Follow us

Bekas PM Malaysia Didapati Bersalah Atas Tujuh Pertuduhan Berkaitan Skandal 1MDB

Hadi Azmi, Noah Lee & Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur , Malaysia
2020-07-28
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Malaysia dan pasukan pembelaannya bercakap kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas seorang hakim mensabit serta menjatuhkan hukuman terhadapnya atas pelbagai pertuduhan berkaitan rasuah besar-besaran dalam skandal kewangan 1MDB, 28 Julai 2020.
Bekas Perdana Menteri Malaysia dan pasukan pembelaannya bercakap kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas seorang hakim mensabit serta menjatuhkan hukuman terhadapnya atas pelbagai pertuduhan berkaitan rasuah besar-besaran dalam skandal kewangan 1MDB, 28 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 3.30 petang waktu tempatan ETS - 2020-07-28

Sebuah mahkamah Malaysia pada Selasa telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak selepas beliau didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan berbilion dolar daripada dana pelaburan negara 1MDB yang telah menyebabkan kerajaannya digulingkan dua tahun lepas.

Dalam sabitan kali pertama seumpamanya terhadap seorang bekas pemimpin negara di Malaysia, Najib telah didapati bersalah bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima secara haram RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat dana pelaburan negara 1MDB.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM210 juta ($49.3 juta) ke atas Najib di akhir kes itu, yang pertama daripada beberapa perbicaraan berkaitan skandal tersebut yang disifatkan bekas Peguam Negara AS Jeff Sessions sebagai "kleptokrasi yang paling teruk."

Najib terpaksa meringkuk lima tahun dalam penjara jika gagal membayar denda itu.

"Selepas menimbang semua bukti dalam perbicaraan ini, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.....Oleh itu, saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkan tertuduh bagi kesemua tujuh pertuduhan," kata Hakim Nazlan yang mengambil masa kira-kira 90 minit untuk membacakan keputusannya.

Nazlan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan Najib selesai namun menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta (AS$235,300) yang perlu dibayar pada Rabu serta mengarahkan beliau melapor diri kepada polis dua kali pada setiap bulan.

Lebih AS$4.5 bilion telah dialihkan daripada 1MDB menerusi syarikat palsu untuk merasuah para pegawai dan sekutu mereka, menurut Jabatan Kehakiman AS.

Najib menubuhkan dana pelaburan negara itu pada 2009 yang bertujuan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia ketika beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Bagaimanapun pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa dana itu telah disalahgunakan termasuk bagi membeli seutas rantai berlian merah jambu untuk isteri Najib, membiayai kempen pilihan raya beliau, membeli hartanah mewah di New York dan California malah membiayai filem Hollywood popular "Wolf of Wall Street." Najib bagaimanapun kelihatan tenang ketika dijatuhi hukuman itu.

"Ini bukanlah pengakhirannya kerana masih terdapat proses rayuan dan kami harap kami akan berjaya di situ," kata Najib kepada pemberita selepas keputusan itu diumumkan di luar bangunan mahkamah di mana beratus-ratus penyokong beliau menanti ketika prosiding mahkamah yang berlangsung hampir sepanjang hari.

Beliau berharap penyokongnya "akan terus mempercayai saya, percayakan perjuangan kami dan terus positif serta bersemangat."



Sejurus sebelum hakim menjatuhkan hukuman itu, Najib, 67, meminta mahkamah mempertimbang apa yang disifatkannya sebagai pencapaian beliau semasa berkuasa dan mempertikai keterangan yang dikemukakan di mahkamah berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Biar saya katakan sekali lagi... saya tidak minta wang RM42 juta itu, saya tidak rancang untuk mendapatkan wang RM42 juta itu dan saya juga tidak ditawarkan wang RM42 juta itu serta tiada sebarang keterangan bagi membuktikannya."

Semasa Najib tiba di pekarangan mahkamah untuk mendengar keputusan yang dijadual diumumkan pada 10 pagi (waktu tempatan), ratusan penyokongnya yang memakai kemeja merah dan biru dilihat menunggu kehadiran beliau di tepi jalan menuju pintu masuk utama bangunan mahkamah.

Sebilangan penyokong membacakan doa untuk Najib, yang mengenakan sut warna keperangan, kemeja putih berkolar dan tali leher belang berwarna jingga dan biru serta memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada jangkitan pandemik koronavirus setelah beliau berada di dalam bangunan mahkamah.

200728-MY-Najib-supporters-inside-1000.jpg

Penyokong bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak melaungkan slogan di tepi jalan berhampiran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika mereka menunggu keputusan perbicaraan rasuah yang berkaitan dengan dana negara 1MDB, 28 Julai 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Keputusan bersejarah

“Sabitan Najib bagi ketujuh-tujuh pertuduhan pada Selasa memperkuatkan kepercayaan ramai rakyat Malaysia bahawa terdapat penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan pemimpin atasan negara,” kata Lim Wei Jiet, seorang pakar perundangan dan setiausaha agung Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM) kepada BeritaBenar.

“Ia juga adalah hari yang bersejarah bagi Malaysia yang menyaksikan seorang bekas Perdana Menteri disabitkan buat pertama kalinya dalam sejarah negara kita,” katanya.

Dakwaan melakukan rasuah besar-besaran yang dikaitkan dengan skandal 1MDB telah menyebabkan kejatuhan Najib sebagai Perdana Menteri apabila UMNO, yang menguasai politik Malaysia selama 61 tahun, tewas dalam pilihan raya umum yang mencipta sejarah pada Mei 2018.

Kerajaan Pakatan Harapan, yang menyandang tampuk kuasa ketika itu, bertindak pantas untuk mendakwa Najib dan mereka yang berkaitan dengannya sebagai sebahagian daripada siasatan jenayah terhadap skandal 1MDB.

"Keputusan [mahkamah] ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia," demikian menurut kenyataan Pakatan Harapan. "Proses keadilan tidak akan berlaku jika rakyat tidak membangkitkan perkara ini dan memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan [dalam pilihan raya]."

Kerajaan Pakatan Harapan, yang dipilih berdasarkan janji kempen untuk menghapuskan kerajaan rasuah, tumbang pada akhir Februari 2020. Satu kerajaan baharu yang bukan dipilih rakyat dan ditunjangi UMNO telah mengambil alih kuasa selepas itu dengan dipimpin oleh Muhyiddin, yang keluar parti itu selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri Najib pada 2015 apabila Muhyiddin secara terbuka meluahkan kebimbangan megenai skandal 1MDB.

Muhyiddin menggantikan Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada awal Mac selepas membentuk pakatan baharu dan meyakinkan Yang di-Pertua Agong bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Dalam reaksi serta-merta, Muhiyiddin berkata kerajaannya menghormati keputusan mahkamah dan meminta semua pihak "untuk terus mempercayai sistem perundangan dan kehakiman negara sebagai badan yang bebas, telus dan berkecuali.

"Saya memahami perasaan dan sentimen berhubung keputusan mahkamah itu. Bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga menghormati hak Najib untuk merayu. "Marilah kita benarkan proses keadilan berjalan bagi memastikan keadilan ditegakkan."

Menurut seorang pakar politik Malaysia, keputusan pada Selasa mempunyai kesan baik dan buruk terhadap kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan diperkukuh kerana imejnya yang ingin mewujudkan satu kerajaan berintegriti tinggi,” kata Mazlan Ali, seorang pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia kepada BeritaBenar.

“Meskipun keputusan mahkamah tidak mempunyai kaitan dengan perdana menteri, persepsi secara umum ialah Muhyiddin tidak campur tangan dalam proses mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun kerajaan Muhyiddin, yang mengambil alih kuasa tanpa melalui pilihan raya dan mempunyai majoriti yang tipis di Parlimen, mungkin berdepan beberapa kesulitan terutamanya jika pilihan raya diadakan tidak lama lagi.

Najib, yang ketika ini seorang MP dan mempunyai pengaruh politik yang agak besar, mungkin tidak dapat bertanding jika pilihan raya kilat diadakan dan ini mungkin menjejaskan sokongan UMNO kepada Muhyiddin, kata beberapa pakar.

Najib masih dibicarakan di mahkamah lain bagi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB. Beliau juga berdepan perbicaraan tambahan bagi baki 10 pertuduhan berhubung kes rasuah lain yang turut dikaitkan dengan dana pelaburan negara itu.

200728-MY-Najib-arrives-1000.jpg

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk keputusan perbicaraan kes rasuah pertamanya yang berkaitan dengan skandal kewangan melibatkan anak syarikat 1MDB, SRC International, 28 Julai 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Skandal dengan jangkauan global

1MDB menjadi sasaran penyiasatan kes pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara di luar Malaysia termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland.

Tumpuan utama dalam skandal itu adalah Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho - seorang pembiaya kewangan Malaysia yang kini menjadi buruan pihak berkuasa.

Semasa perbicaraan SRC, pasukan pembelaan berhujah bahawa Najib menjadi mangsa manipulasi Jho Low dan bekas Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Perbicaraan itu berlangsung selama 94 hari dengan 57 saksi pendakwaan dan 19 saksi pembelaan.

Dalam hujah penutup mereka, pihak pendakwaan menyalahkan Najib yang turut berperanan sebagai Menteri Kewangan ketika itu, kerana merancang jenayah tersebut. Pendakwaan berkata Jho Low telah bertindak atas arahan Najib.

Jho Low, yang turut berdepan pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB di Malaysia, mencapai persetujuan di AS untuk menyerahkan asetnya yang bernilai AS$700 juta (RM2.925 bilion) yang dibeli dengan dana 1MDB.

Pada pertengahan Mei, pihak pendakwa raya Malaysia menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Riza Aziz, penerbit filem Hollywood yang juga anak tiri Najib, setelah pihak berkuasa antirasuah menyatakan bahawa mereka telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan kembali lebih AS$100 juta (RM425.8 juta) yang hilang daripada 1MDB.

Persetujuan dengan Riza membawa kepada keputusan untuk membebas tanpa melepaskan beliau daripada pertuduhan itu.

Selain bekas perdana menteri, Isteri Najib iaitu Rosmah Mansor dan Ahmad Zahid Hamidi, yang berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri semasa kerajaan pimpinan Najib selepas pemecatan Muhyiddin dan kini menjadi Presiden UMNO, turut didakwa terlibat dalam skandal rasuah.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh