Mahkamah Tolak Permohonan Najib Razak Tunda Prosiding Muflis Gagal Bayar Cukai

Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang, pemberian penangguhan akan menetapkan duluan yang salah, kata Hakim.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-06-14
Share
Mahkamah Tolak Permohonan Najib Razak Tunda Prosiding Muflis Gagal Bayar Cukai Bekas perdana menteri Najib Razak semasa mahu memasuki bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 19 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk menunda tindakan muflis yang sedang diambil keatasnya kerana didakwa gagal membayar tunggakan cukai berjumlah AS$411 juta, dengan hakim menegaskan bahawa semua individu adalah dilayan sama rata di sisi undang-undang.

Sebuah prosiding berasingan pula dijangka akan berlangsung Rabu ini, di mana Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar rayuan Najib untuk mengenepikan satu keputusan oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 yang mengarahkan supaya beliau membayar amaun berkenaan kerana didakwa gagal membayar cukai dari tahun 2011 hingga 2017.

Dalam penghakiman bertulis, Hakim Ahmad Bache berkata bahawa "setiap pembayar cukai, setiap rakyat, semua adalah sama di sisi undang-undang dan sekiranya penangguhan diberikan kepada defendan, yang mana beliau adalah seorang bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, maka plaintif akan dihentikan daripada memfailkan sebarang tindakan sitaan terhadap beliau.

"Mahkamah ini mendapati bahawa defendan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk diberikan satu perintah penangguhan pelaksanaan kerana defendan telah gagal untuk membuktikan adanya 'keadaan luar biasa' yang boleh memuaskan mahkamah ini.

"Ia akan memberikan satu duluan yang tidak elok untuk diikuti dan digunakan oleh pembayar cukai lain sebagai satu asas bagi mereka untuk mengelak atau menangguhkan daripada membayar cukai, serta menimbulkan satu tanggapan bahawa amalan pilih kasih dibenar dan diamalkan, walaupun tanggapan itu adalah sesuatu yang tidak betul," kata Hakim Ahmad dalam dokumen penghakiman beliau yang dilihat BenarNews.

Menerangkan keputusan beliau, hakim tersebut menyatakan bahawa mahkamah tidak terpengaruh dengan dakwaan Najib bahawa pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memulakan tindakan terhadapnya disebabkan oleh campurtangan politik dari luar.

Mahkamah sebaliknya bersetuju dengan lembaga cukai tersebut yang menjalankan tugasnya selaku pemungut cukai untuk kerajaan.

Hakim Ahmad juga berkata bahawa kelewatan LHDN dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap bekas Perdana Menteri tersebut mendedahkan lembaga itu terhadap pandangan prejudis dari orang ramai.

"Ia adalah difahami bahawa kelewatan LHDN telah menimbulkan kegusaran di kalangan orang awam mengapakah ia masih belum melaksanakan perintah penghakiman oleh mahkamah (untuk mengutip bayaran daripada Najib). Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan tersebut. Oleh itu, isu campurtangan luar adalah tidak mapan/kukuh," kata hakim.

Hakim Ahmad juga menyentuh mengenai kekhuatiran Najib mengenai ketidakupayaan beliau untuk menjelaskan amaun yang dikehendaki lembaga cukai, serta berkemungkinan kehilangan kerusi parlimen yang disandangnya jika jatuh muflis.

Kata beliau, apa yang dihujahkan oleh peguam pembelaan adalah "tidak lebih daripada perasaan takut untuk mengalami kehilangan", dan tidak cukup untuk menjadi satu keadaan yang membolehkan Najib diberikan penangguhan hukuman.

"Asas-asas yang dijadikan sandaran oleh perayu adalah tidak lebih daripada ketakutan terhadap kehilangan.

"Apa yang pemohon perlu buat untuk mengelakkan perasaan 'takut' seumpama itu adalah dengan menyelesaikan hutang yang diputuskan oleh penghakiman," kata Hakim Ahmad.

Mahkamah juga mencadangan supaya Najib berbincang dengan LHDN mengenai cara untuk menyelesaikan hutang beliau.

Masih belum muflis

Sementara itu, Najib dalam laman Facebook beliau yang popular berkata bahawa dirinya masih belum bankrap, dan terdapat rintangan perundangan yang panjang sebelum beliau boleh diisytiharkan muflis.

Ahli politik itu juga mengulangi pandangan beliau bahawa tindakan yang diambil terhadapnya itu adalah sesuatu yang dirancang oleh kerajaan Perikatan Nasional, yang mana beliau merupakan sebahagian dari kerajaan itu.

"Lagipun sekiranya kerajaan PN berjaya pun, ianya tak bermaksud saya akan henti bersuara demi rakyat dan tiada sesiapa yang pernah kata status bankrap tidak boleh dipulihkan dalam masa terdekat sebab bankrap tak bermaksud saya lumpuh," kata Najib dalam status beliau di laman sosial media itu pada petang Isnin.

Dalam pada itu, Peguam Farhan Shafee yang mewakili Najib memberitahu BenarNews bahawa pasukan pembelaan kini sedang memberikan fokus terhadap prosiding rayuan yang akan berjalan pada Rabu ini, bagi mengenepikan arahan mahkamah pada 2020 supaya Najib membayar RM1.7 bilion (AS$411 juta dolar) tunggakan cukai.

"Kerana rayuan substantif terhadap arahan itu adalah pada 16 haribulan ini. Kita akan teruskan dengan hujahan dahulu, sebelum memutuskan samada kami mahu membuat permohonan penangguhan lagi di Mahkamah Rayuan," kata Farhan.

Sementara itu, Oh Ei Sun, felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata bahawa menjadi bankrap mungkin akan membantu Najib dari segi imej politik beliau di kalangan penyokong tegar.

"Mendakwa bahawa diri beliau adalah mangsa penganiayan politik seperti Anwar Ibrahim, akan banyak membantu dalam mendapatkan sokongan dari kalangan penyokong utamanya.

"Najib telah mengekalkan pengaruh politik beliau secara berterusan melalui kempen perhubungan awam yang sofistikated, dan tidak ada tanda-tanda yang pengisytiharan muflis akan mampu untuk menghentikan beliau, terutamanya pada masa kini di mana ramai yang terdesak untuk dipimpin ketika pandemik, walaupun oleh pemimpin yang tidak cerdik," Oh berkata kepada BenarNews.

Najib akan kehilangan kerusi parlimen Pekan yang disandangnya jika diisytiharkan bankrap, termasuk peluang untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Menurut undang-undang pilihanraya Malaysia, seorang individu tidak layak untuk bertanding dalam pilihanraya jika dirinya telah diisytihar muflis.

Selain itu, Najib juga boleh kehilangan kerusinya jika dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dengan hukuman lebih setahun penjara atau denda sebanyak RM2,000 dan ke atas.

Pada 2020, beliau telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta (AS$51 juta) bagi kes yang berkaitan dengan SRC International, anak syarikat dana negara, 1Malaysia Development Berhad. Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan sementara rayuan beliau didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan melalui LHDN telah memfailkan satu saman terhadap Najib bagi mendapatkan bayaran sebanyak RM1,692,872,924.83 bilion bagi tunggakan cukai pendapatan beliau dari tahun 2011 hingga 2017, berserta faedah sebanyak 5 peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman, dan juga bayaran kos dan bayaran lain yang ditentukan oleh mahkamah.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan Najib supaya membayar amaun tersebut kepada lembaga cukai, selepas ia membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman ringkasan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Penghakiman ringkasan adalah satu prosedur di mana mahkamah membuat keputusan terhadap sesuatu kes dengan secara ringkas, tanpa memanggil saksi untuk memberikan keterangan di dalam perbicaraan seperti mana kebiasaan dalam kes cukai pendapatan di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh