Najib Razak: Lembaga Pengampunan kurangkan tempoh hukuman penjara dan denda

Keputusan Lembaga Pengampunan itu dilihat penganalisis sebagai tindakan yang mampu menggugat kredibiliti kempen melawan rasuah PM Anwar.
Minderjeet Kaur dan Iman Muttaqin Yusof
2024.02.02
Kuala Lumpur
Najib Razak: Lembaga Pengampunan kurangkan tempoh hukuman penjara dan denda Bekas Perdana Menteri Najib Razak diiringi oleh pegawai penjara ketika hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes 1MDB, 17 April 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Lembaga Pengampunan Malaysia pada Jumaat mengumumkan pengurangan tempoh hukuman bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini sedang dipenjarakan atas kesalahan rasuah daripada 12 tahun kepada 6 tahun, satu langkah yang dilihat penganalisis sebagai tindakan yang mampu menggugat kredibiliti kempen melawan rasuah dijalankan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Selain tempoh penjara dikurangkan, yang sekaligus menyaksikan Najib dijadual dibebaskan pada penghujung Ogos 2028, lembaga tersebut turut mengurangkan jumlah denda yang dikenakan mahkamah terhadapnya daripada RM210 juta (AS$44 juta) kepada RM50 juta (AS$10.5 juta).

Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat bagaimanapun, tidak menyatakan sebarang sebab mengapa ia mengurangkan hukuman terhadap Najib.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024.

“Sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

"Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

"Oleh yang demikian, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak 210,000,000 ringgit dikurangkan kepada 50,000,000 ringgit.

"Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029," kata kenyataan itu.

Najib telah dihantar ke penjara pada Ogos 2022 selepas mahkamah paling tinggi di Malaysia mengekalkan sabitan jenayah terhadapnya atas kesalahan rasuah menyeleweng dana sebanyak RM42 juta (AS$9.4 juta) dalam kes melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau menjadi bekas perdana menteri Malaysia pertama yang dipenjarakan.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas satu dakwaan salah guna kuasa, tiga dakwaan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram kerana menerima wang secara salah daripada SRC International, yang merupakan anak syarikat dana pelaburan negara 1MDB.

Parol

Lembaga Pengampunan bagaimanapun tidak menyatakan bilakah tarikh akhir Najib perlu membayar denda yang dikenakan keatasnya, serta sama ada bekas perdana menteri itu layak mendapat parol yang membolehkannya dibebaskan sebelum Ogos 2028.

Berdasarkan Akta Penjara Malaysia yang membenarkan banduan memohon parol selepas menjalani separuh hukuman penjara mereka, Najib berkemungkinan layak dibebaskan pada tahun hadapan. Ia kerana ahli politik berusia 70 tahun itu akan layak memohon parol pada penghujung 2025, berdasarkan tempoh hukuman yang dipendekkan tersebut.

"Proses parol itu sendiri mungkin mengambil sediki masa, tetapi melihatkan bagaimana laju proses pengampunan melibatkan beliau dilakukan, ia bukan sesuatu yang mengejutkan," kata Goh Cia Yee, seorang peguam jenayah, kepada BenarNews.

Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan terhadap permohonan Najib sejak Isnin lalu, pada hari terakhir Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memegang jawatan tersebut serta jawatan sebagai pengerusi lembaga itu.

Agong mempunyai kuasa budi bicara sama ada untuk membenarkan atau menolak sesuatu permohonan pengampunan, walaupun secara amnya beliau bertindak atas nasihat lembaga berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim semasa satu wawancara dengan stesen televisyen antarabangsa Al-Jazeera pada Jumaat berkata, Najib mempunyai hak seperti rakyat biasa yang lain untuk membuat rayuan kepada Agong.

"...Yang di-Pertuan Agong, sebagai raja berperlembagaan, merujuk kepada Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi. Sudah tentu baginda adalah bentengnya dan menegakkan perlembagaan serta undang-undang.

"Agong pada waktu itu sudah mempertimbangkan semua perkara. Selepas mendengar nasihat lembaga, baginda akhirnya membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman sebanyak 50 peratus, bermakna sekiranya (Najib) membayar denda RM50 juta ringgit, beliau akan dibebaskan pada Ogos 2028," kata perdana menteri Malaysia itu.

Tambah Anwar, semua orang harus menghormati keputusan dibuat Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, selain Najib kini juga berhak untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong baharu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Ada yang berasakan bahawa ini sesuatu yang bersifat politik, sesetengah menyokong manakala sesetengah lagi tidak, tetapi mereka tidak boleh menafikan bahawa kita mesti menghormati hak sesiapa yang didapati bersalah (di mahkamah) untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.

"Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Sekiranya ada yang tidak puas hati tidak apa kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu," kata Anwar.

Najib Razak merupakan seorang pemimpin kanan parti UMNO yang kini menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan Anwar. UMNO menyertai gabungan tersebut pada November 2022 selepas pilihan raya umum menyaksikan tiada parti yang berjaya membentuk kerajaan secara sendirian.

Belia masih berdepan beberapa perbicaraan jenayah lain membabitkan 1MDB, yang ditubuhkan dengan tujuan merangsang ekonomi negara. Antara kes tersebut termasuk perbicaraan mengenai kehilangan sejumlah RM2.3 bilion (AS$487 juta) dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun-akaun bank bekas PM itu.

Penyiasat menganggarkan bahawa lebih AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB, atau nama penuhnya 1Malaysia Development Berhad, melalui syarikat-syarikat palsu, pegawai kerajaan dan bank yang korup, serta sekutu mereka.

Peguam Najib, Shafee Abdullah sebelum ini berkata mereka telah menghantar petisyen pengampunan bagi Najib pada September 2022, tidak lama selepas bekas perdana menteri itu mula menjalani hukuman penjaranya.

Anak perempuan Najib, Nooryana dalam respon terhadap pengumuman itu telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan. Walaupun beliau menghargai pengurangan hukuman, Nooryana percaya Najib sepatutnya diberikan pengampunan penuh.

"Dato’ Sri Najib Razak dan keluarga kekal dengan pendirian dan yakin beliau tidak bersalah," tulis Nooryana dalam satu muatnaik di akaun Instagram miliknya.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengenepikan rayuan peringkat terakhirnya dalam kes SRC International. Setakat ini, Najib telah menjalani hukuman selama 16 bulan.

Anwar tidak serius

Syaza Shukri, seorang profesor madya sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memberitahu BenarNews bahawa keputusan Lembaga Pengampunan itu merupakan sesuatu yang mengejutkannya.

"Saya ingat kes mahkamah Najib merupakan satu perkara yang jelas di mana rakyat telah bersuara (supaya mereka yang korup ditangkap) dan memberikan apa sahaja bentuk pengampunan adalah sesuatu yang agak tidak masuk akal," kata beliau.

Tambahnya, orang ramai kini akan menuding jari kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang terlepas daripada tindakan selepas Mahkamah Tinggi memberikannya perintah supaya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes 47 pendakwaan rasuah.

Kesemua pertuduhan terhadap Zahid itu dibuat oleh Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia berkaitan dengan penyalahgunaan dana berkait dengan badan kebajikan Yayasan AkalBudi yang diasaskan oleh Zahid.

"Ini akan kelihatan seperti satu bentuk kompromi bagi memastikan kerajaan perpaduan terus utuh dan kerajaan ini tidak serius dalam melawan rasuah seperti yang diwar-warkannya," kata Syaza.

"Walaupun langkah ini tidak semestinya akan memberikan lebih undi kepada gabungan pembangkang Perikatan Nasional, ia sudah pasti akan mengurangkan sokongan rakyat kepada gabungan Pakatan Harapan," kata beliau, merujuk kepada parti pimpinan Anwar.

Sementara itu, berita mengenai pengurangan hukuman Najib turut mengejutkan ramai netizen.

Pengguna X @LoneRedRanger mahukan supaya kerajaan memberikan penjelasan mengapa Najib mendapat diskaun hukuman hanya selepas menjalani dua tahun penjara.

"Di manakah reformasi," katanya, menggunakan slogan yang selalu digunakan Anwar untuk memerangi rasuah.

Seorang lagi pengguna X yang menggunakan nama @Aizatsays: "Good luck kepada kerajaan Anwar dalam menerangkan pengampunan Najib. Juga good luck [kepada kerajaan] dalam pilihan raya akan datang."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.