Afidavit Zahid Hamidi akui kewujudan titah adendum Agong terhadap Najib Razak
2024.04.17
Kuala Lumpur
Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kewujudan titah adendum yang dikeluarkan bekas Yang di-Pertuan Agong negara itu bagi membenarkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah perintah tahanan rumah, demikian menurut dokumen mahkamah yang dilihat BenarNews.
Najib telah memohon perintah mahkamah supaya mengarahkan kerajaan melaksanakan titah adendum atau perintah tambahan oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, namun tidak diumumkan bersama keputusan Lembaga Pengampunan pada awal Februari lalu.
Dalam afidavit tambahan yang difailkan peguam Najib di mahkamah, Ahmad Zahid mengakui beliau telah melihat sendiri dokumen titah tambahan itu melalui telefon bimbit milik Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Tengku Zafrul Aziz.
“Kandungan titah adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon dibenarkan menjalani hukuman yang dikurangkan kepada "tahanan rumah" dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.
“Saya juga melihat titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 dan mempunyai tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Saya mengesahkan titah adendum itu tulen dan sebenarnya adalah titah prerogatif diraja sama seperti titah utama.
“Saya melihat dan membaca titah adendum… semua kandungannya bahawa ia sebahagian daripada proses pengampunan pemohon yang merupakan tambahan kepada titah utama bertarikh 29 Januari 2024,” kata Ahmad Zahid dalam afidavitnya bagi menyokong permohonan Najib bertarikh 9 April lalu.
Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mendakwa Tengku Zafrul telah menunjukkan kepadanya salinan titah adendum yang disimpan dalam telefon bimbit Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa tersebut semasa satu pertemuan di kediaman timbalan perdana menteri itu di Kajang, Selangor pada 30 Januari lepas.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah percaya bahawa selain dirinya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain juga telah melihat titah berkenaan.
“Secara khusus, saya sedar Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara yang sama,” ikrar Zahid dalam dokumen tersebut.
BenarNews telah menghubungi pejabat Zahid untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu namun tidak mendapat maklum balas.
Tahanan rumah
Sementara itu, Tengku Zafrul dalam kenyataan pada Rabu berkata beliau telah mendapatkan nasihat perundangan dan mahu membuat pembetulan terhadap beberapa "kesilapan fakta" dalam afidavit Zahid bagi memastikan supaya semua fakta adalah benar.
"Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya hanya ingin memastikan fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya.
“Ini akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat," kata Tengku Zafrul.
Pada 4 April lepas, peguam Muhammad Shafee Abdullah, ketua pasukan pembelaan Najib mengumumkan seorang “saksi penting” akan memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan semakan kehakiman bekas perdana menteri itu supaya dibenarkan menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di kediamannya di Kuala Lumpur.
Shafee bagaimanapun tidak mendedahkan identiti saksi tersebut.
Menurut afidavit difailkan Najib bagi menyokong permohonannya, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon supaya mahkamah memerintahkan Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan, Kerajaan Persekutuan dan beberapa responden lain mengesahkan kewujudan titah adendum tersebut.
Najib juga mendakwa semua responden berkenaan cuba menyembunyikan kewujudan perintah diraja tersebut.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada awal bulan ini menafikan bahawa beliau mempunyai pengetahuan mengenai perintah itu.
"Saya tidak mempunyai maklumat [perintah adendum berkaitan Najib]. Tidak, tidak [saya tidak pernah melihat arahan itu]. Saya bukan ahli Lembaga Pengampunan. Saya juga tak tahu," kata Saifuddin dalam satu sidang media sebelum ini.
Lembaga Pengampunan Malaysia yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong turut dianggotai oleh Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan serta tiga ahli lain.
Pemberian pengampunan merupakan budi bicara mutlak raja dengan nasihat daripada anggota lembaga berkenaan yang diwakili pegawai kerajaan.
Titah adendum dirahsia
Dalam satu sidang media di luar mahkamah pada Rabu, Shafee mendesak kerajaan supaya menerangkan kenapa ia menyembunyikan kewujudan perintah adendum itu walaupun setelah menerima afidavit daripada saksi lain.
"Perkara ini sangat rumit kerana ia adalah pertama kali isu seperti ini berlaku, bukan hanya di negara ini. Saya tidak pernah jumpa kes di mana perintah telah dikeluarkan oleh Agong tidak dilaksanakan. Kamu tidak boleh melawan perintah raja. Ini adalah hujah kami," kata Shafee.
Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Amarjeet Singh Serjit Singh pada Rabu mendengar permohonan Muhammad Shafee supaya permohonan semakan kehakiman oleh Najib itu didengar secara dalam kamar kerana ia membabitkan "perkara sensitif".
Orang awam dan pemberita tidak mempunyai akses kepada prosiding tersebut.
Menurut Shafee, mahkamah telah menetapkan 5 Jun ini untuk hujahan tambahan serta kemungkinan keputusan dibuat.
Pada Mac 2023, Najib gagal dalam rayuan terakhir untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, kes membabitkan skandal terbesar syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang dipenjarakan dengan beberapa kes lain yang terkait dengan 1MDB masih lagi berjalan di mahkamah.
Bagaimanapun, pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan keputusan mengurangkan separuh daripada hukuman penjara ke atas Najib kepada enam tahun.
Ia sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, lebih awal berbanding tarikh asal iaitu penghujung 2034.
Lembaga itu turut mengurangkan jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah iaitu daripada RM210 juta (AS$44 juta) kepada RM50 juta (AS$10.5 juta).
Sementara itu, UMNO yang kini diterajui oleh Zahid telah bekerjasama dengan Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan perpaduan selepas tiada parti mendapat kemenangan majoriti dalam pilihan raya umum pada November 2022.
Najib kini sedang berdepan beberapa perbicaraan berasingan berkait 1MDB termasuk satu kes membabitkan kehilangan RM2.3 bilion (AS$487 juta) daripada syarikat dana pelaburan negara itu yang didakwa telah masuk ke dalam akaun bekas perdana menteri berkenaan.