Hakim Malaysia Arah Kes Berkaitan 1MDB Diteruskan, Najib Diperintah Bela Diri
2019.11.11
Kuala Lumpur, Malaysia

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, pada Isnin diperintah membela diri terhadap pertuduhan berkaitan penyelewengan dana negara 1MDB yang berjumlah berbilion dollar, dengan hakim Mahkamah Tinggi Malaysia memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan merit kes tersebut lalu menolak pembebasan segera bekas pemimpin itu dalam perbicaraan kes rasuah pertamanya.
Najib, yang ditewaskan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang berusia 94 tahun pada pilihan raya umum tahun lalu dengan sebahagiannya hasil daripada janji kempen untuk menghapuskan rasuah, memberitahu mahkamah bahawa beliau akan memberi keterangan pada perbicaraan itu yang akan disambung semula pada 3 Dis.
Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali berkata pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti yang boleh dipercayai untuk meminta Najib, 66, menjawab semua tujuh pertuduhan yang dihadapinya berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau menerima wang sebanyak RM42 juta (AS$10 juta) yang dipindah secara haram daripada SRC International iaitu bekas unit 1MDB.
"Tindakan yang diambil oleh tertuduh tidak boleh ditafsirkan sebagai amalan yang sah semata-mata," kata hakim. "Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh supaya membela diri bagi semua tujuh pertuduhan yang dihadapinya."
Najib mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram. Sekiranya disabitkan kesalahan itu, beliau boleh dihukum dengan sejumlah besar denda dan penjara sehingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan rasuah dan penjara sehingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram.
Semasa menyampaikan penghakimannya terhadap Najib, hakim itu berkata bekas perdana menteri itu mempunyai kawalan yang amat ‘’berpengaruh dan penuh berkuasa” dalam SRC serta menunjukkan bahawa beliau mempunyai “kepentingan peribadi yang melangkaui jawatan awam yang disandangnya.”
"Saya tenang dan saya ‘cool’," kata Najib kepada BeritaBenar ketika beliau beredar keluar dari mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dengan diiringi kira-kira 10 orang termasuk anak lelakinya, Nizar Najib, anak perempuannya Nooryana Najwa serta pemimpin pembangkang Parlimen Ismail Sabri Yaacob .
Namun, peguam belanya, Shafee Abdullah, memberitahu pemberita bahawa Najib ‘terkejut’ mendengar keputusan itu kerana bekas perdana menteri itu menjangkakan penghakiman yang akan membebaskannya.
"Sudah tentu beliau [Najib] terperanjat dan terkejut," kata Shafee.
Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 dengan tujuan untuk memacu pembangunan ekonomi, tetapi dana itu sebaliknya terperangkap dengan hutang yang berjumlah berbilion-bilion dolar dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menuduhnya melakukan penyelewengan dan pengubahan wang haram merentasi sempadan melibatkan lebih $4.5 bilion antara 2009 dan 2014.
Para penyiasat Amerika Syarikat berkata dana yang diselewengkan itu digunakan untuk menampung gaya hidup mewah dan dibelanjakan untuk membeli barangan seperti berlian, hartanah, lukisan dan kapal layar mewah.
Selepas kerajaan pimpinan Mahathir membuka semula siasatan terhadap 1MDB, yang sebelum ini disekat oleh kerajaan diterajui Najib, polis menyerbu kondominium yang dikaitkan dengan Najib dan merampas beratus-ratus beg tangan berjenama dan bagasi yang mengandungi barang kemas dianggarkan bernilai lebih daripada RM1.1 bilion (AS $ 264 juta).
Najib menghadapi sejumlah 42 pertuduhan dalam lima kes jenayah berasingan sejak tewas pada pilihan raya umum tahun lepas.