Follow us

SRC: Peguambela Najib Letak Kesalahan Pada Jho Low, Nik Faisal

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-01
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa memasuki kompleks mahkamah bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad, di Kuala Lumpur, 19 Mei 2020.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa memasuki kompleks mahkamah bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad, di Kuala Lumpur, 19 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pasukan peguambela bekas pemimpin yang diaibkan Najib Razak membuat penghujahan penutup bagi kes mahkamah berkaitan skandal kewangan terbesar di negara itu dengan menyatakan bahawa beliau tidak boleh dipersalahkan kerana menyeleweng berbilion dolar daripada dana 1MDB milik negara, ketika mahkamah meneruskan perbicaraan kes itu yang ditangguhkan sebelum ini berikutan koronavirus.

Sidang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membabitkan skandal penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bermula pada Isnin sehingga Rabu itu, telah dua kali tertangguh daripada tarikh asalnya, 12 Mei selepas perintah berkurung kerajaan akibat penularan pandemik COVID-19 sejak 18 Mac lalu.

Peguam pembelaan Harvinderjit Singh dalam hujahan akhir berkata pemindahan wang berjumlah RM42 juta (AS$9.7 juta) ke akaun peribadi milik anak guamnya itu telah dilakukan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, tanpa pengetahuan Najib.

“(Najib) tidak mengarahkan mana-mana pengarah termasuk Nik Faisal berhubung dana SRC yang dipindahkan keluar dari SRC dan ke dalam akaunnya pada 2014 dan 2015 termasuklah transaksi RM42 juta itu.

“Oleh itu, ada cukup bukti untuk kita katakan bahawa Jho Low dan Nik Faisal telah melakukan kesalahan pecah amanah,” kata Harvinderjit yang menurut beliau semasa sesi soal balas pegawai penyiasat kes, Rosli Husain, mahkamah telah diberitahu bahawa ‘notis merah Interpol’ telah dikeluarkan atas nama Nik Faisal dan Low kerana disyaki bersama-sama terlibat dalam melakukan pecah amanah.

Beliau berkata, kenyataan bekas pegawai perhubungan Ambank, Joanna Yu yang menerima dan melaksanakan arahan daripada Low – yang bukan merupakan individu yang disahkan untuk mengawal akaun tersebut – membuktikan berlakunya manipulasi berkaitan akaun bekas Perdana Menteri itu tanpa pengetahuannya.

Sebaliknya Harvinderjit bertegas bahawa anak guamnya itu percaya bahawa wang dalam akaunnya daripada tahun 2014 itu adalah hasil daripada derma daripada kerabat diraja Arab Saudi yang diumumkan secara peribadi oleh Raja Abdullah kepada Najib pada tahun 2011.

“(Najib) tidak tahu menahu adanya transaksi RM42 juta ke dalam akaunnya mahupun tahu menahu bahawa dana itu adalah dari akaun SRC,” tegas beliau.

Pihak pendakwaan yang diketuai peguam V. Sithambaram dan timbalan pendakwaraya Ashraf Adrin Kamaril walaubagaimanapun enggan mengulas secara mendalam ketika ditanya media di luar kamar perbicaraan.

“Kami okay sahaja,” jawab Ashraf ringkas tentang reaksi ke atas hujahan penutup pasukan peguambela.

Najib yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-enam dari 3 April 2009 sehingga tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 10 Mei 2018 telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana 42 juta ringgit milik SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB.

Perbicaraan kes yang bermula 3 April 2019 itu tamat pada 11 Mac lalu setelah 57 hari perbicaraan di mana 57 saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwaan manakala 18 lagi dipanggil oleh pihak pembelaan.

Pada 11 Nov lalu Najib, 66, telah diperintahkan membela diri oleh hakim Nazlan Ghazali setelah berpuashati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas ketua kerajaan itu.

Pihak pendakwaan dan pihak pembelaan sebelum ini masing-masing menghantar hujah lisan setebal 306 dan 643 muka surat kepada hakim pada 5 Mei lalu.

Mengulas perkara ini Hakim Nazlan berkata kepada mahkamah bahawa beliau telah membaca kesemua dalam masa kurang satu bulan.

“Saya telah membaca kesemuanya,” kata hakim itu.

Hujah lisan dijadualkan bersambung pada Selasa dengan pihak pembelaan meneruskan hujah mereka.

Pada 19 Mac, Najib yang turut berdepan dengan 25 pertuduhan berasingan dalam kes membabitkan dana berjumlah RM2.282 bilion milik 1Malaysia Development Berhad hadir ke mahkamah untuk sambungan perbicaraan kes tersebut yang telah tertangguh sejak November lalu setelah peguam pembelaan Shafee Abdullah terpaksa menjalani kuarantin akibat terdedah kepada kontak rapat kes positif COVID-19.

Selain Najib, isteri beliau Rosmah Mansor, anak tirinya Riza Aziz dan beberapa lagi pegawai tinggi kerajaan diheret ke mahkamah selepas kerajaan Pakatan Harapan diberikan kuasa berikutan kekalahan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib dalam Pilihan Raya Umum pada 2018, membuka semula siasatan keatas semua kes berprofil tinggi termasuk kes 1MDB dan SRC International.


Lihat Laman Penuh