Permohonan pengampunan Najib Razak bukan pendirian kerajaan

Iman Muttaqin Yusof & Ili Shazwani Ihsan
2023.04.10
Kuala Lumpur
Permohonan pengampunan Najib Razak bukan pendirian kerajaan Anggota Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) memegang sepanduk 'Bossku dan Solidariti untuk Najib Razak' semasa Majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, 27 Ogos, 2022.
[Ihsan UMNO]

Seorang Menteri Kabinet Malaysia pada Isnin menegaskan bahawa permohonan Pengampunan Diraja ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak bukan merupakan pendirian kerajaann, dua hari selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan penglibatannya sebagai seorang yang terlibat dalam proses penilaian Lembaga Pengampunan.

Pemerhati bebas pula mempersoalkan sama ada akan timbul konflik kepentingan memandangkan Najib adalah ahli UMNO, parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengulangi kenyataan yang ditegaskan oleh Anwar pada Sabtu lalu bahawa kuasa untuk menentukan siapa yang layak menerima pengampunan tersebut hanya terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad.

“Isu permohonan pengampunan Najib tidak pernah dibincangkan di dalam Kabinet dan ia bukanlah pendirian kerajaan. Itu kita kena bezakan. Ini pendirian UMNO sebagai parti politik dan permohonan (Pengampunan Diraja) ini dari segi prosesnya, sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan boleh memohon.

“Tetapi sama ada dibenarkan atau tidak terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita menaruh kepercayaan kepada proses, dan juga kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan,” kata Loke yang mana partinya merupakan antara parti yang membentuk gabungan Pakatan Harapan pimpinan Anwar.

Meskipun Anwar menegaskan tidak timbul isu konflik kepentingan berikutan proses yang perlu dipatuhi selain dari kuasa memberi keampunan hanya tertakluk dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan, namun ia tetap mengundang kegusaran beberapa penganalisa politik.

"Akhirnya soal berkenaan penganugerahan pingat dan soal pengampunan itu wewenang (hak dan kekuasaan) dan budi bicara kebawah Duli yang di-Pertuan Agong, jadi tak perlu kita bahaskan di awam kerana proses itu mesti dilalui... saya belum lihat apa-apa lagi proses yang berlaku.

“Tiada sebarang isu konflik kepentingan. Saya rasa terlalu awal untuk saya memberikan sebarang komen kerana saya belum melihat apa-apa lagi selain resolusi UMNO,” kata Anwar sambil menambah, mereka yang disabitkan kesalahan mempunyai hak untuk membuat rayuan permohonan Pengampunan Diraja dan beliau tidak mahu menghalang sesiapa dalam soal tersebut.

Keputusan sebulat suara oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk merayu pengampunan bagi Najib daripada Yang di-Pertuan Agong ditetapkan pada mesyuarat bulanan MKT yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat.

Reaksi positif Anwar dalam proses pengampunan bakal menjejaskan kepercayaan rakyat, kata beberapa penganalisis politik Malaysia.

Muhammad Izmer Yusof, Pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis berkata sebarang reaksi positif yang menggambarkan Anwar sebagai ahli lembaga memihak kepada pengampunan Najib bakal menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Harapan terutamanya penyokong parti yang percaya dengan imej Najib yang disifatkan sebagai pemimpin korup dan tidak boleh dipercayai seperti yang diwar-warkan oleh Anwar sendiri sebelum ini.

Pensyarah itu juga mengingatkan bahawa ia juga mungkin ditafsir oleh sesetengah pihak sebagai pengesahan kepada teori konspirasi dan khabar angin berkenaan perjanjian antara Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Presiden UMNO untuk membebaskan Najib.

“Akan ada beberapa implikasi sekiranya Anwar menyokong pengampunan Najib, yang nyata bercanggah dengan prinsip yang diperjuangkannya, dimana penyokong mungkin merasakan kesudahannya apabila Anwar berkuasa, beliau pun mengorbankan prinsipnya jadi apa beza Anwar dan UMNO.

“Ini kerana mereka mungkin melihat senario ini seperti telah dirancang lebih awal untuk mengekalkan kuasa PH melalui kerjasama dengan UMNO. UMNO jadi ‘kingmaker’ dan mereka boleh membuat permintaan kepada PH,” Izmer berkata pada BenarNews.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura turut berkongsi pendapat di mana penyokong PH yang mempunyai obsesi berkaitan sifar toleransi terhadap rasuah mungkin akan berasa sangat tidak senang dengan hanya membayangkan kehadiran Anwar di dalam lembaga yang didakwa memberikan kelebihan politik kepada Najib dengan membebaskannya.

Namun begitu, Ei Sun mengingatkan para penyokong agar membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum membuat keputusan sama ada mereka akan memilih untuk tidak mengundi pada pilihan raya negeri akan datang atau berdepan dengan kemungkinan Perikatan Nasional memenangi hampir semua negeri yang dipertandingkan sekaligus menggoyah kepimpinan kerajaan persekutuan masa kini.

“Pada pendapat saya, dakwaan timbulnya konflik kepentingan adalah berikutan pengaruh de facto Najib dalam UMNO memandangkan kesungguhan UMNO dalam memohon pengampunan Najib.

“UMNO adalah parti gabungan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar, manakala pembebasan Najib dianggap amat diperlukan untuk mengetuai kempen 'Bossku' dalam mendepani gelombang hijau.

“Walaupun hubungkaitnya dengan Anwar adalah sangat samar-samar, namun Anwar serta ahli politik yang terlibat seharusnya menarik diri dari terlibat dengan perbincangan lembaga pengampunan yang berkaitan,” katanya kepada BenarNews.

Sebarang keputusan lembaga pengampunan menjejaskan imej Anwar.

Bagi Syaza Shukri pula, sebarang keputusan yang dibuat oleh lembaga pengampunan terhadap pembebasan Najib akan membawa pandangan negatif terhadap Anwar dan kerajaannya.

Penolong Profesor Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berpendapat sekiranya Najib kekal di dalam penjara, pihak pembangkang akan melemparkan tuduhan Anwar menggunakan pengaruh atau ugutan untuk memastikan pihak lawannya tidak dibebaskan.

“Sebaliknya, sekiranya Najib dibebaskan, Anwar akan dikatakan berada di bawah telunjuk Zahid. Inilah masalah yang dihadapi Anwar sebagai seorang ahli lembaga,” katanya.

Najib kekal menjalani hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya menyemak keputusan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International pada 31 Mac.

Peluang terakhirnya untuk dibebaskan dari Penjara Kajang, di mana Najib menjalani hukumannya sejak 23 Ogos 2022 setelah diputuskan oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, adalah melalui pengampunan diraja.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.