Najib Razak Saman Bekas Peguam Negara dan Kerajaan RM2 Juta

Najib mendakwa Peguam Negara pada ketika itu, Tommy Thomas, telah cuai dan mengabaikan proses perundangan dalam pendakwaan ke atasnya.
Noah Lee & Hadi Azmi
2021.10.26
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Najib Razak Saman Bekas Peguam Negara dan Kerajaan RM2 Juta Bekas Perdana Menteri Najib Razak bersama penyokongnya dilihat memasuki perkarangan Komplek Mahkamah, di Kuala Lumpur, 5 Jun 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memfailkan cabaran di mahkamah terhadap lebih 25 dakwaan jenayah yang dikenakan ke atasnya berkait dengan syarikat dana kerajaan penuh kontroversi 1Malaysia Development Berhad, termasuk dakwaan bahawa dirinya telah menerima AS$550 juta dari syarikat tersebut, menurut dokumen mahkamah.

Beliau menuntut gantirugi sebanyak AS$482,000 dan mendakwa bahawa bekas Peguam Negara Tommy Thomas serta kerajaan telah mengabaikan proses perundangan serta cuai dalam mengenakan pendakwaan terhadap dirinya.

Ahli politik itu yang telah disabitkan bersalah dalam satu perbicaraan lain membabitkan tujuh lagi pertuduhan berkaitan 1MDB telah memfailkan saman sivil tersebut pada 22 Oktober.

Berdasarkan salinan pernyataan tuntutan yang difailkan oleh peguam Najib, bekas perdana menteri itu mendakwa bahawa Thomas telah menyalahgunakan proses perundangan dan berniat jahat dalam mengarahkan pendakwaan jenayah ke atasnya.

Tuntutan itu meliputi empat kes yang sedang berlangsung di mahkamah iaitu perbicaraan kes 1MDB, kes Petroleum Investment Company (IPIC), pertuduhan salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan kes pengubahan wang haram.

"Saya mengesahkan bahawa saya telah memfailkan saman itu di mahkamah. Namun saya tidak boleh memberikan sebarang komen lanjut sehingga writ saman itu diserahkan kepada defendan (Tommy Thomas dan kerajaan)," Yudistra Darma Dorai, peguam yang mewakili Najib dalam tuntutan tersebut memberitahu BenarNews pada Selasa.

Selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 pada Mei 2018, Najib menjadi antara pemimpin yang disiasat pihak berkuasa Malaysia atas pelbagai dakwaan kesalahan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Beliau kemudiannya telah dihadapkan ke mahkamah di Kuala Lumpur dengan sebanyak 42 pendakwaan jenayah melibatkan empat perbicaraan yang berbeza.

Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan berbilion dolar daripada sebuah anak syarikat 1MDB. Beliau kini sedang dalam proses merayu keputusan berkenaan, sementara 35 pertuduhan lagi masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Diskriminasi

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa bahawa Thomas selaku Peguam Negara yang dilantik Mahathir Mohamad iaitu Perdana Menteri pada masa itu, telah melakukan diskriminasi serta melampaui kuasa selaku Peguam Negara dalam pendakwaan terhadapnya melibatkan 35 pertuduhan yang masih berjalan.

"Beliau telah membuat pengadilan terlebih dahulu terhadap kes Najib Razak, sebelum memutuskan untuk mendakwanya. Beliau tidak mengkaji kes terhadap Najib Razak secara bebas dan objektif, campur tangan dalam urusan penyiasatan, dan bertindak dengan niat jahat," kata pernyataan tuntutan Najib yang dilihat oleh BenarNews.

Bekas Peguam Negara itu juga didakwa telah menggunakan pengetahuan dalamannya berkenaan kes Najib untuk membuat pernyataan-pernyataan yang "menghina dan memprejudiskan" bekas perdana menteri itu selepas meletakkan jawatannya.

Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu "bertanggungan secara vikarius" (bagi pihak) terhadap kesalahan-kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Thomas semasa menjadi Peguam Negara.

Kesemua perbuatan itu dikatakan telah menyebabkan kerugian kepada Najib, termasuk kehilangan reputasi dan menyebabkan kecederaan terhadap kerjaya politik beliau, kehilangan kebebasan semasa penyiasatan oleh pihak berkuasa, serta kesakitan, penderitaan dan trauma.

Selain itu, Najib mendakwa bahawa dirinya telah menanggung kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk 'perbelanjaan perubatan yang ditanggung akibat kerisauan dan tekanan yang disebabkan oleh pendakwaan', bayaran yang dibuat untuk semakan audit bagi pembelaan terhadap pertuduhan terhadapnya, serta perbelanjaan perjalanan yang berkaitan dengan semua pertuduhan dibuat terhadapnya di mahkamah.

Beliau turut menuntut supaya mengenakan gantirugi am, gantirugi teladan, gantirugi tambahan, berserta faedah dan kos serta lain-lain yang dianggap bersesuaian oleh mahkamah.

BenarNews telah cuba menghubungi Thomas untuk mendapatkan komen namun beliau tidak menjawab panggilan.

Dalam kes 1MDB, Najib menghadapi sejumlah 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk menerima RM2.28 bilion (AS$550 juta) daripada 1MDB; manakala bagi kes membabitkan IPIC pula, bekas Perdana Menteri itu menghadapi enam pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan RM6.6 bilion (AS$1.58 bilion)

Selain itu, beliau turut didakwa menyalahgunakan kuasa bagi mengganggu laporan Ketua Audit Negara untuk kes 1MDB, serta tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM47 juta (AS$11.3 juta) di dalam tiga akaun perbankan peribadi Najib.

Pinda tarikh

Sementara itu, pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan Najib untuk meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasport miliknya bagi melakukan perjalanan ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang dijangka melahirkan anak keduanya pada awal November.

Agensi berita Bernama melaporkan bahawa tiga hakim Mahkamah Tinggi iaitu Mohamed Zaini Mazlan, Collin Lawrence Sequerah dan Muhammad Jamil Hussin yang menghakimi kes-kes berasingan terhadap Najib telah membuat keputusan berkenaan selepas pihak pendakwaan tidak membuat sebarang bantahan.

Najib sebelum ini telah dibenarkan mahkamah untuk mendapatkan kembali pasportnya pada 20 Okt sehingga pemulangan pada 22 November, namun, Anggota Parlimen Pekan itu telah memohon untuk memindanya kepada 25 Oktober sehingga 6 Disember.

Beliau dilaporkan telah membuat permohonan pemindaan tersebut kerana telah diamanahkan untuk membantu jentera parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dalam Pilihanraya Negeri Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November ini, menggantikan presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang mahu mendapatkan rawatan tulang belakang di Jerman.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh