Mahkamah Tolak Permohonan Najib Razak Gugur Pertuduhan Ubah Laporan Audit 1MDB

Hadi Azmi
2020.08.14
Kuala Lumpur, Malaysia
200814-MY-Najib-Audit1000.jpg Bekas Perdana Menteri Najib Razak bercakap dengan pemberita selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, penggubahan wang haram dan salah guna kuasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 28 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menolak permohonan usul bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya dalam kes pengubahan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas alasan ianya adalah pramatang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika membuat penghakiman berkata Najib sebagai pemohon seharusnya membawa usul tersebut di akhir kes pendakwaan kerana ia masih terlalu awal untuk dipertimbangkan mahkamah yang masih lagi mendengar pembuktian yang dibawa oleh pihak pendakwaan.

“Alasan yang diberikan oleh pemohon sepatutnya hanya dipertimbangkan pada akhir kes pendakwaan. Masih terlalu awal untuk mahkamah menimbang alasan berkenaan pada peringkat ini,” kata hakim.

Tambah beliau, alasan-alasan yang dibawa pihak tertuduh juga tidak mencukupi untuk membatal atau mengenepikan pertuduhan terhadapnya.

"Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan pemohon," kata Hakim itu lagi.

Najib, 67 didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Ketua Pengarah Operasi 1MDB, Arul Kanda, 44 dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dengan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas perdana menteri itu, sebelum ini memfailkan usul pengguguran pertuduhan tersebut atas alasan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan Arul adalah tidak berasas.

Ini berlaku setelah Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan berkata ia bukanlah satu kesalahan bagi anak guamnya meminta pindaan kepada laporan audit tersebut yang belum dimuktamadkan.

"Semua pemeriksaan balas saya setakat ini, dengan (bekas ketua audit) Ambrin (Buang) dan (bekas ketua setiausaha kerajaan) Ali Hamsa, inti pemeriksaan balas adalah bahawa tidak salah untuk meminda laporan audit yang belum dimuktamadkan,” kata Shafee

Lantaran itu, pada 24 Jun lalu mahkamah yang sama membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadap Najib dan Arul yang membabitkan perkataan "yang telah disediakan" dalam pertuduhan asal dipinda kepada "yang telah dimuktamadkan”.

Selain itu perkataan "sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan" juga dipinda kepada "sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula".

Hakim Mohamed Zaini ketika membenarkan pindaan pertuduhan tersebut berkata permohonan pindaan kepada tuduhan berkenaan yang difailkan oleh pihak pendakwaaan yang diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram tidak menyebabkan prejudis terhadap tertuduh.

Ini, katanya kerana pindaan yang difailkan hanya dibuat pada hari kelapan perbicaraan dengan tujuh saksi telah memberi keterangan

"Saya yakin pihak pembelaan mempunyai waktu dan peluang mencukupi untuk menyiapkan kes mereka berdasarkan pindaan terhadap tuduhan. Mahkamah memutuskan untuk memberi kebenaran pendakwaan melakukan pindaan pertuduhan berkaitan pindaan Laporan Pengauditan Laporan 1MDB,” katanya.

Tidak hadir

Pendengaran khas pada Jumaat itu menyaksikan bekas perdana menteri tersebut dibenarkan tidak hadir ke mahkamah dengan beliau diwakili peguam Syahirah Hanapiah, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli dan Hazmida Harris Lee.

Kedua-dua pihak enggan mengulas keputusan hakim tersebut. Perbicaraan bersambung 24 Ogos ini.

Pada Rabu, bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang yang menjadi saksi ke enam perbicaraan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak memintanya untuk membuang salah satu daripada dua laporan audit 1MDB, sebaliknya mahu untuk meneliti perkara tersebut apabila mendapati terdapat dua laporan berbeza bagi tahun yang sama.

Kes pengubahan laporan audit 1MDB tersebut merupakan kes ketiga membabitkan bekas Perdana Menteri tersebut yang sebelum ini telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara bagi kesemua tujuh pertuduhan melibatkan SRC International, iaitu anak syarikat 1MDB berjumlah 72 tahun pada 27 Julai lalu.

Hakim bagaimanapun membenarkan hukuman dijalankan serentak iaitu 12 tahun dengan beliau turut didenda sebanyak RM210 juta dengan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sehingga habis proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Selepas dijatuhkan hukuman, Najib memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk menyemak semula penghakiman Hakim Nazlan Ghazali dalam kes tersebut.

Pada 11 Ogos lalu, pihak pendakwaan pula memfailkan rayuan untuk menambah lagi hukuman yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri daripada hukuman asal yang dikenakan.

Bercakap kepada Berita Benar, timbalan pendakwaraya Budiman Lutfi Mohamed berkata rayuan itu merupakan satu proses normal, tetapi enggan mendedahkan tempoh hukuman yang dibuat rayuan oleh pihak pendakwaan.

Selain itu, Najib masih dibicarakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bagi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB.

1MDB menjadi sasaran penyiasatan kes pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara di luar Malaysia termasuk Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Switzerland.

Tumpuan utama dalam skandal itu adalah Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho - seorang pembiaya kewangan Malaysia yang kini menjadi buruan pihak berkuasa.

Pendakwa raya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sebanyak RM18.3 bilion (AS$4.5 bilion) telah dialihkan dari 1MDB dan SRC ke akaun bank Najib dan beberapa orang lain.

Dakwaan beliau melakukan rasuah besar-besaran timbul daripada skandal kewangan 1MDB, yang menyebabkan kejatuhannya sebagai perdana menteri pada dua tahun lalu, apabila parti pimpinannya disingkirkan pada pilihan raya umum yang mencatatkan sejarah bagi Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.