Mahkamah Rayuan Malaysia Kekal Hukuman Penjara 12 Tahun Terhadap Najib Razak

Bekas perdana menteri itu kini hanya mempunyai satu sahaja lagi peluang untuk membebaskan diri dari sabitan bersalah di atas kes rasuah berkait dengan 1MDB.
Hadi Azmi, Noah Lee & Muzliza Mustafa
2021.12.08
Kuala Lumpur
Mahkamah Rayuan Malaysia Kekal Hukuman Penjara 12 Tahun Terhadap Najib Razak Seorang wanita sedang menonton televisyen semasa bekas Perdana Menteri Najib Razak berucap pada sidang media selepas keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan kesalahan terhadapnya di Kuala Lumpur, 8 Dis, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 2.15 petang waktu tempatan ETS - 2021-12-08

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Rabu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International. Mahkamah turut menyifatkan perlakuan Najib sebagai sesuatu yang "memalukan negara".

Keputusan berkaitan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad tersebut dibuat selepas panel tiga hakim mahkamah kedua tertinggi Malaysia itu mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Najib pula berkata beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berkaitan keputusan tersebut bagi membebaskan dirinya dari sabitan yang kini turut membantut usahanya yang ingin kembali aktif dalam politik.

"Kami dengan ini menolak rayuan yang dibuat oleh perayu terhadap kesemua tujuh sabitan bersalah, dan dengan ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap perayu dalam semua tujuh pertuduhan," kata Hakim Abdul Karim Abdul Jalil ketika membacakan ringkasan penghakiman dalam sesi yang dibuat secara hibrid pada pagi Rabu.

Pendengaran keputusan itu dibuat secara fizikal di Istana Kehakiman Malaysia yang terletak di Putrajaya. Najib dan beberapa orang peguambelanya bagaimanapun menyertai sesi itu melalui sidang maya menggunakan aplikasi Zoom kerana berada dalam kuarantin selepas dipercayai mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.

Pada Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri itu serta mengenakan denda sebanyak RM210 juta (AS$49.3 juta) selepas mendapati beliau bersalah terhadap satu pertuduhan menyalahguna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima secara haram RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International.

Susulan daripada keputusan itu, Najib telah membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan. Panel tiga hakim iaitu Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera telah bersidang selama 18 hari bagi mendengar rayuan ahli politik tersebut.

'Memalukan negara'

Panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Abdul Karim telah bersetuju dengan penghakiman yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa terdapat bukti yang sangat besar (overwhelming) yang menunjukkan Najib mempunyai konflik kepentingan dalam kes membabitkan SRC International.

"Perayu (Najib) telah terlibat secara aktif dalam memastikan bahawa wang KWAP (Kumpulan Wang Amanah Persaraan) dipinjamkan kepada SRC. Namun, selepas wang itu telah dilepaskan, perayu tidak lagi mengambil kisah ke mana wang itu dibelanjakan, tidak bertanya kepada SRC apa yang terjadi kepada wang tersebut, atau bagaimana ia dibelanjakan dan untuk apa.

"Beliau turut mengarahkan Timbalan Menteri Kewangan Dua pada waktu itu untuk tidak masuk campur dalam hal SRC. Perlakuan beliau ini hanya menunjukkan satu indikasi, iaitu selepas wang berkenaan diperolehi oleh SRC, yang mana beliau mempunyai kuasa penuh ke atas syarikat itu, beliau boleh membelanjakannya dengan sesuka hati untuk kepentingan diri sendiri.

"Ini telah ditunjukkan melalui aliran wang sebanyak RM42 juta ke dalam akaun peribadi milik perayu. Ini bukan sesuatu yang boleh dikatakan sebagai perkara yang dibuat untuk kepentingan negara, tetapi ia sebaliknya adalah memalukan negara," kata hakim.

Mengenai hujah pembelaan bahawa Najib menganggap bahawa wang yang masuk ke akaun miliknya adalah sumbangan derma dari Arab Saudi, Hakim Abdul Karim berkata aliran wang secara jelas telah menunjukkan bahawa wang diterima dalam akaun milik Najib datang dari syarikat SRC.

Sekiranya wang itu adalah dari sumbangan Arab Saudi, tambah hakim, tidak ada sebab untuk dana itu dimasukkan ke akaun SRC terlebih dahulu.

Selain itu, beberapa keping surat yang ditunjukkan pihak pembelaan yang mendakwa bahawa ia membuktikan terdapat derma dari keluarga diraja Arab Saudi juga kekal sebagai khabar angin (hearsay).

Mahkamah Rayuan turut berpendapat bahawa hukuman yang dijatuhkan sebelum ini terhadap Najib adalah bersesuaian dan dikekalkan.

"Mengikut keadaan berdasarkan semua fakta kes, kami tidak melihat hukuman yang dijatuhkan sebagai melampau. Tempoh penjara dan denda yang dikenakan adalah mencukupi dan bersesuaian dengan kesalahan yang telah dilakukan."

Susulan daripada keputusan itu Hakim Abdul Karim mengumumkan bahawa mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas Najib selepas dipohon pihak peguambela.

Najib kecewa

Najib dalam sidang media yang diadakan selepas pendengaran meluahkan rasa kecewa dan berkata arahan sudah diberikan bagi memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Bekas perdana menteri itu turut mengulangi sumpahnya sebelum ini bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan berkenaan wang RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya daripada SRC.

"Saya hendak menyatakan bahawa saya amat kecewa dengan keputusan yang telahpun dibuat oleh Mahkamah Rayuan pagi tadi. Berikutan dengan keputusan itu saya telah minta peguam saya untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan segera. Soal pokok dalam kes SRC ini berkisar kepada jumlah RM42 juta yang telah dipindahkan ke akaun peribadi saya.

"Sebagai seorang yang beragama Islam saya hendak menyatakan atas nama Allah -- Wallahi, Wabillahi, Watallahi -- bahawa saya tidak tahu, saya tidak minta atau mengarahkan sesiapa untuk memindahkan RM42 juta ke akaun peribadi saya.”

Najib juga mencabar dakwaan hakim bahawa kes itu adalah "memalukan negara," walaupun sudah menjadi trend di media sosial.

Dalam pada itu, Ketua Pendakwa Raya berkata pasukannya akan menunggu proses rayuan dan akan bertindak seperti yang sepatutnya.

"Mahkamah pada dasarnya mendapati keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi tidak salah, mengikut undang-undang dan fakta," kata Ketua Pendakwa Raya V. Sithambaram kepada media di Putrajaya, sambil menambah beliau menjangka yang Mahkamah Persekutuan akan bertindak balas dengan cepat.

Perbicaraan 15 hari berhubung rayuan Najib terhadap sabitan itu berakhir pada Mei lepas.

Sithambaram berkata, "pasukan peguambela memberi hujah lawan yang sangat kuat dalam hampir semua isu, dan mereka turut membuat banyak bantahan... itu hak mereka"

RAYUAN_NAJIB_RAZAK_BENARNEWS_03.jpg

Beberapa penyokong kuat bekas Perdana Menteri Najib Razak memakai lilit kepala berwarna merah bertulis "BebasBossku" di luar perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya, 8 Disember 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]

Rayuan terakhir

Najib kini mempunyai satu lagi peluang untuk cuba membatalkan sabitan bersalah terhadapnya, iaitu dengan membawa rayuannya ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia.

Peguam jenayah Muhammad Rafique Rashid Ali berkata Najib masih Ahli Parlimen yang sah sementara menunggu kes rayuannya selesai.

"Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tarikh mula kuat kuasa kehilangan kelayakan bagi Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan adalah sehingga Mahkamah tertinggi membuat keputusan akhir (di dalam kes in semestinyalah Mahkamah Persekutuan).

"Justeru, beliau masih boleh menghadiri sesi Dewan Rakyat, berbahas dan mengundi apa jua usul dan lain-lain," kata peguam itu.

Bagaimanapun, ahli politik dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) itu berkemungkinan terlepas peluang untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang, sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat.

Seorang lagi peguam, M Hafiz Zainol Abidin memberitahu BenarNews bahawa status Najib sebagai seorang yang telah didapati bersalah dan dihukum penjara turut menghalangnya daripada bertanding.

"Melainkan jika rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan selesai sebelum pilihan raya diadakan dan beliau didapati tidak bersalah," kata Hafiz.

Menjawab soalan berkaitan usahanya untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, Najib berkata perkara itu akan diperhalusi apabila sampai masanya nanti.

"Ada perkara yang melibatkan politik dan hal peribadi yang perlu dipertimbangkan," katanya.

Penganalisis politik dan ahli akademik Universiti of Nottingham Malaysia Bridget Welsh berkata, walaupun mahkamah telah menolak rayuan Najib, ia adalah menyedihkan kerana kes itu masih belum tamat.

“Kes masih berjalan dengan rayuan lanjut dan sistem kehakiman negara akan terus diuji. Persepsi bahawa Najib akan kembali aktif adalah berlebihan. UMNO perlukan kepimpinan yang baharu,” kata Welsh dalam siri ciapan di laman Twitter rasmi beliau.

Pendakwa raya dari Malaysia dan Singapura mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah dicuri dari 1MDB antara 2009 dan 2014 dalam skandal kewangan yang turut membabitkan institusi kewangan tempatan, antarabangsa dan pegawai tertinggi kerajaan termasuk Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.