Bantahan Bersih Tidak Akan Desak Saya Letak Jawatan, Kata PM Malaysia

Shuman Vasu
2016.11.17
Kuala Lumpur
16117-MY-Bersih-620.jpg Perdana Menteri Najib Razak bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di Tokyo, 16 Nov 2016.
AFP

Dalam komen pertamanya mengenai perhimpunan yang akan diadakan dalam usaha mendesak beliau meletak jawatan, Perdana Menteri Najib Razak berkata, protes bukan sebahagian daripada budaya negara, dan mencadangkan supaya pengkritiknya membantah melalui peti undi.

Pada akhir lawatan tiga hari ke Jepun, Najib bercakap mengenai perhimpunan Bersih 5.0 yang dirancang di Kuala Lumpur pada Sabtu ini. Sekumpulan besar penunjuk perasaan berbaju kuning dijangka berarak untuk mendesak beliau  meletakkan jawatan atas tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tindak balas bantahan terhadap kumpulan itu juga sedang dirancang dan akan turut diadakan pada hari yang sama di ibu negara Malaysia oleh kumpulan yang dipanggil Baju Merah, sekumpulan aktivis yang menyokong parti UMNO yang dipimpin oleh Najib.

Pihak berkuasa Malaysia telah memberi amaran bahawa tindakan keras akan diambil jika tercetusnya keganasan melibatkan kedua-dua kumpulan atau semasa perhimpunan itu berlangsung.

"Kita telah melihat perkara ini berlaku di banyak negara. Malah, rusuhan ala Arab Spring yang kononnya petanda permulaan era perubahan, sebaliknya membawa kesengsaraan kepada rakyat di negara-negara yang terlibat, “ katanya pada malam Rabu, pada akhir lawatan tiga hari ke Jepun, seperti dilaporkan akhbar The Star.

Pada 2011, satu siri protes anti-kerajaan yang dikenali sebagai Arab Spring membawa kepada  penyingkiran beberapa diktator di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Bersih, gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil terbesar Malaysia yang juga dikenali sebagai Baju Kuning, mahukan kerajaan yang telus dan telah mengadakan perhimpunan besar-besaran selama empat tahun.

Perhimpunan Bersih 4 tahun lalu, turut menggesa peletakan jawatan Najib kerana 1MDB, dan telah menarik lebih daripada 100,000 orang ke Kuala Lumpur selama dua hari. Tahun ini, penganjur turut mengharapkan jumlah penyokong yang sama.

"Waktu yang terbaik untuk membuat keputusan ialah apabila tiba masanya. Pilihan raya akan diadakan dan rakyat boleh membuat pilihan dan kami akan mematuhi keputusan yang dipilih rakyat. Itu adalah penting," kata Najib, merujuk kepada pilihan raya umum Malaysia ke -14, yang tempohnya dijangka berakhir pada Jun 2018, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) memetik beliau sebagai berkata di Tokyo.

Ketegangan telah berlaku antara aktivis-aktivis lain dan  kumpulan Bersih yang sedang berkempen di seluruh negara untuk mendapatkan sokongan di kalangan rakyat Malaysia di luar bandar untuk menyertai perhimpunan di ibu negara.

Najib, yang telah menafikan sebarang salah laku terhadap dakwaan berkaitan 1MDB terhadapnya, juga menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya pertempuran antara kedua-dua kumpulan pada Sabtu ini, sambil mengatakan bahawa demonstrasi jalanan "bukan budaya yang diterima di negara kita."

“Saya tidak mahu apa-apa pertempuran fizikal," katanya seperti dilaporkan Bernama.

‘Polis tidak akan berkompromi’

Akta Perhimpunan Aman Malaysia 2012 membenarkan perhimpunan secara aman tanpa permit. Tahun ini, Bersih mengemukakan notis 10 hari seperti yang diperlukan kepada beberapa ibu pejabat polis di sekitar Kuala Lumpur.

Para pegawai kerajaan bagaimanapun, telah mengemukakan surat meminta supaya perhimpunan tidak memasuki kawasan berhampiran Dewan Bandaraya.

Pada Khamis, Ketua Polis Khalid Abu Bakar mengisytiharkan kedua-dua perhimpunan yang dirancang pada Sabtu sebagai haram, sambil meminta kedua-dua kumpulan mencari tempat yang berbeza untuk mengadakan perhimpunan masing-masing.

Menurut Bernama, Khalid berkata, kedua-dua perhimpunan yang dirancang "tidak memenuhi peruntukan undang-undang, khususnya Akta Perhimpunan Aman 2012."

Dua hari sebelum itu, beliau telah memberi amaran bahawa polis akan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air, jika keganasan tercetus pada hari perhimpunan.

Pada Khamis juga, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi - yang merupakan Menteri Dalam Negeri - mengeluarkan amaran terakhir, yang menyatakan bahawa "kedua-dua pihak perlu membatalkan perhimpunan mereka" atau berdepan dengan tindakan.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dari segi tindakan yang akan diambil terhadap mereka di bawah undang-undang," kata Zahid kepada pemberita.

Dalam mesej teks kepada BeritaBenar, Jamal Md Yunos, pemimpin kumpulan Baju Merah, berikrar untuk meneruskan protes-balas.

"Jika kuning hadir, merah pasti akan juga," katanya kepada BeritaBenar melalui mesej teks, mengulas tindak balas terhadap amaran Zahid.

‘Sebahagian daripada perbezaan pendapat’


Dalam tindak balas terhadap komen Najib, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah berkata, demonstrasi dan protes jalanan sentiasa menjadi sebahagian daripada budaya Malaysia sambil mengimbas kembali tahun sebelum negara merdeka.

"UMNO tidak akan mungkin dapat diselamatkan jika mereka tidak turun ke jalan. Jika anda masih ingat bagaimana kita mencapai kemerdekaan, kita berarak di jalan. Ini adalah sebahagian daripada hak kami untuk menyuarakan perbezaan pendapat. Demonstrasi jalanan juga telah menjadi sebahagian daripada budaya kita, " katanya pada sidang media.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.