Bekas Pemimpin Malaysia Berdepan Pertuduhan Baru Pengubahan Wang Haram

Hadi Azmi, Muzliza Mustafa & Ali Nufael
2018.08.07
Kuala Lumpur, Malaysia
180807-MY-najib-620.jpg Bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa sedang bercakap dengan Anggota Parlimen Malaysia, 16 July, 2018.
(AP)

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak akan berdepan dengan pendakwaan baru di mahkamah pada Rabu dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Negara, berhubung pertuduhan bahawa beliau serta rakan-rakannya telah menggelapkan berbilion ringgit daripada dana pelaburan negara, kata para pegawai.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat pengumuman demikian pada Selasa selepas Najib diminta memberi keterangan mengenai kes pecah amanah SRC International Sdn. Bhd.

Najib, 65, ditahan bulan lalu dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan tiga lagi pertuduhan pecah amanah.

SPRM berkata Najib akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 apabila beliau  muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. Bagaimanapun, SPRM tidak memberi keterangan lanjut.

Pendakwaan itu berkaitan dengan tuduhan bahawa RM42 juta  (kira-kira AS$10.3 juta) telah dialihkan secara tidak sah ke dalam akaun bank peribadi Najib dari SRC International, sebuah syarikat tenaga yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB [1Malaysia Development Berhad].

Najib, yang ditemani peguamnya, menghabiskan masa selama kira-kira 45 minit di Ibupejabat SPRM di Kuala Lumpur sebelum meninggalkan bangunan berkenaan tanpa bercakap dengan pemberita.

Sekiranya didapati bersalah, Najib boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun untuk setiap empat tuduhan asal. Beliau bebas dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta (AS$ 250,000) dan mahkamah telah mengarahkan bekas perdana menteri itu untuk menyerahkan pasportnya.

Najib menyifatkan dakwaan itu sebagai "dendam politik" yang diambil oleh kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

 

Kapal persiaran mewah Equanimity berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Malaysia, 7 Ogos 2018. (S. Mahfuz/BeritaBenar)

Equanimity berlabuh

Sementara itu, penyiasat kerajaan menaiki kapal persiaran mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1.3 bilion) selepas ianya berlabuh sekitar pukul 12:40 tengahari waktu tempatan di Terminal Boustead Cruise Center di Pelabuhan Klang. Ahli kewangan Malaysia Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low) didakwa membeli kapal layar tersebut dengan menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.

Kapal itu belayar ke pelabuhan Klang, sehari selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo kerana bersetuju menyerahkan kapal berkenaan kepada pegawai Malaysia.

Kapal yang mengibarkan bendera Kepulauan Cayman itu telah berlabuh di perairan Pulau Bali sejak ianya disita oleh polis Indonesia dan para penyiasat dari Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat [FBI] pada 27 Feb lepas.

James Haggerty, peguam Jho Low mendakwa pemindahan kapal layar itu ke Malaysia adalah bertentangan dengan perintah mahkamah Indonesia dan Amerika Syarikat baru-baru ini. Malaysia juga telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, yang sehingga kini tidak diketahui di mana dia berada.

Najib memberitahu pemberita di Parlimen pada Isnin, yang beliau tidak tahu bahawa Equanimity telah dibeli menggunakan dana 1MDB.

Penyokong rancang bantahan


Bercakap kepada BeritaBenar, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, yang merupakan kenalan rapat bekas perdana menteri itu telah mengecam tindakan terbaru kerajaan Malaysia terhadap Najib.

"Tuntutan ini tidak ada kaitan dengan 1MDB dan membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Mahathir Mohamad cuba membalas dendam," kata Lokman Noor Adam.

Bulan lepas, Lokman mengumpul seramai kira-kira 50 orang penyokong bagi membantah penahanan Najib semasa beliau dibawa ke Ibupejabat SPRM. Beliau turut menjangka sokongan yang sama akan ditonjolkan di luar mahkamah tinggi pada hari Rabu esok.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.