Follow us

Malaysia Bangunkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia

Hata Wahari & Razlan Rashid
Putrajaya, Malaysia
2018-03-01
E-mel
Komen
Kongsi
  • Kongsi
  • Komen
  • E-mel
180301-MY-human-rights-620.jpg
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak ketika berucap pada Simposium Pasaran Modal Dunia di Kuala Lumpur, 6 Feb 2018. (AP)
[AP]

Dengan pilihan raya umum semakin hampir dan di tengah-tengah kecaman mengenai tindakan keras terhadap pengkritiknya, kerajaan Malaysia pada Khamis mengumumkan bahawa ia sedang membangunkan sebuah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang akan dilaksanakan dalam tempoh ‘masa tertentu’.

Pelan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak, yang kerajaannya telah mendakwa beberapa pengkritik di bawah undang-undang hasutan negara serta menepis gesaan yang mendesak beliau meletak jawatan berhubung tuduhan rasuah berkaitan dengan dana negara, 1MDB.

"Lebih membanggakan lagi, NHRAP yang dibangunkan ini merupakan suatu pelan yang komprehensif, dengan mengambil kira aspirasi rakyat dan berdasarkan acuan Malaysia," kata Najib semasa melancarkan pelan itu di bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Menurut naskhah pelan itu, NHRAP akan menyediakan: satu "gambaran  objektif" mengenai keadaan hak asasi manusia; penilaian menyeluruh terhadap keperluan; meningkatkan keupayaan kerajaan untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia; menggabungkan piawaian yang lebih tinggi dalam undang-undang dan dasar dalam negara; mengintegrasikan prinsip-prinsip dalam bidang lain seperti pembangunan, perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keadilan; dan meningkatkan kesedaran orang ramai.’

Bagaimanapun, Human Rights Watch (HRW) mempersoalkan mengenai masa pengumuman itu dibuat oleh Najib.

"Pada hakikatnya, pelan tindakan itu sebenarnya telah diperkatakan sejak bertahun-tahun lamanya - dan tiba-tiba beberapa bulan sebelum pilihan raya, kerajaan Malaysia mengumumkannya dengan penuh gembira," kata Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson, kepada BeritaBenar.

Najib, yang dijangka mengadakan pilihan raya umum negara yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Ogos ini, menyuarakan keyakinan bahawa NHRAP dapat meningkatkan lagi prestasi dan imej negara, terutamanya dari segi pembangunan ekonomi dan tadbir urus yang cekap dan berwibawa. Beliau mahu Malaysia menjadi antara negara paling maju di dunia dalam tiga dekad akan datang.

"Apabila saya sebut antara negara terbaik menjelang 2050, ini tidak bermakna hanya dari segi pendapatan per kapita, tetapi juga sebagai Malaysia yang lebih saksama, penyayang dan ramah. Inilah visi saya, " kata Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan beberapa yang lain telah mengkritik Najib dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, parti memerintah yang diterajui Najib sebagai Presiden, atas usaha kerajaan untuk memburu musuh politiknya. Mahathir akan mewakili pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, dalam pilihan raya umum akan datang.

Peranan Suhakam

Dalam satu siaran media, kerajaan mengakui bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah menganjurkan rancangan itu sejak 2002 dan akan membantu dalam pensediaannya dengan membekalkan maklumat apabila diperlukan. Suhakam juga akan memantau dan menilai pelaksanaannya.

Azril Mohd Amin, Pengarah Eksekutif  Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia [Centhra] berkata, beliau berharap Sukaham akan berfungsi sebagai pemantau pelan itu apabila ia dilaksanakan. Beliau menambah kata bahawa pelan itu tidak harus mengabaikan sejarah, budaya dan agama seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Kerajaan perlu memastikan individu yang terlibat dalam pelan itu memahami maksud dan erti kata hak asasi manusia itu sendiri, kata Siti Zabedah Kasim, Ahli Jawantankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam.

"Saya juga berpendapat bahawa pelan tindakan hak asasi manusia ini tidak harus disalahgunakan dan diambil kesempatan oleh pengganas dan pencari suaka," katanya kepada BeritaBenar.

Robertson berkata, pelan itu mengandungi beberapa unsur yang baik, tetapi katanya: "Pelan itu lebih menjurus kepada kad laporan seperti mana yang telah pun dilaksanakan kerajaan Malaysia, dan mengetepikan penyalahgunaan undang-undang bagi menganiaya musuh politik, saluran media lantang, dan aktivis masyarakat sivil. "

Beliau juga mempersoalkan pengumuman Najib bahawa aplikasi telefon bimbit akan dibangunkan bagi mengumpulkan maklum balas daripada rakyat.

"Meminta komen daripada orang ramai menerusi aplikasi telefon bimbit adalah petunjuk tentang betapa sedikitnya penyertaan masyarakat sivil dalam menyusun pelan ini. PM Najib nampak sangat berusaha untuk menjadi semuanya bagi semua orang dalam kempennya supaya dipilih semula, dan kelemahannya pula adalah  sebarang pelaksanaan serius terhadap janji-janji yang terdapat dalam pelan ini yang mungkin goyah sebaik sahaja pengiraan undi dibuat dalam pilihan raya umum itu nanti, " kata Robertson.

Komen (0)
  • Cetak
  • Kongsi
  • E-mel
Lihat Laman Penuh