Follow us

Mahkamah Malaysia Tolak Tiga Rayuan Najib Dalam Kes SRC

Hadi Azmi & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-21
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, berjalan keluar daripada mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, 12 Februari 2019.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, berjalan keluar daripada mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, 12 Februari 2019.
[AP]

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Khamis menolak tiga daripada empat permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak berkaitan perbicaraan kes SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad(1MDB) dengan turut membenarkan penangguhan perbicaraan kes sementara menunggu rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Zabariah Mohd Yusof menolak permohonan Najib berkaitan perintah tegah siar bagi menghalang media dan orang awam membincangkan kes melibatkan bekas perdana menteri itu, mendapatkan dokumen tambahan berkaitan saksi dan juga tentang pemindahan kes tersebut dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Walaubagaimanapun berkaitan dengan permohonan Najib untuk mencabar perlantikan peguam Sulaiman Abdullah untuk mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan, mahkamah membuat keputusan supaya surat perlantikan Sulaiman diberikan kepada peguambela dalam masa tiga hari.

“Kami menolak permohonan tersebut dan tiada sebarang perubahan dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.  Tiada kesalahan yang dibuat dalam keputusan hakim berkenaan dengan perkara yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan,” kata Zabariah selepas panel tersebut selesai membacakan keputusannya.

Berkenaan dengan keputusan Sulaiman pula, Zabariah berkata: “Mahkamah Rayuan telah mengenepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi dan memerintahkan supaya surat perlantikan Sulaiman Abdullah diserahkan.”

Turut berada dalam panel tiga hakim itu ialah Hakim Lau Bee Lan dan Rhodzariah Bujang.

Najib hadir di mahkamah dengan jaket yang dijahit khas duduk di kerusi hadapan kandang suspek dan bukan di dalam kandang itu.

Hakim turut membenarkan permohonan peguam bela untuk penangguhan perbicaraan sehingga permohonan Najib di Mahkamah Persekutuan didengari.

Hakim Zabariah berkata dalam situasi khas, yang berkaitan kes SRC International, mahkamah boleh memberikan perintah penangguhan sehingga permohonan Najib didengari.

“Apa yang lebih penting lagi adakah ada situasi yang istimewa? Dalam kes ini, kami mendapati terdapat prospek bahawa perbicaraan boleh diumumkan sebagai tidak sah,” kata Hakim Zabariah.

Situasi khas yang dimaksudkan oleh panel hakim itu dalam keputusan mereka terhadap  penangguhan perbicaraan ialah jika perbicaraan SRC International dibenarkan untuk berlangsung minggu hadapan dengan tempoh lima hari yang sudah diperuntukkan sebelum ini, sama ada mempunyai potensi bagi Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berpihak kepada Najib yang boleh membawa kepada perbicaraan yang sedang berlangsung itu sebagai terbatal.

Peguam Negara Tommy Thomas yang menentang keputusan itu berkata perbicaraan semula adalah sesuatu yang biasa berlaku dan pihak pendakwaan sanggup mengambil risiko itu dan mahukan perbicaraan itu dimulakan.

“Kita boleh mula perbicaraan selama seminggu dan minggu selepas itu Mahkamah Persekutuan akan berjumpa dan kita boleh dapatkan keputusannya. Jika Mahkamah Persekutuan berkata ada sesuatu yang tidak kena, maka, kita boleh buat perbicaraan semula,” kata Thomas.

Perbicaraan SRC International melibatkan tujuh dari 42 pertuduhan yang dihadapi Najib dan sepatutnya bermula pada 12 Feb sehingga 29 Mac, sebelum semua tarikh dikosongkan bagi membolehkan pihak pembelaan membuat permohonan ke Mahkamah Rayuan.

Hakim Zabariah turut menolak perbahasan Thomas tentang kemungkinan permohonan Najib itu adalah taktik untuk menangguhkan perbicaraan.

Hakim Zabariah berkata panel hakim juga akan mengarahkan registrar mahkamah untuk mempercepatkan proses permohonan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin bagi  membolehkan permohonan itu didengari dalam masa yang terdekat.

“Kami akan memerintahkan registrar untuk merekodkan permohonan secepat mungkin. Kami berharap hujung minggu depan, kita boleh memberikan keputusan,” kata Hakim Zabariah.

Batal saman UMNO


Sementara itu pada hari yang sama Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman UMNO untuk mendapatkan semula RM116.7 juta yang dirampas oleh polis dalam beberapa serbuan di beberapa premis berkaitan bekas presiden parti itu Najib Razak tahun lepas.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan berkenaan dalam kamar di hadapan peguam Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] dan peguam yang mewakili kerajaan.

Hakim berkenaan turut mengarahkan parti itu membayar kos mahkamah sebanyak 7 ribu ringgit.

UMNO diwakili peguam Hariharan Tara Singh manakala peguam kanan persekutuan S.Narkunavathy mewakili Polis DiRaja Malaysia dan Kerajaan.

Hariharan berkata beliau akan memfailkan rayuan bagi pihak UMNO terhadap keputusan yang dibuat itu dalam tempoh terdekat.

Pada Mei tahun lepas, pihak berkuasa mengeledah sekurang-kurangnya lima premis yang mempunyai kaitan dengan Najib susulan sebahagian daripada penyiasatan yang dilakukan terhadap kes 1Malaysia Development Berhad [1MDB].

Polis merampas berjuta-juta wang tunai termasuk matawang asing dalam serbuan itu termasuklah serbuan yang dilakukan di rumah Najib di Jalan Langgak Duta dan juga kondominum mewah di ibu negara.

Pada 20 September tahun lepas, UMNO menamakan bekas pengarah Jabatan Jenayah Komersil Amar Singh Ishar Singh, timbalan pengarah (operasi dan risikan) Jabatan Jenayah Komersil Mohd Sakri Arifin,
Timbalan Komisioner Jabatan Siasatan Jenayah Komersil R. Rajagopal, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

UMNO mendakwa rampasan itu adalah tidak sah dan melanggari hak parti itu di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Lihat Laman Penuh