SRC: Bekas PM Najib Razak lantik peguam baru saat akhir rayuan kes

Najib berkata keputusan itu dibuat setelah permohonan mendapatkan khidmat peguam British ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Noah Lee & Nisha David
2022.07.26
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
SRC: Bekas PM Najib Razak lantik peguam baru saat akhir rayuan kes Bekas perdana menteri Najib Razak bersama pembantunya tiba di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, 8 Disember 2020.
Photo: Benar

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Selasa bertindak menukar pasukan peguamnya beberapa minggu sebelum rayuan terakhir terhadap hukuman penjara 12 tahun berkaitan skandal 1MDB, yang dijadual didengar oleh Mahkamah Persekutuan mulai 15 Ogos depan.

Keputusan itu dilihat penganalisis politik sebagai satu cubaan untuk menangguhkan pendengaran rayuan yang akan berlangsung selama 10 hari.

Pada hari yang sama, pasukan peguam baru Najib turut memaklumkan Mahkamah Persekutuan melalui satu surat bahawa mereka bercadang untuk meminta tarikh pendengaran rayuan ahli politik itu ditunda kerana mereka baru sahaja mengambil alih pengendalian kes berkenaan.

"Pelantikan pasukan peguam baru itu berkuatkuasa semalam. Najib melahirkan rasa yakin bahawa pasukan baru yang ditubuhkan ini akan membawa perspektif baru dalam pembelaan. Dakwaan konflik kepentingan adalah satu perkara yang serius terhadap hakim itu sendiri serta pihak-pihak dalam perbicaraan.

"Permohonon ini difailkan di mahkamah berkaitan dengan isu tersebut," kata kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Najib.

Menurut Najib keputusan menukar khidmat firma Shafee dengan firma Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan seorang peguam British untuk dibenarkan mewakili Najib dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Bekas perdana menteri itu juga dikatakan telah mendapatkan nasihat peguam dari Singapura dan Peguam Kanan India sebelum membuat keputusan tersebut.

Menurut Najib, tindakan menukar pasukan guaman itu mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa terdapat konflik kepentingan pada hakim yang mendengar perbicaraannya sebelum ini.

Tetuan Shafee & Co. yang telah mewakili Najib sejak hari pertama beliau dibicarakan terhadap kes jenayah membabitkan sejumlah RM42 juta (AS$9.42 juta) milik sebuah anak syarikat 1MDB -- dalam satu notis kepada mahkamah pada hari yang sama menyatakan bahawa mereka telah menerima surat daripada Najib sehari sebelum itu untuk memberhentikan khidmat mereka dalam rayuan kes SRC International.

"Pada 25 Julai 2022, jam lebih kurang 5 petang, pihak kami telah menerima sesalinan surat dari Mohd Najib Bin Hj Abd Razak (Perayu) yang mana Perayu telah memberhentikan (discharged) dengan serta merta Tetuan Shafee & Co. daripada bertindak sebagai kaunsel dan peguamcara yang mewakili beliau di dalam Rayuan-Rayuan Jenayah ini dan Prosiding-Prosiding berkenaan.

"Menerusi surat yang sama, Perayu telah memaklumkan bahawa beliau telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguamcara," kata surat tersebut.

Surat berkenaan tidak menyebut sebarang sebab mengapa Najib bertindak memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang dimiliki oleh peguam ternama Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee dan pasukannya bagaimanapun, kekal mewakili Najib dalam kes-kes lain yang masih berlangsung sekarang.

Tangguh pendengaran

Firma ZIST dalam satu surat kepada Mahkamah Persekutuan yang dilihat BenarNews menyatakan bahawa pihak mereka memohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh pengurusan atau sebutan kes "dengan segera" memandangkan perubahan pada pasukan guaman yang mewakili Najib bagi membolehkan mereka mengemukakan maklumat terkini kepada mahkamah.

Surat ditandatangani rakan kongsi kanan firma Liew Teck Huat itu menyatakan bahawa mereka telah mendapat arahan daripada Najib untuk berhujah bagi mendapatkan penangguhan pendengaran rayuan beliau di Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan antara 15 Ogos hingga 26 Ogos depan, serta penangguhan usul difailkan Najib untuk mendapatkan pembatalan perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Tertakluk kepada keselesaan Mahkamah Yang Mulia ini, kami dengan rendah diri memohon supaya satu tarikh sebutan atau tarikh pengurusan kes ditetapkan pada atau sebelum 29 Julai 2022.

"Pada Sebutan atau Pengurusan Kes tersebut, kami mempunyai arahan daripada perayu tersebut untuk menarik balik rayuan yang difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan permohonan perayu tersebut untuk kemasukan ad-hoc Jonathan Laidlaw; dan berhujah di hadapan Mahkamah berkenaan dengan penangguhan Notis Usul yang difailkan pada 7 Jun 2022 dan Rayuan utama yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 15 Ogos 2022 sehingga 26 Ogos 2022.

"...atas sebab bahawa satu rombongan baru telah mengambil alih pengendalian perkara di atas bagi pihak Perayu," kata surat oleh Liew.

Sementara itu, penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata beliau percaya tindakan menukar pasukan guaman itu adalah satu taktik oleh Najib.

"Ini adalah taktik untuk melambatkan (kes). Najib mahu supaya kes berpanjangan, dan apa sahaja alasan yang boleh dicari, beliau akan menggunakannya.

Seorang lagi penganalisis Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata tindakan Najib itu berkemungkinan akan merugikan dirinya sendiri disebabkan pasukan guaman baru tidak mempunyai kefahaman yang sama seperti mereka yang telah mengendalikan kes sejak sekian lama.

"Dalam apa juga kes, cubaan melambatkan kes dengan menukar peguam pada hampir saat akhir tidak semestinya satu taktik yang baik, terutama sekali jika ia membabitkan rayuan peringkat terakhir.

"Ini dilihat lebih kepada Pelan B selepas peguam Queen Counsel dari Britih tidak dibenarkan berhujah untuk Najib. Kemahuan Najib untuk menukar peguam ini dapat difahami selepas pasukan yang asal tidak berjaya melepaskan Najib di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata Oh.

Menurut beliau, penangguhan pendengaran rayuan Najib adalah bergantung kepada sama ada mahkamah yakin terdapatnya keperluan untuk berbuat demikian.

Najib telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan salahguna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik Najib.

Selain dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, ahli politik itu turut dikenakan hukuman denda sebanyak RM210 juta (AS$47 juta).

Najib telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan, tetapi mahkamah itu pada Disember lepas mengekalkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadapnya.

Pendengaran rayuan yang dijadualkan pada bulan depan merupakan peluang terakhir untuk Najib mendapatkan kebebasan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.