Follow us

Mahkamah Persekutuan Ketepi Keputusan Mahkamah Rayuan, Kes Najib Akan Bermula

Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-27
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa hadir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, Malaysia, 27 Mac, 2019.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa hadir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, Malaysia, 27 Mac, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perbicaraan pertama kes bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan dana negara 1MDB dijangka bermula tidak lama lagi selepas Mahkamah Persekutuan pada Rabu memutuskan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan penangguhan yang difailkan peguambelanya.

Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, mengarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh baharu bagi mendengar kes Najib yang telah ditangguhkan sejak 12 Feb lepas.

"Kami sebulat suara berpendapat bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangguhkan prosiding," katanya semasa mengumumkan keputusan itu. "Oleh yang demikian, kami mengenepikan perintah penggantungan dan mengembalikan perkara ini kepada Mahkamah Tinggi untuk tindakan sewajarnya.”

Panel itu juga telah mendengar rayuan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Mac yang mengarahkan agar surat pelantikan peguam kanan Sulaiman Abdullah sebagai pendakwa raya utama dikemukakan kepada pasukan pembelaan. Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pembelaan atas alasan keistimewaan kerahsiaan tidak diberikan kepada surat pelantikan Sulaiman itu.

Pada hari yang sama, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah tegah siar bagi menghalang media dan perbincangan awam berhubung perbicaraan itu dan membenarkan dokumen tambahan berkaitan saksi diberikan kepada peguambelanya.

Ia turut menolak permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Pejabat Peguam Negara menarik balik petisyen bagi memindahkan kes Najib dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada Februari, Peguam Negara Tommy Thomas berkata langkah itu perlu kerana prosedur yang digunakannya pada Ogos 2018 untuk memindahkan tujuh pertuduhan boleh dicabar. Sebaik sahaja dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, Thomas sekali lagi memohon supaya pertuduhan itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi.

Thomas, yang juga ketua pasukan pendakwaan, sebelum ini berhujah bahawa perbicaraan tidak boleh ditangguhkan lagi kerana ia adalah satu kes berkepentingan awam dan permohonan untuk menangguhkan kes adalah satu taktik bagi melengah-lengahkan perbicaraan.

Najib berdepan perbicaraan membabitkan tujuh pertuduhan berkaitan dakwaan bahawa sejumlah RM42 juta (kira-kira AS$10.3 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi beliau secara tidak sah daripada SRC International, anak syarikat 1MDB.

Pertuduhan itu membabitkan tiga dakwaan pecah amanah jenayah, tiga pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.

Bekas perdana menteri itu, yang mengasaskan 1MDB pada 2009, dijangka berdepan perbicaraan tambahan membabitkan sejumlah 42 pertuduhan berkaitan kerugian berbilion dolar yang dialami oleh dana itu.

Pendakwa raya V. Sithambaram yang ditemui selepas itu berkata pihaknya akan menghubungi pendaftar Mahkamah Tinggi dengan kadar segera untuk menetapkan tarikh pengurusan kes dan seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan.

Beliau berkata sebelum ini, 3 April telah ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes namun pihak pendakwaan merancang untuk meminta tarikh yang lebih awal memandangkan "kes ini telah ditangguh terlalu lama."

"Tarikh pengurusan kes itu boleh jadi seawal esok (Khamis) atau Jumaat," kata Sithambaram sambil menambah tarikh perbicaraan perlu ditetapkan oleh hakim Mahkamah Tinggi tertakluk kepada tarikh yang sedia ada.

Perbicaraan pertama Najib dijadualkan bermula dari 12 Feb hingga 29 Mac namun ditangguhkan sebanyak dua kali oleh Mahkamah Rayuan pada 11 Feb dan 21 Mac sementara menunggu rayuan yang berkaitan dengan perbicaraan kes itu.

Sejak beliau didakwa pada Julai tahun lepas, berhubung skandal itu, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan tidak mengaku bersalah dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencuri wang rakyat Malaysia.

Pada Mei tahun lepas, pihak berkuasa menggeledah sekurang-kurangnya lima premis yang mempunyai kaitan dengan Najib sebagai sebahagian daripada penyiasatan yang dilakukan terhadap kes 1MDB.

Polis merampas berjuta-juta wang tunai termasuk mata wang asing dalam serbuan itu termasuk yang dilakukan di rumah Najib di Jalan Langgak Duta serta kondominum mewah di ibu negara.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang turut memfailkan kes jenayah berkaitan skandal 1MDB, menyifatkannya sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk dalam sejarah ketika ini.”

 

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh