Rayuan Tangguh Perbicaraan 1MBD Gagal, Kes Najib Tetap Berjalan Pada 19 Ogos
2019.08.13
Washington, District of Columbia
Bekas Perdana Menteri Najib Razak akan dibicarakan minggu depan dalam kes rasuah kedua yang mempunyai kaitan dengan skandal kewangan 1MDB, putus mahkamah Malaysia pada Selasa selepas menolak rayuan terakhir pasukan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan itu, demikian lapor media tempatan.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan di Putrajaya membuat keputusan sebulat suara bahawa Najib akan tetap dibicarakan pada 19 Ogos atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.
Dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, panel itu mengekalkan keputusan terdahulu Mahkamah Tinggi dan Rayuan bahawa perbicaraan kedua Najib akan bermula walaupun perbicaraan lain yang melibatkan tujuh pertuduhan berkaitan anak syarikat dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih berjalan.
Semasa mengumumkan perkara itu, Ketua Hakim Negara berkata keputusan hakim perbicaraan adalah betul, demikian menurut agensi berita Malaysia Bernama.
"[Kami] bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa tiada kekhilafan. Tiada sebab untuk kami campur tangan," kata Tengku Maimun.
Perbicaraan kedua itu bakal menyaksikan buat julung kalinya, bekas pemimpin tersebut berdepan pertuduhan secara langsung berkaitan kecurian beratus-ratus juta dolar daripada 1MDB, dana pelaburan negara yang ditubuhkan 10 tahun lepas oleh Najib sendiri, ketika memegang jawatan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, bagi memacu pembangunan ekonomi di negara itu.
Bekas perdana menteri itu mungkin berdepan tiga lagi perbicaraan atas 10 pertuduhan tambahan.
Semasa prosiding mahkamah pada Selasa, Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu hakim bahawa pihak pendakwaan dijangka menamatkan perbicaraan kes Najib, yang melibatkan tujuh pertuduhan dalam kes SRC, dan yakin dapat menyelesaikannya pada Jumaat.
"Meskipun pendakwaan mungkin tidak dapat menutup kes itu pada 16 Ogos, lanjutan kes itu pada minggu berikutnya akan hanya melibatkan beberapa hari sahaja,” kata peguam negara itu, menurut Bernama.
Selepas tarikh asalnya ditunda, Najib muncul di mahkamah pada 3 April untuk memulakan perbicaraan kes SRC yang berkaitan dengan pemindahan dana sebanyak 42 juta ringgit (AS$10 juta) daripada anak syarikat 1MDB. Pendakwaan mendakwa beliau menerima wang itu antara 24 Dis 2014 dan 2 Mac 2015 dan memindahkan dana tersebut ke akaun miliknya atau dikongsi dengan SRC International.
Najib sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan berhubung pemindahan dana SRC.
Sebaik sahaja pendakwaan selesai membentangkan keterangan dan buktinya kepada mahkamah, hakim akan menentukan sama ada terdapat kes prima facie terhadap Najib dan jika ada, satu tarikh akan ditetapkan untuk mendengar pembelaan defendan, lapor Bernama.
Peguam bela utamanya Muhammad Shafee Abdullah berhujah Najib tidak akan mendapat perbicaraan yang adil jika kedua-dua kes itu diteruskan pada masa yang sama, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak memerlukan masa kira-kira sebulan untuk menyediakan penghujahan mereka di akhir kes pendakwaan yang sedang berlangsung, menurut agensi berita itu.
"Kami tidak boleh memisahkan diri kami kepada dua bahagian, begitu juga dengan tertuduh," Shafee memberitahu mahkamah mengenai dilemanya ketika membela Najib dalam dua perbicaraan yang berlangsung serentak, menurut Malay Mail.
Shafee telah didakwa tahun lepas atas dua pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan penipuan cukai bagi dua transaksi berjumlah 9.5 juta ringgit (AS$2.26 juta) antara September 2013 dan Februari 2014. Peguam itu berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan denda sehingga 20 juta ringgit (AS$4.76 juta) jika disabitkan kesalahan bagi semua pertuduhan.
Pada masa itu, peguam bela tersebut menyifatkan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah bermotifkan politik dalam usaha menyingkirkan beliau daripada pasukan pembelaan Najib.
Perbicaraan 1MDB
Perbicaraan pada 19 Ogos akan berkisar mengenai empat pertuduhan melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan dana 1MDB berjumlah 2.28 bilion ringgit (AS$543 juta), menurut Bernama.
Dikemukakan pada September 2018, pertuduhan itu mendakwa wang tersebut telah dipindahkan daripada dana 1MDB ke akaun bank peribadi Najib ketika beliau menjadi perdana menteri.
1MDB telah menjadi sasaran tindakan undang-undang dan siasatan jenayah di seluruh dunia selepas berbilion-bilion dolar didakwa hilang daripada dana tersebut. Para pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah menyifatkan kes 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi terburuk pada masa ini."
Najib menjadi perdana menteri Malaysia sehingga Mei 2018 apabila gabungan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum dan mengambil alih kerajaan. Semasa berkuasa, Najib dibebaskan daripada sebarang pertuduhan salah laku membabitkan 1MDB oleh Peguam Negara Apandi Ali.
Pengganti Najib, Perdana Menteri Mahathir Mohamad, telah melantik Thomas dan membuka siasatan baharu berkaitan 1MDB, yang membawa kepada pendakwaan terhadap Najib dan yang lain, termasuk isterinya, Rosmah Mansor dan pembiaya kewangan Low Taek Jho (atau lebih dikenali sebagai Jho Low).
Jho Low, yang kini dalam buruan, telah didakwa menerima dana dan memindahkan dana berjumlah 1 bilion ringgit (AS$238 juta). Kerajaan telah merampas dan kemudian menjual kapal layar mewahnya, Equanimity pada harga AS$250 juta.