Pengubahan Wang Haram: Najib Razak Beri Keterangan Kali Kedua Kepada Polis

Lex Radz & Ali Nufael
2018.08.30
Kuala Lumpur, Malaysia
180830-MY-Najib1000.jpg Najib Razak, bekas perdana menteri Malaysia hadir untuk memberi sidang media di Kuala Lumpur, 10 Mei 2018.
AFP

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang sebelum ini disiasat oleh agensi anti-rasuah negara, kali ini dipanggil untuk memberi keterangan kali kedua kepada pasukan penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Polis DiRaja Malaysia [PDRM] berhubung dengan dana politik dan cek yang pernah dikeluarkan pada 2011.

Najib yang sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Perolehan Akta Kegiatan Undang-Undang 2001 [AMLA] menghabiskan masa kira-kira 3 jam di sesi soal jawab kali kedua bersama pasukan penyiasat itu.

Pada Isnin lepas, beliau menghabiskan masa kira-kira sejam untuk memberi penjelasan terhadap beberapa transaksi kewangan sejak 2011, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan berterusan 1Malaysia Development Berhad [1MDB].

Sumber yang dekat dengan bekas pemimpin Barisan Nasional itu berkata, soal siasat pada hari Khamis berkaitan dengan program politik yang dijalankan oleh Umno Bahagian Pekan, yang diketuai oleh bekas perdana menteri itu sejak 1982.

"Program (yang disiasat) dianjurkan oleh Bahagian Pekan sejak 2011," kata sumber itu yang enggan mengulas lanjut.

Pengarah Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh yang mengetuai siasatan terhadap skandal melibatkan 1MDB mengesahkan kehadiran Najib di ibu pejabat bahagian itu, tetapi enggan mengulas lanjut semasa dihubungi BeritaBenar.

Najib yang tiba sebelum 10 pagi berjaya mengelak kira-kira 20 anggota media yang telah menunggu sejak jam 8 pagi di sekitar kawasan pejabat berkenaan.

Menurut sumber polis, Najib memasuki bangunan tersebut melalui kawasan parkir, menaiki kereta Santa Fe hitam bersama peguamnya, Shafee Abdullah.

Setelah selesai memberi kenyataan, Najib sekali lagi berjaya menghindari media dengan meninggalkan premis itu dengan kereta Audi hitam milik peguamnya dan bukannya seperti biasa menaiki sebuah Toyota Vellfire perak.

Kehadiran Toyota Vellfire berwarna hitam dengan plat pendaftaran 1M4U, milik yayasan belia yang dimulakan oleh bekas kabinet Najib, menambah kekeliruan media yang menunggu.

Awal bulan Ogos, Najib didakwa melakukan tujuh kesalahan termasuk pecah amanah jenayah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dakwaan pemindahan RM42 juta ke dalam akaun bank peribadinya daripada SRC International, bekas anak syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad atau 1MDB.

Najib bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan tersebut dan meminta dibicarakan. Tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada Februari tahun depan.

Para penyiasat anti-rasuah di bawah pemerintahan baru yang diterajui Perdana Menteri Mahathir Mohamad membuka semula siasatan terhadap 1MDB selepas Pakatan Harapan mengalahkan gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei, yang menyaksikan kemenangan menakjubkan pakatan pembangkang yang mengaut undi rakyat yang marah dengan dakwaan rasuah melibatkan dana pelaburan negara itu.

Jumlah yang dinyatakan dalam pertuduhan itu adalah amat kecil berbanding dengan dakwaan pendakwa raya Amerika Syarikat bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dicuri daripada 1MDB dan dialihkan melalui pengambilalihan hartanah, karya seni dan kediaman mewah oleh Najib dan rakan-rakannya.

Najib menafikan penglibatannya dalam kes tersebut yang juga membawa kepada dakwaan bahawa dana 1MDB telah disalahgunakan untuk membeli hartanah di Amerika Syarikat.

Siasatan terhadap 1MDB itu dijalankan secara bebas di Switzerland, Perancis dan Amerika Syarikat dan Najib, yang juga bekas menteri kewangan, mengasaskannya sebagai dana kekayaan negara yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia melalui projek-projek.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.