Najib gugurkan khidmat kebanyakan peguamnya ketika pendengaran rayuan terakhir kes SRC

Muzliza Mustafa
2022.08.19
Putrajaya
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Najib gugurkan khidmat kebanyakan peguamnya ketika pendengaran rayuan terakhir kes SRC Bekas perdana menteri Najib Razak melambai tangan kepada wartawan ketika berjalan menuju ke kamar kehakiman di Mahkamah Persekutuan di Bangunan Istana Kehakiman, Putrajaya, 19 Ogos 2022
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Jumaat enggan membenarkan penangguhan dalam rayuan terakhir kes SRC bekas Perdana Menteri Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal 1MDB selepas beliau memaklumkan bahawa peguam yang mewakilinya kini hanya tinggal seorang.

Sebelum pihak pendakwaan menyambung hujahan lisan ketika pendengaran kes itu pada pagi Jumaat, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik, memaklumkan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengenai keputusan anak guamnya untuk menggugurkan semua peguam lain yang mewakili beliau daripada firma Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

Zaid Ibrahim, yang merupakan bekas menteri undang-undang, mengetuai firma yang dilantik oleh Najib pada akhir Julai selepas ahli politik itu menamatkan khidmat pasukan pembelaannya sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, Zaid berkata keputusan itu dibuat kerana "Najib percaya peguamnya tidak lagi boleh menjalankan fungsi mereka sebagai wakil beliau.

"Najib percaya barisan hakim mengandaikan tindakannya menyusun semula pasukan pembelaan pada akhir bulan lepas adalah satu taktik untuk melengah-lengahkan pendengaran kes bagi mengelakkan atau melambatkan keputusan rayuan terakhir dan hukuman ke atas beliau atau kerana sebab-sebab politik," menurut kenyataan itu. "Selaku ahli politik juga, saya boleh mengesahkan bahawa andaian ini tersasar jauh daripada kebenaran."

Zaid juga mendakwa bukti baharu yang ingin dimasukkan oleh pihak pembelaan awal minggu ini "akan mempunyai kesan nuklear" terhadap pendengaran rayuan Najib.

Pada Selasa lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam kes itu bagi membolehkan ia dibicarakan semula. Pihak pembelaan mendakwa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengadili perbicaraan Najib dan mensabitkan beliau dengan kesalahan rasuah mempunyai konflik kepentingan dalam kes itu.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun mendapati tidak ada kaitan yang boleh menyebabkan berlakunya "bahaya penghakiman berat sebelah" dalam kes Najib dan memutuskan bahawa "tidak ada salah laku keadilan" telah berlaku, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel itu.

Kenyataan Zaid bagaimanapun mempertikai keputusan mahkamah itu.

"Ia adalah sesuatu yang sukar dipercayai bahawa mahkamah tertinggi di negara ini akan menafikan hak Najib untuk memasukkan bahan yang relevan dan bukti yang perlu bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat dibuat," kata Zaid sambil menambah bekas Perdana Menteri itu "kini berada pada tahap kritikal" dalam proses rayuan beliau "dengan kebebasan dirinya dipertaruhkan."

Satu lagi percubaan untuk melengahkan kes

Para pemerhati di mahkamah pada Jumaat menyedari pengecilan pasukan pembelaan Najib itu selepas melihat barisan kedua bangku menempatkan peguam bela, yang biasanya diduduki oleh Zaid dan dua peguam lain, kosong sepanjang pendengaran rayuan itu kerana hanya Hisyam kekal sebagai peguam Najib ketika ini.

Najib akan menjadi Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri pertama yang disumbat ke penjara dalam sejarah Malaysia jika beliau gagal mengetepikan sabitannya. Peguam beliau telah berusaha untuk melengahkan pendengaran rayuan itu sejak beberapa bulan lepas namun gagal.

Pada Jumaat, Hisyam sekali lagi cuba mendapatkan penangguhan ketika pihak pendakwaan mengemukakan hujahan lisan. Peguam itu memaklumkan mahkamah bahawa beliau akan memfailkan satu lagi permohonan pada 25 Ogos bagi mendapatkan lanjutan masa untuk melakukan persediaan membela Najib. Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan agar pendengaran rayuan itu diteruskan.

HISYAM_TEH_POK_TEIK_BENARNEWS_03(1).jpg

Hisham Teh Pok Teik, peguambela utama bekas Perdana Menteri Najib Razak, menaiki tangga menuju kamar mahkamah di Mahkamah Persekutuan, di Istana Kehakiman, Putrajaya, 19 Ogos, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

"[Saya sudah katakan] banyak kali bahawa tiada penangguhan untuk rayuan ini. Kita akan teruskan seperti yang dijadualkan," kata Ketua Hakim Negara.

Hisyam kemudian berkata beliau tidak mempunyai hujahan untuk dikemukakan dan Tengku Maimun menyoal sama ada perkara sama akan berlaku apabila prosiding rayuan kes itu bersambung pada Selasa depan.

"Ya, Selasa pun [saya tidak mempunyai hujahan]," kata Hisyam.

Tengku Maimum memaklumkan bahawa mahkamah memberikan masa sepanjang hujung minggu ini dan Isnin depan kepada pihak pembelaan untuk menyediakan hujahan namun Hisyam berkata ia tidak akan mengubah apa-apa.

"Itu hak kamu untuk berbuat demikian. Tetapi dalam rekod, kamu adalah peguam beliau. Kita jumpa Selasa ini," balas hakim itu.

Tidak dapat dipastikan bagaimana situasi pendengaran rayuan itu apabila ia bersambung minggu depan.

"Pihak pendakwaan telah selesai memberikan hujah mereka. Kami telah diminta untuk kembali pada Selasa. Saya memberitahu mahkamah, sepengetahuan saya, saya tidak akan membuat sebarang hujahan. Saya memberitahu Yang Arif hakim perkara ini," kata Hisyam kepada wartawan di luar mahkamah.

Ketika mengakhiri hujahan pendakwaan pada Jumaat, Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V. Sithambaram berkata mahkamah boleh mengetepikan sama sekali rayuan Najib.

"Pada ketika ini, mahkamah boleh menolak rayuan apabila tiada hujahan balas dibuat untuk menentukan kes," kata beliau yang merujuk beberapa kes berhubung perkara itu sebelum ini.

Hisyam tidak mengemukakan sebarang bantahan ketika pihak pendakwaan membuat hujahan lisan, yang berakhir pada Jumaat.

Pada Khamis, Hisyam yang dilantik sebagai peguam utama Najib pada akhir bulan lepas, telah memohon agar panel hakim terbabit membenarkan beliau menarik diri daripada kes itu kerana tidak mempunyai masa untuk membuat persediaan sewajarnya memandangkan saiz dan skop rayuan yang besar. Panel itu bagaimanapun menolak permohonan tersebut.

Awal minggu ini, Mahkamah Persekutuan turut menolak permohonan Hisyam untuk menangguhkan pendengaran selama tiga hingga empat bulan. Panel itu memutuskan bahawa Najib tahu mengenai tarikh pendengaran rayuan beliau, yang telah ditetapkan sejak April lepas namun tetap bertindak menukar pasukan pembelaannya pada akhir Julai.

Pada tahun 2020, Najib telah disabitkan dengan tujuh kesalahan jenayah termasuk salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta (AS$9.4 juta) dana milik SRC International yang dimasukkan ke akaun miliknya. Selain hukuman penjara 12 tahun, Najib didenda RM210 juta (AS$47 juta).

SRC International adalah anak syarikat 1MDB iaitu dana pelaburan negara yang ditubuhkan oleh Najib pada 2009 ketika beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas ahli politik itu.

Ahli Parlimen Pekan itu, yang berusia 69 tahun, bagaimanapun tetap menafikan semua pertuduhan terhadapnya. Beliau kini bebas dengan jaminan sebanyak RM2 juta (AS$448,500).

Subel Rai Bhandari di Bangkok, Iman Mutaqqin Yusof dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.