Pembelaan: Najib Bertindak Demi Kepentingan Malaysia Semasa Kendali Dana SRC

Noah Lee & Ali Nufael
2019.10.23
Kuala Lumpur, Malaysia
191023-MY-najib-620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (tengah) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 22 Okt 2019.
(AP)

Peguambela bekas Perdana Menteri Najib Razak pada Rabu menolak dakwaan bahawa beliau mempunyai kawalan penuh ke atas berjuta-juta dolar wang milik anak syarikat dana negara 1MDB dan berkata Najib telah bertindak demi kepentingan negara ketika mengendalikan dana tersebut.

Pasukan pembelaan berkata demikian ketika membalas hujah pihak pendakwaan bahawa keterangan lebih 50 saksi menunjukkan Najib tahu apa yang dilakukannya semasa beliau menerima 42 juta ringgit (AS$10 juta) daripada SRC International Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selepas lebih 11 jam mendengar penggulungan hujah yang berlangsung selama dua hari, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 11 Nov depan untuk memutuskan sama ada Najib perlu membela diri bagi tujuh pertuduhan jenayah yang dikemukakan terhadapnya. Mahkamah telah menetapkan beberapa tarikh pada bulan Disember untuk meneruskan perbicaraan, jika perlu.

Terdahulu, peguam Farhan Read dan Harvinderjit Singh berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal menyokong dakwaan bahawa Najib telah menyalahgunakan kuasa beliau.

"Bukti yang diambil secara kumulatif tidak menyokong inferens bahawa Najib secara rasuah menerima 42 juta ringgit yang dimasukkan ke dalam akaunnya," kata Farhan.

"Yang paling penting ialah Najib bertindak demi kepentingan negara dengan niat yang terbaik," kata Harvinderjit.

Pada Selasa, Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pihak pendakwaan, berkata Najib tidak boleh mendakwa bahawa beliau tidak tahu tentang wang yang berada dalam akaun bank peribadinya pada 2014 dan 2015 kerana beliau mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas SRC International. Najib memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu.

Pembelaan yang diketuai peguam Shafee Abdullah membalas hujah itu dengan berkata Najib tidak mengawal SRC dan tidak boleh didapati bersalah bagi pertuduhan itu.

Thomas juga berhujah bahawa Najib, yang dibayar kurang sedikit daripada sejuta ringgit (AS$238,000) setahun sebagai perdana menteri, perlu menjelaskan mengapa lebih 100 cek yang dikeluarkan dari dua akaun AmBank peribadinya menggunakan dana SRC.

Thomas mendakwa Najib mengetahui atau mempunyai syak yang munasabah bahawa wang dalam akaunnya adalah daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Di setiap bahagian transaksi, tertuduh memainkan peranan penting. Kami berhujah bahawa ini adalah satu tindakan korup yang dilakukan dengan sengaja, direncanakan, direka dan dirancang oleh tertuduh," kata Thomas kepada mahkamah, menurut agensi berita Reuters.

Perbicaraan tambahan

Kertas pertuduhan mendakwa bahawa antara 24 Dis 2014 dan 6 Feb 2015, sebanyak 42 juta ringgit telah dipindahkan ke akaun AmBank peribadi Najib melalui anak syarikat SRC. Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum sehingga 20 tahun.

Ketujuh-tujuh pertuduhan adalah sebahagian daripada 42 aduan jenayah rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa yang dihadapi Najib membabitkan 1MDB dan SRC International.

Dalam prosiding berasingan, Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berhubung kehilangan 2.3 bilion ringgit (AS$681 juta) daripada 1MDB. Beliau dijangka berdepan perbicaraan tambahan berkaitan 10 lagi baki pertuduhan.

Pendakwaan dan penyiasat di Malaysia, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain mendakwa Najib menggunakan dana 1MDB untuk membiayai gaya hidup mewah. Turut berdepan pertuduhan berkaitan skandal 1MDB ialah isterinya, Rosmah Mansor, dan pembiaya kewangan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho (atau lebih dikenali sebagai Jho Low).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.