Peluang Najib jalani tahanan rumah terbuka semula

Kerajaan pertahankan pendiriannya bahawa Lembaga Pengampunan tidak mengeluarkan sebarang titah adendum mengenai tahanan rumah.
Iman Muttaqin Yusof, Muzliza Mustafa dan Noah Lee
2025.01.06
Kuala Lumpur
Peluang Najib jalani tahanan rumah terbuka semula Penyokong Najib Razak mempamerkan baju-T yang memaparkan wajah bekas perdana menteri itu ketika berhimpun di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya, 6 Januari 2025.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Isnin membuka semula peluang untuk bekas Perdana Menteri Najib Razak bagi menukar hukuman penjara yang dijalaninya sekarang kepada tahanan rumah seperti dalam titah adendum, didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam keputusan majoriti 2-1, mahkamah membenarkan Najib membuat semakan kehakiman mengenai kewujudan titah adendum itu setelah peguambela Najib mengemukakan bukti baharu iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari lalu yang mengesahkan kesahihan perintah itu.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, kerajaan menafikan ia menyembunyikan titah adendum itu atau enggan akur kepada perintah Yang di-Pertuan Agong agar Najib dibenarkan menjalani hukuman melalui tahanan rumah.

Pada sidang media khas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Jabatan Penjara tidak menerima perintah pelaksanaan yang menyebut mengenai tahanan rumah apabila hukuman penjara Najib selama 12 tahun dan denda AS$47 juta dikurangkan separuh oleh Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024.

"Keputusan Lembaga Pengampunan mesti dilaksanakan oleh Jabatan Penjara. Kalau dalam perintah pelaksanaan itu dimasukkan misalnya tahanan rumah dan sebagainya. menjadi tanggungjawab kami (laksana).

"Tapi yang saya bacakan tadi dengan jelas ia hanya mengandungi dua perkara (iaitu) mengurangkan tempoh pemenjaraan, [dan] mengurangkan denda," katanya.

"Bagaimana boleh kami melaksanakan perintah yang tidak ada dalam perintah?"

Najib, 71, mendakwa sejak April tahun lalu bahawa Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang telah mengeluarkan titah tambahan itu pada mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari, sehari sebelum baginda menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di bawah sistem penggiliran takhta di Malaysia.

Pasukan peguambelanya mendakwa titah tambahan itu tidak diumumkan pada 2 Februari dan menuduh kerajaan menghina mahkamah kerana gagal melaksanakan perintah tersebut.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib membuat semakan kehakiman berkaitan titah adendum melibatkan perintah tahanan rumah dengan memutuskan bahawa afidavit yang dikemukakan ketika itu hanya bersifat “khabar angin”.

Pada Isnin, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, mengemukakan bukti baharu bahawa titah adendum itu disahkan wujud dalam surat bertarikh 4 Januari 2025 daripada Sultan Pahang.

Surat yang ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang ditujukan kepada anak sulung Najib, Mohamad Nizar.

“Surat ini mengesahkan bahawa titah adendum wujud, walaupun [adendum diraja] itu tidak mempunyai tandatangan kerana ia adalah salinan peribadi daripada baginda,” kata Shafee ketika mengemukakan bukti kepada panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Azizah Nawawi.

IMG_1310 (1).jpeg
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menunjukkan salinan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan kesahihan titah adendum pada sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya, 6 Januari 2025. [S.Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib itu dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar semula pada 13 Januari.

“Tiada justifikasi untuk mengabaikan kewujudan arahan ini. Dengan bukti baharu, isu "khabar angin" tidak lagi terpakai,” kata Hakim Mohd Firuz Jaffril yang menyokong keputusan itu.

Dalam maklum balas melalui emel kepada BenarNews, pentadbir diraja Istana Pahang itu mengesahkan kesahihan surat pengesahan tersebut.

Kegagalan kerajaan

Keputusan tersebut turut mencetuskan kritikan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana gagal mencabar dakwaan titah adendum tersebut dan banyak pihak mempersoalkan tentang ketelusan kerajaan.

Sedangkan parti yang dipernah diterajui oleh Najib, UMNO merupakan sekutu utama dalam gabungan kerajaan pimpinan Anwar.

“Saya gembira dengan keputusan mahkamah, tetapi mengapa titah adendum itu disembunyikan? Kenapa ia tidak dikuatkuasakan lebih awal?” tanya Asyraf Mustafa, 57, seorang penyokong lama UMNO kepada BenarNews.

“Ini menunjukkan kekurangan ketelusan dalam kerajaan.”

BenarNews telah menghubungi Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan ulasan mengenai keputusan mahkamah itu tetapi masih belum menerima maklum balas.

Sebelum ini, isu titah adendum menjadi hangat apabila Pejabat Peguam Negara pada 28 Disember lalu mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan pengampunan termasuk mengenai tahanan rumah terhadap Najib perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Pada Jumaat, Istana Negara pula mengeluarkan kenyataan hampir sama yang menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberikan ampun, tunda hukum atau lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan.

"Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan mana-mana banduan banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukum, permohonan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong," kata kenyataan itu tanpa mengaitkannya dengan Najib.

Dalam pada itu, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib selaras kuasa prerogatif baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

NAJIB_RAZAK_1MDB_01.jpg
Bekas Perdana Menteri Najib Razak diiringi pegawai Jabatan Penjara tiba untuk menghadiri prosiding kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 4 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Golongan elit sering terlepas

Sementara itu, penganalisis politik Azmil Mohd Tayeb menyifatkan situasi ini sebagai “kes duluan berbahaya” yang mengukuhkan persepsi umum bahawa golongan elit boleh terlepas daripada tindakan kepada undang-undang.

“Ini menunjukkan terdapat dua set undang-undang - satu untuk golongan elit dan satu lagi untuk rakyat biasa.

“Waktu dan cara pengendalian kes ini jelas menunjukkan kegagalan kerajaan,” kata Azmil yang juga profesor madya sains politik Universiti Sains Malaysia kepada BenarNews.

Seorang lagi penganalisis politik, Syaza Syukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyatakan golongan elit di Malaysia sering terlepas daripada pertanggungjawaban.

“Ini bukan perkara baharu dalam 'sheme of things' yang besar. Cuma Najib mendapat perhatian kerana beliau merupakan bekas Perdana Menteri dan tentu sahaja kerana [skala skandal tersebut],” katanya kepada BenarNews.

Pertarungan Najib di mahkamah sering kali dipenuhi dengan ‘putar belit’ plot yang kelihatan memihak kepada beliau, isteri dan sekutu politiknya.

Namun menurut media tempatan, Anwar pada 21 Disember lalu mendakwa bahawa pendakwaan selepas pilihan raya 2018 dibuat secara tergesa-gesa dan didorong oleh permusuhan, yang menyasarkan kes-kes di bawah bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, mentornya yang kemudian bertukar menjadi seteru.

Pesaing politik dalam perhimpuan 'mesra'

Sementara itu, di luar mahkamah, kira-kira 1,000 penyokong Najib berkumpul sambil menaikkan sepanduk dan melaungkan slogan.

Ramai daripada kalangan mereka adalah penyokong UMNO meskipun kepimpinan parti itu telah membuat keputusan tidak menyertai perhimpunan tersebut.

Isu titah adendum turut menarik perhatian pemimpin pembangkang terutamanya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang hadir memberikan sokongan kepada Najib.

Seorang ahli UMNO memberitahu BenarNews bahawa mereka datang dengan menaiki lapan buah bas dari Pekan, kawasan Parlimen yang pernah diwakili oleh Najib di Pahang dan kawasan lain tiba di Putrajaya seawal pukul 5.15 pagi untuk menunjukkan sokongan. PAS pula menghantar lebih 20 bas penyokongnya.

“Perhimpunan solidariti ini bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif [Yang di-Pertuan Agong] daripada dimanipulasi, selain menyokong usaha bekas Perdana Menteri Najib Razak mendapatkan keadilan berdasarkan prinsip yang sama,” kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan pada minggu lalu.

Kebanyakan penganalisis beranggapan penglibatan PAS dalam perhimpunan itu dilihat sebagai usaha untuk merebut sokongan orang Melayu yang kebanyakannya ahli UMNO, berbanding sokongan secara langsung kepada Najib.

“PAS menunjukkan bahawa ia lebih fokus kepada kuasa, bukan prinsip,” kata Bridget Welsh, penyelidik kehormat di Asia Research Institute Universiti Nottingham Malaysia kepada BenarNews.

“Dengan menyertai perhimpunan hari ini, PAS menunjukkan bahawa ia sudah tidak peduli dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. PAS kini hanya mahu memburu lebih banyak sokongan daripada pangkalan politik UMNO…terutamanya undi Melayu.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.