Follow us

Mahkamah Malaysia Tolak Permohonan Najib Razak Ketepikan Tujuh Pertuduhan Rasuah

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-04-29
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menghadiri perbicaraan jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 29 April, 2019.
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menghadiri perbicaraan jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 29 April, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang Hakim Mahkamah Malaysia pada Isnin telah menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetepikan tujuh pertuduhan rasuah terhadapnya dalam perbicaraan berkaitan dakwaan mencuri berbilion-bilion ringgit daripada dana negara 1Malaysia Development Berhad [1MDB].

Hakim Nazlan Ghazali memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Najib akan diteruskan, selepas menolak dakwaan bekas pemimpin itu bahawa pertuduhan tersebut adalah cacat kerana tidak jelas serta mengelirukan sehingga beliau tidak dapat mengemukakan pembelaan sewajarnya.

Perbicaraan kes Najib yang bermula pada 3 April lalu, memfokus kepada tujuh daripada 42 pertuduhan terhadap beliau berkaitan peranannya dalam skandal kewangan 1MDB.

Najib adalah bekas perdana menteri pertama dalam sejarah negara yang berdepan perbicaraan atas pertuduhan jenayah selepas mengaku tidak bersalah berhubung pemindahan wang sebanyak 42 juta ringgit (AS$10.3 juta) daripada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB yang ditubuhkannya pada 2009.

“Saya dapati hujah bahawa pertuduhan adalah cacat dan mengelirukan sukar untuk diterima… sehubungan itu permohonan ditolak,” kata Nazlan.

Pasukan peguam bela Najib tidak menyatakan sama ada mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Najib telah memfailkan notis usul pada 3 April yang memohon agar tujuh pertuduhan terhadapnya diketepikan atas alasan ia menyalahgunakan proses mahkamah serta defektif dari segi bentuk dan substans, dan pasukan peguam bela berhujah bahawa kesemua pertuduhan tidak mempunyai merit, oleh itu, ia perlu digugurkan atau dipinda.

Tujuh pertuduhan itu secara khusus melibatkan dakwaan bahawa wang sebanyak 42 juta ringgit (AS$10.3 juta) telah disalurkan secara haram ke akaun bank peribadi Najib dari SRC International.

Skandal 1MDB telah membawa kepada kejatuhan kerajaan Najib dan kebangkitan pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH), yang semasa kempen pilihan rayanya berjanji untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah. Mahathir Mohamad, bekas mentor yang bertukar menjadi musuh Najib, memimpin PH untuk memenangi  pilihan raya umum ke-14 sekali gus mengambil alih jawatan perdana menteri.

Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan dan berusia 66 tahun, adalah perdana menteri keenam Malaysia serta pemimpin tertinggi negara pertama berada dalam kandang tertuduh selepas kes berkaitan skandal 1MBD diheret ke mahkamah.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut memfailkan kes jenayah berkaitan skandal 1MDB dan berkata kira-kira AS$4.5 bilion [198.3 bilion ringgit] telah diseleweng daripada dana itu oleh pegawai tinggi, rakan dan keluarga mereka antara 2009 dan 2014 sambil menyifatkan ia sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk dalam sejarah ketika ini.”

Selain tujuh pertuduhan dalam kes SRC International, Najib berdepan 35 pertuduhan bagi jenayah yang didakwa dilakukannya sebagai ketua 1MDB, yang diasaskan beliau untuk meningkatkan ekonomi negara melalui pelaburan strategik. Kesemua kes telah ditetapkan untuk prosiding pendengaran dari Mei hingga Jun tahun ini.

Sementara itu, Hakim Nazlan juga menetapkan perbicaraan kes Najib sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula minggu depan, berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3.30 petang dengan mahkamah berhenti rehat selama setengah jam untuk makan tengah hari bagi mereka yang berkenaan.

Lihat Laman Penuh