Follow us

Bekas PM Malaysia Najib Razak Dibicarakan Dalam Kes Bersejarah

Hadi Azmi & Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-04-03
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada hari pertama perbicaraan jenayah terhadapnya berhubung dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan anak syarikat 1MDB, 3 April 2019.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada hari pertama perbicaraan jenayah terhadapnya berhubung dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan anak syarikat 1MDB, 3 April 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Perdana Menteri Najib Razak menggunakan kuasa dan jawatan untuk mengisi poketnya sendiri, demikian kata Ketua Pendakwa Raya kerajaan kepada mahkamah pada Rabu semasa perbicaraan sulungnya yang dikaitkan dengan skandal berbilion dolar 1Malaysia Development Berhad [1MDB].

Najib merupakan bekas perdana menteri pertama dalam sejarah negara yang berdepan perbicaraan atas pertuduhan jenayah selepas mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan berhubung pemindahan wang sebanyak 42 juta ringgit (AS$10.3 juta) daripada SRC International, anak syarikat 1MDB yang ditubuhkannya pada 2009.

Peguam Negara Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu, membacakan pernyataan pembukaannya selepas usaha terakhir pasukan pembelaan 10 peguambela Najib untuk menangguhkan perbicaraan, yang sudahpun tertangguh selama dua bulan, tidak berhasil.

"Bukti akan dikemuka bahawa tertuduh (Najib) pada semua masa yang material, sebagai pegawai badan awam, iaitu sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, telah menggunakan jawatannya dan/atau kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi diri sendiri sebanyak 42 juta ringgit," kata Thomas dalam pernyataan pembukaannya.

Peguam negara itu memulakan kesnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan menyatakan bahawa Najib, yang memegang jawatan sebagai perdana menteri selama hampir sedekad, mempunyai kuasa hampir mutlak dalam mengawal kewangan negara.

“Tertuduh [Najib] sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ketika kesalahan itu dilakukan, turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan itu telah menggabungkan kuasa politik maksimum dan mengawal kewangan negara," katanya.

Najib tumbang daripada kekuasaan apabila gabungan Barisan Nasional pimpinannya dikalahkan oleh gabungan Pakatan Harapan pada Mei 2018 dan Mahathir Mohamad dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu merupakan perdana menteri keenam Malaysia dan pemimpin tertinggi negara yang pertama berada dalam kandang tertuduh selepas kes berkaitan skandal 1MBD diheret ke mahkamah.

"Tidak cukup dengan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tertuduh juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Penasihat Emeritus dalam anak syarikat milik penuhnya,” kata Thomas merujuk kepada SRC International.

Peguam Negara itu juga mendakwa Najib merampas kuasa lembaga 1MDB dan SRC International dengan mengawal hal ehwal kewangan kedua-dua organisasi tersebut.

'Tidak ubat seperti ucapan politik'

Terdahulu, pasukan peguambela diketuai Muhammad Shafee Abdullah memfailkan petisyen untuk menangguhkan perbicaraan itu, yang telahpun ditangguhkan sejak Februari.

Hakim Mohd Nazlan bagaimanapun menolak petisyen itu dan mengarahkan agar perbicaraan dimulakan dengan segera.

Bercakap kepada pemberita selepas mahkamah ditangguhkan pada Rabu, Muhammad Shafee menempelak pernyataan pembukaan Thomas.

"Hari ini kita hanya membuang masa," katanya. "Ia (pernyataan pembukaan) tidak memberi penjelasan kepada mahkamah atau kepada kami. Ia tidak ubah seperti satu ucapan politik. "

Thomas hanya memanggil seorang saksi pada Rabu, iaitu seorang pegawai kerajaan – Timbalan Pendaftar Komisen Suruhanjaya Syarikat Malaysia [SSM] Muhammad Akmaludin Abdullah yang mengesahkan bahawa SRC International adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia manakala pasukan peguambela hanya tenang semasa sesi soal-jawab itu.

Bekas perdana menteri itu berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa yang dikaitkan dengan pemindahan dana SRC International.

Beliau boleh dihukum penjara selama beberapa dekad dengan denda berjuta-juta ringgit jika disabitkan kesalahahan bagi semua pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim mengarahkan perbicaraan itu disambung semula pada 15 April dan prosiding kes tersebut akan diteruskan sehingga 10 Mei, selepas mengambil kira tarikh pendengaran satu lagi permohonan Najib di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan pada Khamis (4 April).

Najib tampil tenang dan mengenakan sut berwarna biru gelap dengan tali leher ungu ketika hadir ke mahkamah dan ditemani anaknya, Norashman Najib.

Isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka Nooryana yang biasanya dilihat bersama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagaimanapun tidak hadir kali ini.

Thomas berkata pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib terlibat dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM42 juta antara 24 Dis 2014 dan 2 Mac 2015 dengan memindahkan dana itu ke akaun yang dipegang oleh atau dikongsi dengan SRC International.

Selain itu, pendakwaan akan mengemukakan bukti pembayaran melalui kad kredit sebanyak AS$130,625 (533,196 ringgit) yang digunakan di Chanel, sebuah butik fesyen eksklusif di Honolulu, Hawaii pada Disember 2014.

Pada malam sebelum sambutan Hari Krismas tahun itu, Najib bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Barack Obama yang bercuti di Hawaii bersama keluarganya.

Pendakwa raya juga merancang untuk mengemukakan cek peribadi bagi kerja-kerja pengubahsuaian di dua buah rumah Najib beserta pembayaran yang dibuat kepada parti politik yang selari dengan Barisan Nasional menggunakan dana yang dipindahkan itu.

Najib dijadual berada di sebuah lagi mahkamah pada Khamis untuk pendengaran kes rayuan berhubung satu lagi pertuduhan berkaitan 1MDB. Beliau berdepan 42 pertuduhan yang dikaitkan dengan kerugian berbilion dolar dana syarikat pelaburan negara 1MDB itu.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang turut memfailkan kes jenayah berkaitan skandal 1MDB, berkata kira-kira AS$4.5 bilion [198.3 bilion ringgit] telah disalah guna daripada dana itu oleh pegawai tinggi, rakan dan keluarga mereka antara 2009 dan 2014 sambil menyifatkannya sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk dalam sejarah ketika ini.”

Najib meninggalkan mahkamah pada pukul 5.38 petang di tengah-tengah laungan "Malu Apa Bossku" - slogan yang digunakan Najib sejak kehilangan kuasa selepas Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas.

Kapal layar Jho Low dijual

Sementara itu, Peguam Negara Thomas turut mengumumkan bahawa kerajaan telah melelong kapal layar mewah yang dirampas oleh pihak berkuasa tahun lepas daripada pembiaya kewangan Malaysia dalam buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

The Equanimity telah dijual kepada Genting Malaysia Bhd, pemaju dan pengusaha resort kasino pada harga AS$126 juta (514 juta ringgit) – kira-kira separuh daripada AS$250 juta (1 bilion ringgit) yang pegawai percaya dibayar oleh Jho Low menggunakan dana 1MDB.

Penjualan itu diumumkan pada Rabu, iaitu hari yang sama Genting menyediakan penjualan bon bernilai AS$1 bilion untuk membiayai pembinaan sebuah kasino di Las Vegas, lapor agensi berita Reuters.

Kapal layar berkeluasan 300 kaki itu telah dirampas daripada Low sebagai sebahagian daripada siasatan antarabangsa berhubung dakwaan bahawa beliau, bersama-sama Najib dan beberapa lagi, telah menggelapkan wang berbilion-bilion dolar daripada dana 1MDB.

Pegawai kerajaan Malaysia pada Disember mendakwa Low dan empat lagi yang melarikan diri dari negara itu dengan 13 pertuduhan membabitkan kerugian berjumlah AS$1.17 bilion (4.85 bilion ringgit).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya, Low mendakwa kerajaan Malaysia tidak memelihara kedaulatan undang-undang dalam penjualan kapal layar itu dan tidak mendapat harga jualan terbaik.

 

Ali Naufel di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh