Follow us

Penghakiman Kes Rasuah Pertama Najib Razak Pada 28 Julai

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-05
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Najib Razak memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar penghujahan penutup dalam perbicaraan kes rasuah SRC International yang dihadapinya, 5 Jun 2020.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar penghujahan penutup dalam perbicaraan kes rasuah SRC International yang dihadapinya, 5 Jun 2020.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Hakim yang mendengar perbicaraan kes rasuah pertama bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, yang berkaitan dengan anak syarikat dana pembangunan negara yang diseleweng,1MDB, pada  Jumaat mengumumkan bahawa beliau akan membuat penghakimannya berhubung kes itu pada bulan depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nazlan Ghazali berkata beliau memerlukan masa selepas beberapa hari mendengar penghujahan penutup daripada pihak pendakwa dan pihak peguam bela. Sekiranya disabitkan kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman denda dan penjara sehingga 20 tahun bagi setiap daripada empat pertuduhan rasuah itu dan sehingga 15 tahun untuk setiap daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan pertuduhan bahawa beliau menerima RM42 juta (AS$9,67juta) secara haram dariipada SRC International.

"Mahkamah telah mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak. Mahkamah akan memastikan dan menilai sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah,” kata Nazlan. "Saya akan membuat penghakiman pada 10 pagi 28 Julai ini.”

Beliau membuat pengumuman itu selepas pasukan pembelaan Najib, yang diketuai oleh peguam utama Shafee Abdullah, mengemukakan penghujahan dengan meminta Najib dibebaskan dalam prosiding yang berlangsung hampir empat hari itu.

Dengan memetik Hamlet karya Shakespeare, Shafee berkata pihak pembelaan menghadapi prejudis besar daripada masyarakat.

"Duduklah sebentar, dan dengarlah apa yang kami mahu katakan sekali lagi, bagi menangkis apa sahaja yang bertentangan dengan cerita kami," katanya kepada mahkamah.

"Prejudis masyarakat begitu besar sehingga menyukarkan kami membuat pembelaan dalam kes seperti ini. Sebanyak RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun pelanggan saya: itu adalah kes pihak pendakwaan. Orang ramai mahu menganggap bahawa perkara itu sahaja adalah bukti yang mencukupi,”kata Shafee pada Khamis.

Dengan dibantu peguam Harvinderjit Singh dan Farhan Read, Shafee menegaskan bahawa Najib menjadi mangsa manipulasi pembiaya kewangan 1MDB, Jho Low serta bekas pengarah urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil – yang kedua-duanya kini menjadi buruan setelah mengelak daripada dihadapkan ke muka pengadilan.

Pihak pembelaan juga berhujah bahawa Najib - pada setiap masa - percaya bahawa dana dalam akaun peribadinya dari pertengahan 2014 hingga berikutnya adalah sumbangan dari pihak Arab Saudi.

Perbicaraan kes Najib itu bermula pada 3 April 2019, dengan 57 saksi pendakwaan dan 19 saksi pembelaan telah memberi keterangan pada prosiding berkenaan yang berakhir pada 11 Mac.

Pendakwaan sanggah

Pihak pendakwaan mempersalahkan Najib, yang juga menyandang portfolio menteri kewangan, kerana merancang jenayah tersebut, dengan menegaskan bahawa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, telah bertindak atas arahannya.

"Kami berhujah bahawa Jho Low tidak bertindak di sebalik tabir tetapi bertindak dengan pengetahuan tertuduh. (Najib) sendiri mengesahkan bahawa ada beberapa komunikasi, walaupun untuk berlaku adil kepada dirinya, ia tidaklah banyak,” kata ketua pendakwa raya V. Sithambaram.

"Beliau berkata: Dia bercakap dengan saya tetapi tidaklah selalu, tetapi dia bercakap (lebih banyak lagi) dengan Azlin," kata Sithambaram, yang memetik keterangan Najib semasa pemeriksaan balas.

Pada 9 Jan, Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau berkomunikasi dengan Low untuk memastikan ceknya sah. Najib memberitahu bahawa komunikasi sebegitu adalah jarang sekali kerana Low lebih banyak berkomunikasi dengan bekas setiausaha sulitnya, Azlin Alias, yang terbunuh dalam nahas helikopter pada April 2015.

Sithambaram - yang berhujah sendirian bagi pihak pendakwaan - juga mencabar dakwaan pihak pembelaan mengenai wang yang terdapat di dalam akaun Najib itu.

"Tertuduh tidak menyangkal tentang kemasukan RM42 juta itu, beliau hanya mempertikaikan yang ia wang SRC. Beliau berterusan menyatakan yang beliau fikir ia adalah sumbangan Arab Saudi dan saya ingin menekankan bahawa itu tidak mungkin berlaku,” kata Sithambaram.

Najib menubuhkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) pada  2009 kononnya untuk memacu pembangunan ekonomi, tetapi dana itu akhirnya mengumpulkan hutang berjumlah berbilion dolar. Pada 2016, Jabatan Kehakiman A.S. menuduh "Pegawai Malaysia 1" – yang kemudian dikenal pasti sebagai Najib - serta rakan sekutunya  menggelapkan dan mengubah wang berjumlah lebih AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) yang berkaitan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Bekas perdana menteri itu, yang menghadapi 42 pertuduhan jenayah, sedang dibicarakan di mahkamah lain bagi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dengan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang diselewengkan daripada 1MDB dan berdepan kemungkinan dibicarakan untuk 10 pertuduhan lagi. Perbicaraan itu, yang telah ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19, akan disambung semula pada 29 Jun.

Lihat Laman Penuh