Prosiding Najib Razak semak titah ‘tahanan rumah’ perlu dijalankan secara terbuka

Aktivis, pemerhati media bimbang kepercayaan kepada sistem kehakiman Malaysia terhakis apabila kes berprofil tinggi bekas Perdana Menteri didengar secara tertutup.
Iman Muttaqin Yusof
2024.04.18
Kuala Lumpur
Prosiding Najib Razak semak titah ‘tahanan rumah’ perlu dijalankan secara terbuka Bekas Perdana Menteri Najib Razak diiringi oleh pegawai penjara selepas sesi rehat ketika perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 4 April 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Penggerak kempen kerajaan bersih dan pemerhati media pada Khamis membangkitkan kebimbangan mengenai perintah mahkamah melarang wartawan daripada membuat liputan prosiding permohonan bekas Perdana Menteri yang dipenjara dan penjenayah Najib Razak untuk menghabiskan baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Keputusan Mahkamah Tinggi untuk menjalankan prosiding di dalam kamar dengan alasan terdapat "perkara sensitif" boleh menghakis kepercayaan terhadap sistem kehakiman negara, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), dua bulan selepas Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengurangkan separuh daripada hukuman penjara ke atas Najib.

"Memandangkan penglibatan individu berprofil tinggi dalam kes ini serta implikasinya terhadap kepentingan awam dan dana awam seperti yang diperintah oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini, adalah mustahak prosiding dijalankan secara terbuka dan telus kepada orang ramai," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

“Prosiding kes berprofil tinggi seperti itu perlu telus dan terbuka kerana orang ramai berhak mengetahui status sebenar kes itu.

"Jika tidak, ia mungkin menimbulkan persepsi berat sebelah yang boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap kerajaan dan institusi kehakiman negara,” tambahnya.

Pada awal April, bekas Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk mencabar kewujudan perintah tambahan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membenarkan beliau menjalani baki enam tahun hukuman penjara yang dikurangkan di bawah tahanan rumah.

Titah adendum itu didakwa dikeluarkan bersama keputusan diumumkan Lembaga Pengampunan pada Februari lalu yang mengurangkan separuh hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib manakala denda RM210 juta (AS$43.81 juta) diturunkan kepada RM50 juta (AS$10.5 juta).

Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai.

Dalam permohonannya, Najib, 70, menamakan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, Kerajaan Persekutuan dan beberapa responden lain untuk mengesahkan dakwaan titah tambahan itu merupakan sebahagian daripada pengampunan diraja.  

Prosiding secara tertutup

Bagaimanapun, sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar prosiding itu pada Rabu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memohon kepada Hakim Amarjeet Singh supaya kes itu dijalankan secara tertutup kerana melibatkan perkara sensitif.

“Terdapat perintah hakim sebelum prosiding dimulakan bahawa tiada format video secara langsung supaya wartawan atau sesiapa sahaja tidak boleh mengambil bahagian. Ia bukan hanya terhadap wartawan malah terhadap semua orang.

"Anda tidak boleh mengikuti prosiding kerana ia dilakukan dalam kamar [prosiding peribadi]," kata Shafee kepada pemberita ketika ditemui di luar bilik mahkamah pada Rabu.

Meskipun peguam Najib dan peguam kanan Persekutuan tidak membantah terhadap perintah itu, orang ramai mempersoalkan konsep ‘keadilan terbuka’ kerana prosiding itu akan dijalankan secara tertutup.

Bekas Presiden Majlis Peguam Salim Bashir menegaskan bahawa prinsip hak asasi utama, termasuk akses mahkamah terbuka, dilindungi oleh akta mahkamah walaupun dengan batasan.

“Oleh itu, konsep keadilan terbuka mungkin tidak terpakai dalam kes-kes keselamatan dan ketenteraman awam serta kes di mana mahkamah memutuskan bahawa perkara itu akan dikendalikan secara persendirian atau dalam kamar hakim kerana sensitiviti dan sifat tertentu sesuatu pendengaran atau permohonan,” katanya kepada BenarNews.

Kepentingan awam

Penjelasan sedemikian tidak mengubah pendirian Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, Wathshlah Naidu yang menyatakan hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat secara terbuka, telus dan tepat pada masanya mesti dilindungi dan dipertahankan sepanjang waktu.

“Permohonan Najib untuk mendapatkan perintah tahanan rumah bagi menjalani baki hukuman penjaranya melibatkan kepentingan awam dan prinsip asas demokrasi yang memerlukan ketelusan proses kehakiman dan tidak diselubungi kerahsiaan,” katanya kepada BenarNews.

“Menyekat media daripada melaporkan kes ini secara adil menghalang orang ramai daripada memantau kes rasuah yang menggegarkan negara dan untuk meletakkan tanggungjawab semua pihak yang terbabit kepada kedaulatan undang-undang dan menegakkan keadilan.

"Kepentingan aktor politik tidak boleh menggantikan kepentingan awam," tegasnya.

Walaupun Shafee tidak menjelaskan sifat "perkara sensitif" yang tidak boleh dibincangkan secara terbuka, perkara itu kemudian didedahkan bahawa ia melibatkan "saksi kritikal" dikenal pasti dalam pemfailan mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan kewujudan titah tambahan tersebut.

Di sebalik penegasan Shafee sebelum ini bahawa semua dokumen berkaitan prosiding dirahsiakan oleh mahkamah, BenarNews mendapati, dokumen-dokumen berkenaan masih boleh diakses di laman web mahkamah.

Pegawai mahkamah memberitahu BenarNews bahawa tidak ada isu arahan untuk menutup afidavit itu dan menghalang media daripada melaporkannya.

Dalam afidavit tambahan bertarikh 9 April lalu yang dilihat oleh BenarNews, Zahid mendakwa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menunjukkan kepadanya salinan titah tambahan membenarkan penahanan rumah terhadap Najib.

Pada petang Rabu, Tengku Zafrul kemudiannya mengeluarkan kenyataan mahu membuat permohonan untuk memfailkan afidavitnya bagi membetulkan beberapa "kesilapan fakta" dalam ikrar Presiden UMNO itu selepas pihak media melaporkan kandungan dokumen mahkamah tersebut.

Benjamin Loh, pensyarah kanan pengajian media Taylor's University menyifatkan perkara tersebut merupakan tindakan Najib dan peguamnya untuk mengawal naratif berhubung isu titah tambahan itu. 

"Memandangkan sebenarnya tiada penyembunyian, ia adalah perkara yang dipersoalkan dan nampaknya ia merupakan satu cara untuk menjaga akses media kepada maklumat yang masih boleh diperoleh kemudiannya untuk bayaran," katanya kepada BeritaBenar.

Najib, bekas presiden UMNO yang menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama dihukum penjara, kini berdepan beberapa kes berkaitan skandal pelaburan terbesar negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Mac 2023, Najib gagal dalam rayuan terakhirnya untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun berserta denda, kerana menyalahgunakan RM42 juta(AS$ 8.8 juta) daripada SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini terlibat dalam perbicaraan berasingan yang dikaitkan dengan 1MDB, termasuk membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion (AS$ 487 juta) daripada dana pelaburan negara yang dikatakan telah disalurkan ke akaun peribadinya semasa menjadi perdana menteri.

UMNO yang kini diterajui oleh Zahid telah bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas tiada parti memperoleh majoriti dalam pilihan raya umum November 2022.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.