Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Minit Akhir Bekas PM, Keputusan Tetap Umum Rabu

Panel hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil berkata bukti baharu adalah tidak diperlukan dalam kes rayuan ini.
Hadi Azmi
2021.12.07
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Minit Akhir Bekas PM, Keputusan Tetap Umum Rabu Istana Kehakiman di Putrajaya di mana Mahkamah Rayuan terletak, Putrajaya, 7 Disember, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Selasa telah menolak permohonan minit terakhir yang dibuat bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes jenayah yang berkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah itu dijadualkan untuk mengumumkan keputusan kes rayuan Najib pada Rabu, di mana ia adalah peluang kedua terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengenepikan sabitan bersalah serta hukuman penjara 12 tahun yang telah dijatuhkan ke atasnya berkait bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Pasukan peguambela yang mewakili Najib pada pagi Selasa juga cuba untuk mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menangguhkan pendengaran permohonan bagi memasukkan bukti baharu itu.

Mereka memberikan alasan bahawa Najib tidak dapat menghadiri pendengaran kerana disyaki mempunyai kontak rapat dengan seorang peguamnya yang dijangkiti pandemik COVID-19, namun tindakan itu membangkitkan kemarahan panel tiga hakim yang mengeluarkan kenyataan keras menyifatkan bekas perdana menteri tersebut melayan mahkamah "seperti sebuah kedai kopi".

Panel hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil kemudiannya mengeluarkan amaran terhadap Najib dan pasukan peguamnya supaya mereka menghadiri sesi pendengaran itu pada hari sama melalui aplikasi atas talian Zoom, atau satu waran tangkap akan dikeluarkan terhadap beliau.

"Panel hakim dengan sebulat suara mendapati bahawa bukti baharu yang ingin dimasukkan adalah tidak perlu bagi rayuan ini. Tiada keadaan luar biasa yang ditunjukkan kepada mahkamah untuk keterangan lanjut dimasukkan ke dalam rayuan," kata Hakim Abdul Karim ketika membacakan keputusan mahkamah.

Dua orang lagi hakim yang mendengar rayuan itu adalah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Sesi pendengaran pada Selasa itu, yang dibuat kurang 24 jam sebelum mahkamah dijangka mengeluarkan keputusan terhadap rayuan Najib, diadakan selepas bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan serta afidavit sokongan yang mendakwa bahawa bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz serta keluarganya telah mendapat faedah daripada dana 1MDB melalui ahli perniagaan Low Taek Jho yang dipercayai adalah dalang di sebalik skandal 1MDB.

Najib yang jatuh dari tampuk kuasa selepas parti pimpinannya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan gabungan parti dalam Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum pada 2018, disebabkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Beliau mendakwa Zeti mempunyai peranan dalam konspirasi yang dikatakan dibuat untuk meletakkan kesalahan dibahunya dalam kes yang digelar "kleptokrasi paling teruk" oleh bekas peguam negara Amerika Syarikat (AS) Jeff Sessions pada 2017.

Tuduhan terhadap Zeti itu telah difailkan pasukan guaman Najib dalam satu dokumen eksibit sepanjang 93 mukasurat, berserta dengan afidavit sebanyak 21 mukasurat yang mengandungi akuan berkanun, kenyataan media, petikan berita, kandungan blog politik, serta tangkap layar laman-laman web yang dikatakan oleh peguam adalah bukti yang menunjukkan pembabitan bekas gabenor bank pusat dalam skandal 1MDB.

Selepas menolak permohonan minit terakhir itu, panel hakim menetapkan bahawa keputusan kes rayuan Najib akan diumumkan pada pagi Rabu seperti yang telah dijadualkan. Pengumuman itu dibuat lebih enam bulan selepas pendengaran selesai pada Mei lepas.

"Keputusan rayuan kes SRC International akan diteruskan seperti dijadualkan iaitu pada jam 9 pagi esok. Ia terpulang kepada pasukan pembelaan sama ada untuk hadir di mahkamah atau untuk meneruskan prosiding melalui aplikasi Zoom seperti hari ini," kata Hakim Abdul Karim.

Mohon tangguh kerana COVID-19

Peguam Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib telah menghantar satu notis kepada mahkamah pada lewat Isnin, menyatakan bahawa pasukan mereka telah terkesan dengan pandemik COVID-19 selepas anaknya Farhan Shafee, yang juga adalah ahli pasukan peguam Najib, didapati positif koronavirus itu.

Kejadian itu juga turut membabitkan Najib, kata Shafee, kerana Ahli Parlimen tersebut telah berjumpa dengan pasukan guaman bagi urusan dokumen untuk pendengaran permohonan beliau.

"Tambahan pula, klien kami, Mohd Najib bin Haji Abd Razak, telah hadir di Shafee & Co bagi tujuan memeriksa dan mengesahkan afidavit yang difailkan hari ini," kata Shafee dalam surat notis, merujuk kepada nama penuh Najib.

Shafee & Co adalah firma guaman dimiliki Shafee Abdullah.

Permohonan peguam itu bagaimanapun telah ditolak.

Sistem keadilan Malaysia mengkehendaki tertuduh dalam perbicaraan kes jenayah untuk hadir di mahkamah pada semua tarikh bicara.

Hakim Abdul Karim ketika menolak permohonan untuk menangguhkan pendengaran telah memarahi Harvinderjit Singh, iaitu salah seorang ahli pasukan guaman Najib dan satu-satunya yang hadir di mahkamah pada pagi Selasa, kerana tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa Najib telah terdedah kepada koronavirus dan hanya berdasarkan andaian.

Beliau juga telah memarahi salah seorang penjamin bekas perdana menteri itu kerana telah gagal memastikan Najib hadir di mahkamah, dan merisikokan wang jaminan ditarik balik serta kemungkinan dikenakan waran tangkap.

"Mana Najib? Kamu tahu kenapa Najib tidak datang ke mahkamah, tangggungjawab sebagai penjamin adalah berat. Kamu kena menentukan kehadiran dia. Adakah kamu mengambil tahu kenapa Najib tidak hadir?

"Sebagai penjamin kamu kena mengambil tahu, kami boleh membatalkan jaminan jika kami tidak berpuas hati dan waran tangkap boleh dikeluarkan untuk menangkap Najib. Mana Najib?," soal Hakim Abdul Karim.

Jawapan daripada penjamin yang menyatakan bahawa Najib berada di Pavillion membuatkan hakim itu bertambah berang. Pavillion adalah sebuah kawasan mewah di kawasan Kuala Lumpur yang mempunyai pusat beli belah serta kondominium kelas atasan.

"Pavillion? Pavillion itu rumah dia? Awak telefon dia tanya ke atau awak tembak sahaja? Jangan main tembak, main agak sahaja, ini mahkamah bukan kedai kopi."

Beliau juga menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap seorang lagi penjamin Najib yang tiba lewat di mahkamah.

Selain rayuan di Mahkamah Rayuan berkait dengan sabitan kes SRC International, Najib kini turut berdepan dengan perbicaraan berasingan berkaitan pembabitannya dalam kes 1MDB, serta satu lagi dakwaan mengganggu laporan audit terhadap 1MDB.

Dua lagi perbicaraan membabitkan kes pecah amanah berkait dengan 1MDB serta perbicaraan dalam satu lagi kes membabitkan syarikat SRC International juga sedang menunggu untuk dimulakan, bagi memberi laluan perbicaraan yang sedang dijalankan untuk diselesaikan dahulu.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai sesi pendengaran pada Selasa, Shafee memberikan indikasi bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan ke mahkamah lebih tinggi, iaitu Mahkamah Persekutuan, sekiranya Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib.

Pada Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri itu serta mengenakan denda sebanyak RM210 juta (AS$49.3 juta) selepas mendapati beliau bersalah terhadap satu pertuduhan menyalahguna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima secara haram RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh