Najib kembali ke mahkamah untuk satu lagi perbicaraan rasuah

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor memberitahu media yang suaminya sihat dan berterima kasih kepada penyokong.
Noah Lee & Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
2022.08.25
Kuala Lumpur
Najib kembali ke mahkamah untuk satu lagi perbicaraan rasuah Bekas perdana menteri Najib Razak sempat melambaikan tangan kepada penyokong semasa kenderaan penjara yang membawanya bergerak keluar daripada perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Penjara Kajang, 25 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak kembali ke mahkamah pada Khamis untuk menghadapi satu lagi perbicaraan kes rasuah berkaitan syarikat dana pelaburan negara 1MDB, dua hari selepas beliau dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman 12 tahun apabila disabitkan dengan tujuh pertuduhan rasuah membabitkan wang milik SRC International, anak syarikat 1MDB.

Pada hari yang sama, Mahathir Mohamad yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dan pernah mengetuai gabungan parti politik yang menumbangkan kerajaan pimpinan Najib semasa pilihanraya 2018 berkata beliau percaya Najib yang mempunyai hubungan baik dengan keluarga diraja berkemungkinan akan mendapat pengampunan daripada istana dan dibebaskan.

Najib tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Khamis dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam milik Jabatan Penjara Malaysia bagi menghadapi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang masuk hari ke-26.

“Datuk Seri (Najib) sihat. Terima kasih banyak-banyak kerana datang beri sokongan,” kata Rosmah Mansor isteri bekas perdana menteri itu semasa ditanya media mengenai keadaan terkini suaminya apabila beliau mahu meninggalkan bangunan Mahkamah Tinggi pada Khamis.

Sehari sebelum itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa melalui satu muatnaik di akaun Instagram menyatakan bahawa keluarganya akan menantikan kehadiran Najib di mahkamah untuk meninjau keadaan beliau selepas dipenjarakan.

"Esok kami sekeluarga dapat bertemu - Daddy akan ke mahkamah untuk perbicaraan kes 1MDB. Yana rasa ini kali pertama kami menanti kehadiran Daddy di mahkamah kerana saya dan keluarga dapat meninjau keadaan Daddy, walaupun dari jauh," kata Nooryana Najwa, anak bekas perdana menteri itu melalui muatnaik di laman media sosial InstaStory.

Nooryana dilihat tiba di mahkamah sekitar jam 9.25 pagi manakala Rosmah pada kira-kira 12.20 tengah hari.

Najib menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu yang memakai kot biru gelap dan tidak digari kemudiannya dibawa oleh pegawai penjara dari fasiliti lokap mahkamah untuk naik ke Mahkamah Tinggi yang terletak di tingkat empat kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, dan ditempatkan di bilik saksi sebelum dibawa masuk ke mahkamah.

Nooryana dalam muatnaik itu juga memaklumkan yang wakil guaman bapanya telah bertemu dengan bekas perdana menteri di Penjara Kajang pada Rabu, iaitu sehari selepas bekas Perdana Menteri itu mula menjalani hukuman penjara, dan berada dalam keadaan sihat dan masih mempunyai "semangat perjuangan" yang kuat.

"...Daddy sedang membiasakan diri dengan rutin baru - berbeza dengan jadual harian Bossku yang sentiasa padat," tambah Nooryana, merujuk kepada nama gelaran Najib yang popular di kalangan penyokongnya.

Dalam pada itu, Peguambela Najib, Muhamad Shafee Abdullah dengan tegas membidas pihak media semasa ditanya mengenai keadaan anak guamnya berada di dalam penjara.

“Saya tidak boleh kata apa-apa dan tidak mahu kata apa-apa kepada anda (media). Anda putar belit dan ubah kata-kata kami, okey, termasuk di mahkamah,” katanya kepada sekumpulan media sambil berjalan memasuki kompleks mahkamah bagi menyambung semula perbicaraan.

Agensi berita nasional Malaysia – Bernama – melaporkan yang mahkamah pada Khamis telah mendengar pengakuan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Siti Zauyah Mohd Desa yang pernyataan saksinya bagi perbicaraan kes Najib melibatkan 1MDB telah didraf oleh dua pegawainya tanpa kehadiran beliau.

NAJIB_1MDB_TRIAL_BENARNEWS_005.jpg

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi bagi memberi sokongan kepada suaminya, di Kuala Lumpur, 25 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Akan diampun

Sementara itu, Mahathir dalam satu catatan di laman media sosial Facebooknya berkata “keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai dan bagi Najib besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara”.

Sambil memetik pepatah Inggeris “justice delayed is justice denied” [keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai], bekas perdana menteri berusia 97 tahun berkata, kerana kes SRC Najib yang mengambil masa selama empat tahun, banyak lagi kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan ramai tokoh politik masih tertangguh dan tidak dihadapkan ke mahkamah denga ada penjenayah yang telah meninggal dunia.

“Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai… sekarang banyak laporan dibuat berkenaan kes-kes rasuah yang serius yang belum dibicara. Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.,” tambah bekas perdana menteri itu lagi.

Mahathir juga memberitahu agensi berita antarabangsa Kyodo News dalam satu temuramah pada Rabu yang beliau percaya parti UMNO yang pernah dipimpin Najib akan memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong supaya Najib boleh dibebaskan daripada penjara, sekiranya parti itu memenangi pilihan raya umum yang akan datang.

Pengampunan diraja juga bermakna segala kesalahan seseorang yang disabitkan di mahkamah terhapus, sekaligus membolehkan ahli politik itu untuk kembali aktif dan bertanding dalam pilihanraya seterusnya.

Kira-kira 300 penyokong Najib berkumpul di luar Istana Negara pada Rabu untuk menyerahkan petisyen kepada pegawai istana memohon supaya Yang Di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada anak sulung Perdana Menteri kedua Malaysia Abdul Razak Hussein itu.

"Saya ingin memohon pengampunan penuh diberikan segera kepada orang yang telah berkhidmat dengan penuh hormat ini," kata Syed Mohammad Imran yang menganjurkan perhimpunan itu kepada media.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International menjadikan beliau bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjalani hukuman penjara.

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 semasa menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB dan dialihkan melalui pemerolehan hartanah, karya seni dan harta mewah oleh Najib dan rakan sekutunya termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, demikian dakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang turut menyifatkan kes itu sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama.”

Skandal 1MDB juga telah menyebabkan UMNO tersingkir daripada kuasa pada Pilihan Raya Umum 2018, yang pertama bagi sebuah parti lama yang tidak pernah kalah dalam sejarah Malaysia selama 60 tahun.

Ketua pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim dalam satu temuramah dengan CNBC pula berkata beliau percaya Najib akan menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan keadaan di dalam penjara kerana telah biasa dengan kehidupan yang mewah.

"Berdasarkan apa yang saya difahamkan oleh pegawai penjara yang pernah menjaga saya dahulu, Najib diberikan layanan lebih baik berbanding semasa saya dipenjarakan dahulu dari segi beberapa kemudahan.

"Akan tetapi, penjara tetap penjara, ia bukannya satu taman bunga. Ia masih satu tempat yang sukar, apatah lagi jika dibandingkan dengan gaya hidup beliau (Najib) yang sebelum ini menginap di hotel 7 bintang," kata Anwar, yang pernah dua kali dipenjarakan atas kesalahan rasuah dan liwat pada 1999 dan 2015.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.