Perbicaraan Kes 1MDB Najib Bakal Jadi Tumpuan

Hadi Azmi & Ali Nufael
2019.02.08
Kuala Lumpur, Malaysia
190208-MY-Najib-Trial1000.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa hadir di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Malaysia, 7 Februari, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak membabitkan skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijadualkan bermula pada Selasa ini iaitu tujuh bulan dan tujuh hari selepas beliau pertama kalinya didakwa di mahkamah pada 5 Julai tahun lepas.

Selepas didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa pada tarikh itu, Najib sehingga Jumaat telah didakwa dengan 38 lagi pertuduhan berkaitan 1MDB dan juga anak syarikat agensi pelaburan milik kerajaan itu yang kesemuanya sebanyak 42.

Dengan 42 pertuduhan itu, perbicaraan kes Najib akan menjadi satu sejarah dalam sistem kehakiman Malaysia kerana buat pertama kalinya seorang bekas pemimpin negara akan duduk di kandang tertuduh untuk pertuduhan jenayah.

Ketika Malaysia sedang menunggu tarikh perbicaraan pada Selasa ini, hari-hari yang berikutnya terus membawa dari satu ke satu kejutan yang tidak disangka dengan terkini,  Peguam Negara Tommy Thomas telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang difailkan ke atas Najib sepuluh hari sebelumnya.

Belum pun tamat tempoh 24 jam tindakan yang diambil oleh Peguam Negara itu Najib kemudiannya didakwa semula dengan pertuduhan yang sama di mahkamah yang lebih rendah dengan alasan ianya dibuat untuk menjimatkan masa hakim serta memastikan perbicaraan pada 12 Februari nanti tidak akan ditangguh.

Perkembangan terkini itu disifatkan oleh Ketua peguam bela Najib, Shafee Abdullah sebagai satu langkah untuk mensabotaj persiapan pasukan peguambela menghadapi perbicaraan Selasa ini.

“Mereka membuat keputusan untuk menarik balik kerana (mereka) fikir lebih baik untuk kes ini supaya tiada penangguhan. Kalau anda orang yang jujur sepatutnya anda perlu memberitahu kami lebih awal supaya kami tidak perlu membuat persiapan hari ini (Khamis) dan memberikan tumpuan pada perbicaraan Selasa nanti.

“Jadi sebenarnya apa niat anda? Adakah anda cuba untuk mensabotaj kami dalam persiapan untuk kes utama ini?” Shafee mempersoalkan keputusan tersebut semasa ditemui media selepas prosiding pada Khamis.

Dengan perkembangan terkini itu, pasukan peguam Najib juga memfailkan permohonan penangguhan kes utama yang dijadualkan berlangsung pada Selasa di hadapan Pendaftar di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Peguam yang mewakili Najib, Harvinder Singh memberitahu laman portal berita Free Malaysia Today bahawa mereka berharap kes itu akan didengari pada Isnin, sehari sebelum perbicaraan yang dijadualkan bermula.

Masa yang ditunggu-tunggu


Pemandu bas Ibrahim Haron, 35, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau sangat teruja dengan kes perbicaraan itu yang akhirnya akan bermula dan dijangka merungkai apa yang sebenarnya terjadi terhadap skandal kewangan yang turut membawa kepada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memegang tampuk kuasa negara sejak merdeka.

“Bertahun kita dengar pasal Najib dan sekarang kita akhirnya akan dapat mendengar tentang kes skandal rasuah ini di mahkamah dan juga apa yang sebenarnya berlaku,” kata Ibrahim.

Perbicaraan yang dijangka berlangsung selama 31 hari sehingga 29 Mac itu menurut beliau sudah tentu akan menjadi tumpuan seluruh warga Malaysia sepanjang tahun.

“Ia akan menjadi perbualan masyarakat macam apa yang telah terjadi kepada Anwar Ibrahim pada 1998,” tambah beliau sambil merujuk kepada kes mahkamah yang melibatkan bekas timbalan perdana menteri pada masa itu.

Walaupun kes 1MDB dilihat sebagai punca utama kejatuhan parti gabungan pimpinan Najib pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, bekas perdana menteri itu kini  kembali popular berikutan perubahan terhadap beliau yang lebih banyak interaksi di media sosial dan cuba dekat diri dan hati warganet Malaysia.

Bercakap kepada BeritaBenar, pengusaha Fadhli Tahar, 31, berkata walaupun beliau sedar tentang pertuduhan yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu, dan perkembangan terbaru mengenai kes itu  itu pasti menarik perhatian majoriti bangsa Melayu di dalam media sosial yang kini sudah menjadi satu ketagihan.

“Beliau sebelum ini nampak serius, sangat formal. Tetapi sekarang cara beliau berinteraksi sangat dekat dengan masyarakat, sesuatu yang jarang kita lihat dalam diri ahli politik.

“Kalau beliau begini ketika menjadi perdana menteri, mungkin dia masih lagi kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia,” kata Fadhli.

Kunci kepada penjenamaan semula media sosial Najib adalah menggunakan tagline #MaluApaBossku yang turut mendapat kecaman dari mereka yang menuduh beliau sebagai cuba untuk mengalihkan perhatian terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Fahimah Abu Bakar, 55, berkata amat tidak kena apabila melihat Najib dengan beraninya mengambil peranan sebagai ‘troll’ di media sosial dan menyerang kerajaan ketika berhadapan dengan pelbagai pertuduhan berat.

“Amat tidak kena beliau meletakkan diri serendah itu untuk membuatkan diri disukai dan mendapat sokongan.

“Tidak kisah sama ada beliau bersalah atau tidak, saya rasa adalah lebih baik bagi beliau untuk tidak menonjolkan diri,” kata bekas arkitek itu.

Perbicaraan adil

Walaupun masyarakat mempunyai pelbagai tanggapan terhadap Najib, aktivis perundangan ternama Syahredzan Johan mengingatkan masyarakat untuk mengenepikan pandangan peribadi mereka terhadap mantan perdana menteri itu dan membenarkan undang-undang berjalan.

“Kita mungkin ada pandangan peribadi - sama ada beliau bersalah atau sebaliknya, tetapi undang-undang mengatakan bahawa beliau perlu dilayan sebagai orang yang tidak bersalah sehingga segala pertuduhan ke atas beliau dibuktikan,” kata Syahredzan.

Menurut Syahredzan lagi, apa yang paling penting masa ini ialah kerajaan baru di bawah pimpinan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad membenarkan Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan dilihat sebagai perbicaraan yang telus.

“Menurut peraturan undang-undang seperti yang sering dinyatakan oleh kerajaan bermaksud tertuduh perlu dibenarkan untuk membela diri dalam semua pertuduhan jenayah dalam satu perbicaraan yang adil di hadapan hakim yang adil,” tambah Syahredzan lagi.

Najib sejak disabitkan dengan skandal 1MDB sehingga dituduh di mahkamah tetap dengan pendirian beliau bahawa beliau tidak bersalah dan mendakwa bahawa beliau merupakan mangsa kepada ahli perniagaan Jho Low yang dikehendaki di Malaysia dan Amerika Syarikat atas pembabitan dalam skandal 1MDB.

Walaupun tidak menamakan Najib, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menerusi bekas Peguam Negaranya Jeff Sessions menyifatkan 1MDB sebagai “kleptokrasi yang paling buruk dalam sejarah'.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.