Hasrat Najib jalani tahanan rumah tidak kesampaian, mahkamah tolak permohonan
2024.07.03
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 1.30 petang waktu tempatan ETS - 2024-07-03
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu menolak permohonan bekas perdana menteri yang dipenjarakan untuk memaksa kerajaan mengemukakan "titah tambahan diraja" yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah perintah tahanan rumah.
Najib Razak, 71, dikekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta [AS$44.5 juta] oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada Ogos 2022 sebelum Lembaga Pengampunan Diraja pada hujung Januari lalu memendekkan separuh hukuman penjara kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta [AS$10.6 juta].
Hakim Amarjeet Singh dalam keputusannya berkata permohonan untuk mengesahkan kewujudan titah tambahan atau "dekri kedua" terlalu bergantung pada khabar angin.
"Saya dapati afidavit-afidavit pemohon pada peringkat tertinggi, betul-betul khabar angin," kata beliau semasa membacakan keputusannya.
Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 1 April, Najib mendakwa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah telah mengeluarkan titah tambahan itu dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu, sehari sebelum penggal pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berakhir.
Najib mendakwa bahawa dekri tambahan itu tidak diumumkan oleh lembaga berkenaan dalam kenyataannya pada 2 Februari dan bahawa kerajaan telah menghina kerana tidak melaksanakan perintah tersebut.
Amarjeet berkata kes pemohon hanya bergantung kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, beliau melihat imej titah tambahan dalam telefon Tengku Zafrul Aziz, yang kononnya mengandungi tandatangan Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Zafrul merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia.
"Ahmad Zahid sendiri tidak mempunyai pengetahuan mengenai titah tambahan itu kecuali apa yang beliau dengar daripada Tengku Zafrul," kata Amarjeet sambil menambah Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan kewujudan perintah itu juga berdasarkan khabar angin.
Tambah Amarjeet, Najib telah bergantung kepada Tengku Zafrul sebagai sumber namun beliau tidak mengesahkan sebarang afidavit.
Pada Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak tawaran Tengku Zafrul untuk memfailkan afidavit bagi "membetulkan kesilapan tertentu" berkaitan perintah tambahan itu dengan memutuskan bahawa tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan pihak tidak terbabit dalam prosiding semakan kehakiman memfailkan afidavit.
Kerajaan main sorok-sorok
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah yang kecewa dengan keputusan itu mendakwa bahawa kerajaan bermain sorok-sorok dengan maklumat berkaitan titah tambahan itu.
"Saya mahu membawa perkara itu ke mahkamah dan terus berjuang. Kerajaan bermain sorok-sorok tetapi suatu hari nanti ia akan keluar dengan cara yang jelek," katanya.
Tambah beliau, apa yang membimbangkan pihaknya ialah tiada individu daripada pihak kerajaan yang menyatakan sesuatu mengenai titah tambahan itu.
“Jika ia tidak wujud, katakan sahaja ia tidak wujud, jangan buang masa.
"Peguam Negara boleh berkata begitu dan itulah penghujungnya. Kami tahu ia wujud; jika tidak," kata Muhammad Shafee merujuk kepada dekri tambahan itu.
Muhammad Shafee memberi amaran bahawa kebenaran akhirnya akan terungkap.
“Hari ini, kerajaan boleh kekal bisu dan pekak, mereka boleh buat sekarang, tetapi saya boleh beri jaminan satu hari nanti perkara itu akan keluar kerana ada tambahan.
“…dan saya boleh jangka berapa ramai penjawat kerajaan dan ahli politik akan menghadapi masalah kerana ia bermakna mereka berbohong kepada mahkamah dan orang ramai mengenai perkara membabitkan kepentingan awam,” kata Muhammad Shafee.
Muhammad Shafee berkata pasukannya akan membuat merayu terhadap keputusan mahkamah itu namun turut mempertimbangkan untuk memfailkan tindakan writ.
Jelasnya berdasarkan kaedah itu, pihak responden tidak boleh mengelak daripada menjawab.
“Tindakan writ melibatkan pernyataan tuntutan dan kemudian mereka perlu membuat pembelaan dan memberikan jawapan.
“Jadi apabila kita ambil tindakan di bawah writ, ketujuh-tujuh pihak dalam semakan kehakiman perlu menjawab dan kali ini mereka tidak boleh mengelak,” tegasnya.
Seramai tujuh responden dinamakan dalam saman Najib iaitu menteri dalam negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan kerajaan Malaysia.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.