkenaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 10 tahun telah dikalahkan oleh gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei tahun lepas.

Pendakwaan ke atas Najib bermula tiga bulan selepas kerajaan PH dipimpin Mahathir Mohamad memegang kuasa apabila Barisan Nasional yang dipimpin Najib kalah dalam Pilihan Raya Umum itu.

Selain Najib, isterinya Rosmah Mansor, 67 turut berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mana pada 15 Nov lalu, isteri bekas perdana menteri berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap dua pertuduhan meminta rasuah sebanyak 187.5 juta ringgit dan menerima 1.5 juta ringgit lagi berhubung satu projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah turut menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah 7.1 juta ringgit dan lima pertuduhan lain kerana gagal mengemukakan penyata

Minggu lepas, anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, 43, yang juga penerbit terkenal filem Hollywood didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur.

Riza yang merupakan anak hasil dari perkahwinan pertama isteri Najib, Rosmah, didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah kira-kira 1.06 bilion ringgit (AS$248.17 juta) hasil daripada dana 1MDB lapan tahun lepas.

Penerbit filem Wolf of Wall Street yang memenangi Anugerah Academy itu mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan.

Selain dikaitkan dengan skandal 1MDB melalui orang tuanya, Riza juga merupakan rakan rapat kepada ahli perniagaan Jho Low yang menghilangkan diri dan berdepan dengan pertuduhan jenayah di Malaysia dan Amerika Syarikat terhadap peranannya dalam skandal 1MDB.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.