Pinda laporan audit 1MDB: Najib Razak kekal bebas, pendakwaan terlepas tarikh akhir rayuan
2023.09.12
Kuala Lumpur
Mahkamah Rayuan Malaysia pada Selasa telah mengekalkan keputusan membebaskan bekas Perdana Menteri Najib Razak daripada pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah pendakwa raya terlepas tarikh akhir memfailkan petisyen meskipun ketika ini kritikan giat dilontarkan terhadap perjuangan menentang rasuah yang dibawa oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Walaupun Najib masih menjalani hukuman penjara dalam kes lain yang membabitkan 1MDB, perkembangan terbaru ini secara tidak langsung menyemarakkan lagi dakwaan campur tangan politik oleh Anwar dalam keputusan badan kehakiman terutama apabila dua pemimpin parti yang bersekutu dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan rasuah baru-baru ini, kata para penganalisis.
“(Ini merupakan) Satu petanda bahawa Anwar perlu menyegerakan reformasi kehakiman terutama sekali dari sudut pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya," menurut mereka.
Najib didakwa bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy pada 2018 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB. Pada 3 Mac lepas, mahkamah telah membebaskan mereka setelah pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.
Pendakwaan mengemukakan rayuan tiga hari kemudian namun ia tidak difailkan dalam dokumen yang diperlukan untuk menyokong permohonan tersebut.
Pada Selasa, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak permohonan pendakwaan untuk melanjutkan tarikh penyerahan dokumen terbabit.
Sementara itu, peguam N Sivananthan, yang mewakili Arul Kanda memaklumkan BenarNews bahawa Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim telah membuat permohonan lisan kepada mahkamah untuk lanjutan masa atas alasan kes tersebut berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
"Jika mereka benar-benar serius, mereka akan memfailkan petisyen itu lebih awal.
"Mereka bahkan tidak memfailkan permohonan lanjutan masa dan ini jelas menunjukkan pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan rayuan memandangkan tiada sebarang permohonan bertulis yang difailkan hingga saat akhir.
"Hanya ada permohonan lisan yang dibuat pagi ini dan menimbulkan keanehan,” katanya kepada BenarNews.
Sivananthan berkata panel hakim Mahkamah Rayuan turut memaklumkan pendakwaan bahawa mereka telah gagal memfailkan sebarang permohonan untuk lanjutan masa.
“Pada pandangan para hakim, sekiranya pihak pendakwaan ingin melanjutkan masa, mereka seharusnya berbuat demikian setelah diarahkan semasa tiga pengurusan kes berlangsung pada 21 Julai, 28 Ogos dan 30 Ogos,” katanya.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula berkata "pembebasan ini bermaksud anak guamnya dan Arul Kanda dapat meneruskan kehidupan mereka, bebas daripada segala tuduhan tidak berasas.”
Arul Kanda Kandasamy (kiri) bersama peguamnya N. Sivananthan bercakap kepada media selepas prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 12 Sept. 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Masa untuk bertindak
Kebelakangan ini, banyak pihak melahirkan rasa tidak puas hati susulan dakwaan campur tangan politik yang dilihat semakin berleluasa sehingga menimbulkan persepsi buruk dan ini perlu ditangani oleh Anwar dengan kadar segera, kata penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau berkata kritikan yang semakin meluas terhadap kerajaan pimpinan Anwar berpunca daripada dua faktor iaitu kelantangan pembangkang dalam bersuara dan pengaruh media sosial.
“Ketika ini, sekurang-kurangnya di peringkat pimpinan parti, mereka kelihatan seperti berada di belakang Anwar. Namun demikian, Anwar juga tidak boleh berterusan memberikan persepsi bahawa kerajaannya telah berpaling daripada reformasi terutama sekali dari sudut perundangan.
“Apabila kes berprofil tinggi berakhir dengan defendan dalam kalangan VIP disabitkan bersalah, keyakinan terhadap kerajaan akan kembali. Begitu juga pentingnya perkembangan positif terhadap sistem ekonomi semasa dalam mengembalikan sokongan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Ketidakpuasan hati itu jelas dapat dilihat apabila parti belia Muda mengumumkan pada hujung minggu tentang keputusannya untuk menarik sokongan terhadap kerajaan.
Ini sekali gus menyebabkan kerajaan kehilangan majoriti dua pertiga yang menghalangnya daripada meluluskan sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan atau rang undang-undang penting di Parlimen tanpa sokongan pihak pembangkang.
Presiden Muda dan satu-satunya wakil parti itu di Parlimen, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu media bahawa parti itu tidak lagi boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan yang tidak berprinsip terutama dalam usaha memerangi rasuah.
Langkah itu juga merupakan protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah minggu lalu.
Beberapa hari kemudian, seorang lagi pemimpin kanan dalam parti UMNO yang diterajui Ahmad Zahid iaitu Bung Mokhtar Radin dan isterinya dibebaskan daripada pertuduhan rasuah.
Pada 16 Sept ini, blok pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merancang untuk mengadakan perjumpaan secara besar-besaran sebagai sebahagian daripada kempen #SelamatkanMalaysia yang menyasarkan kehadiran 20,000 peserta di ibu negara Kuala Lumpur bagi membangkitkan isu kegagalan Kerajaan Perpaduan dalam menguruskan kes Ahmad Zahid.
Bagi menangani persepsi negatif yang kian meluas serta penolakan orang ramai, Tunku Mohar berpendapat Anwar harus segera bertindak.
“Beliau harus membuktikan bahawa beliau tidak campur tangan dalam urusan kehakiman dan menggerakkan reformasi kehakiman, bermula dengan mengasingkan Jabatan Peguam Negara dan Peguam Cara selain mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup,” katanya kepada BenarNews.
Seorang lagi penganalisis politik iaitu Muhammad Izmer Yusof dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempunyai pandangan yang selari dengan Tunku Mohar berkenaan reformasi kehakiman dan menekankan bahawa ‘quick win’ (kemenangan segera) diperlukan untuk meredakan ketidakpuasan rakyat.
“Sesuatu yang boleh diselesaikan atau mengurangkan beban rakyat dalam berhadapan dengan kenaikan harga. Inilah sebenarnya kebimbangan utama kebanyakan rakyat pada hari ini. Kenaikan harga beras dan gula mempunyai kesan domino yang menjejaskan kehidupan rakyat dari pelbagai sudut.
“Sekiranya kerajaan dapat melakukan sesuatu yang boleh meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos sara hidup, ia mungkin mampu mengurangkan rasa prejudis dan kritikan terhadap Kerajaan Perpaduan Anwar,” katanya.